`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, February 15, 2024

Semua dipolitik

 

Ini lanjutan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan.

Bagi saya reaksi Hamzah Zainudin, setiausaha agung Bersatu mengenai keputusan itu sama membimbangkan terhadap “kesejahteraan” negara dengan komen bos beliau Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu.

Apa kata Muhyiddin? “Dengan keputusan ini perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi kesalahan bagi umat Islam di Kelantan”.

Dan “saya percaya jika ada pihak yang mencabar kedudukan undang-undang Islam di negeri lain, undang-undang tersebut juga akan diisytiharkan tidak sah berdasarkan ‘precedent’ yang dibuat Mahkamah Persekutuan”.

Betul ke di Kelantan umat Islam bebas melakukan maksiat kerana tidak ada undang-undang yang melihat maksiat sebagai kesalahan? Kerana keputusan Mahkamah Persekutuan tempoh hari?

Apa pula kata Hamzah? “Perkembangan ini memperlihatkan adanya kelompangan serius dalam kuasa serta bidang kuasa berkaitan dengan hak menganut dan mengamal majoriti rakyat Malaysia”.

Ertinya apa? Hak rakyat termasuk umat Islam untuk menganut dan mengamalkan agama terjejas?

Dan kata Hamzah lagi: “Jika dilihat dari mata kasar, keputusan ini boleh mendatangkan impak besar dalam menghakis kuasa serta bidang kuasa raja-raja Melayu”.

Apakah itu benar? Betul ke kuasa raja-raja terhakis? “Raja-raja terancam? Kata saya tidak. Apa yang didakwa Muhyididn juga kata saya tidak benar dengan mengambil kira hujah Tengku Maimun Tuan Mat, ketua hakim negara. Kita cakap mengenai ini sebentar nanti.

Muhyiddin dan Hamzah juga mendakwa umat Islam dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan. Adakah mereka bercakap bagi pihak semua orang Melayu Islam? Atau mereka diberi mandat oleh umat Islam untuk jadi jurucakap?

Apa pun Hamzah yang juga ketua pembangkang mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), antaranya untuk “menyembah maklum suara hati rakyat”.

Adakah Hamzah juga apabila atau jika diterima menghadap, akan “mengadu” dengan mendakwa “bidang kuasa raja-raja terhakis?”. Wallahualam.

Tanpa bercakap mengenai bidang kuasa raja-raja yang kononnya terhakis, bekas menteri Khairy Jamaluddin meminta raja Melayu campur tangan untuk meredakan keadaan. Ini kerana isu berkenaan boleh menjadi sangat emotif kepada banyak pihak. Bagi saya ia sudah jadi amat emotif dalam kalangan Melayu kerana sentimen dan emosi dibakar pihak tertentu.

Kata Khairy hanya raja-raja boleh bertitah untuk beri pandangan dan hanya mereka yang akan didengar rakyat supaya isu tidak dieksploitasikan. Dan kata beliau lagi ahli politik pembangkang mahupun kerajaan yang “degil” boleh dipanggil Yang di-Pertuan Agong untuk diberi peringatan agar tidak mempolitikkan isu dihadapi ini.

Tetapi bagi saya (dan tentu ramai) keputusan Mahkamah Persekutuan sudah dipolitikkan. Ini jelas. Lihat kenyataan Muhyiddin dan Hamzah yang disebut tadi.

Khairy menganggap kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bahawa hari Jumaat semasa hakim membuat keputusan adalah “Black Friday” untuk sistem kehakiman syariah negara adalah sesuatu yang mahu “menghangatkan keadaan”.

Beliau juga menyelar cadangan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang mahu kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan bidang kuasa jenayah dalam senarai bersamanya atau “to include criminal jurisdiction in its Concurrent List”. Menurut Khairy itu cadangan yang berbahaya dan akan menimbulkan kekeliruan.

Bukan Khariy seorang yang menggesa isu ini jangan dipolitikkan. Ramai yang membuat seruan sama termasuk Presiden Umno Zahid Hamidi. Tetapi pasti mereka tahu di negara ini hampir semua perkara dipolitikkan khusus menggunakan sentimen ras dan agama.

Mohamad Hassan timbalan Zahid dilapor berkata, Umno akan meminta semua pihak termasuk Jakim dan menteri hal ehwal agama mengkaji cadangan pinda Perlembagaan. Ini disuarakan meskipun beliau menyangkal dakwaan keputusan Mahkamah Persekutuan memperkecilkan Islam atau sistem perundangan syariah.

Amanah, komponen Pakatan Harapan juga “jump onto the bandwagon”. Amanah Selangor berpendapat ketetapan panel hakim menunjukkan pentingnya pihak berkuasa agama sesebuah negeri memastikan aspek perlembagaan negara diberi perhatian sebelum sesuatu enakmen digubal.

Namun, ia tetap berpendapat pempetisyen sepatutnya terlebih dahulu menggunakan medium yang “lebih harmoni”. Pempetisyen ialah peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya yang mencabar di mahkamah keabsahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan.

Saya faham Umno dan Amanah mesti menunjukkan reaksi. Jika tidak mungkin atau pasti dituduh orang Melayu kedua-dua parti tidak peduli atau tidak prihatin isu ini yang dekat di hati orang Melayu. Dan ramai orang Melayu “termakan” kata-kata PAS, Bersatu dan rakan-rakan termasuk peguam kerajaan Kelantan Yusfarizal Yusof yang mendakwa undang-undang Islam akan “terkubur dan diletakkan batu nisan”.

Ini amat menyedihkan. Ketua hakim negara sudah memberi penjelasan sejelas- jelasnya. Ringkasnya petisyen membabitkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang undang ke atas 18 kesalahan dalam enakmen kanun jenayah syariah negeri kerana terdapat undang undang persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Kata Tengku Maimun pihak yang mencabar dan mahkamah sivil tidak boleh dikata menentang Allah kerana undang-undang yang dicabar bukan sesuatu yang ditentu atau ditetapkan Allah. Sebaliknya oleh badan perundangan negeri. Mahkamah Syariah dan undang-undang Islam tidak akan terkubur.

Keputusan hanya membabitkan sempadan bidang kuasa antara undang-undang persekutuan dan negeri dan tidak ada kena-mengena dengan keberadaan undang- undang syariah.

Penghakiman, ringkasan atau yang penuh sudah disiar meluas. Dan masih boleh diperoleh di pelbagai platform dalam talian. Malangnya ramai yang tidak baca. Lebih malang ramai yang membuat kesimpulan sendiri kerana percaya pihak yang memutar-belit fakta. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.