`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, February 23, 2024

Tak pernah bosan, tak pernah jemu, tak pernah takut

 

Sejak 2007 pada setiap Khamis pukul 4 petang diadakan protes aman dan secara senyap di hadapan istana presiden Indonesia di Jakarta. Ertinya sudah 17 tahun ia diadakan uninterrupted.

Protes dijalankan oleh anggota keluarga, saudara mara serta kawan dan teman mangsa beberapa insiden ganas di Indonesia. Berpakaian serba hitam dan membawa payung hitam, peserta protes berdiri secara senyap selama satu jam. Mungkin lebih.

Mereka menuntut keadilan untuk mangsa, juga perakuan pemerintah dan tindakan susulan sewajarnya. Insiden yang dimaksudkan termasuk yang sudah lama berlaku seperti peristiwa pembunuhan beramai-ramai orang yang dituduh pendukung komunisme pada 1965-66 setelah cubaan rampasan kuasa gagal.

Peristiwa ‘terbaru’ ialah pada 2014 yang dikenali sebagai kes “Paniai Berdarah” di Papua, di mana lima remaja terbuhuh dan 17 cedera apabila tentera dan polis melepaskan tembakan ke arah kumpulan yang mengadakan demonstrasi.

Untuk berlaku adil perlu ditegas Presiden Joko Widodo menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan isu hak asasi manusia dan menyiasat jenayah kemanusiaan masa lalu. Namun hasilnya belum kelihatan untuk menenangkan golongan yang gundah.

Insiden yang mendapat perhatian ramai bukan sahaja di Indonesia malah dunia tentulah gerakan pro demokrasi atau reformasi 1998 yang menumbangkan rejim Suharto. Ada mangsa korban atau hilang tanpa dikesan sehingga kini. Jumlah tepat sukar pastikan.

Apa pun keluarga dan rakan mangsa terus-menerus protes. Olah kerana protes diadakan pada hari Khamis maka siri tunjuk perasaan berkenaan dinamakan Kamisan.

Sasaran utama Kamisan berhubung keganasan dan penculikan yang berlaku pada 1998 ialah Prabowo Subianto – waktu itu jeneral dalam angkatan tentera Indonesia. A powerful military officer. Beliau dikatakan central figure dalam tindakan pemerintah menentang kumpulan pro reformasi. Prabowo menafikan semua tuduhan dan menegaskan operasi tentera dijalankan mengikut lunas-lunas perundangan. Satu laporan suruhanjaya hak asasi Indonesia pernah menunjukkan Prabowo dan beberapa anggota tentera terlibat dalam penculikan aktivis pro demokrasi tetapi beliau tidak pernah dihadapkan ke mahkamah atas sebarang pertuduhan salah laku.

Prabowo sekarang diambang menjadi presiden Indonesia untuk mengambil alih daripada Joko Widodo atau Jokowi yang akan melepaskan jawatan Oktober ini. Perlembagaan Indonesia menetapkan tempoh khidmat presiden dihadkan kepada dua penggal. Pada pilihan raya tempoh hari Prabowo menewaskan dua calon lain dengan mendapat undi terbanyak berdasarkan quick count oleh enam badan peninjau. Walaupun keputusan rasmi akan diumumkan suruhanjaya pilihan raya Indonesia pada Mac, hampir pasti Prabowo akan menjadi presiden. Lazimnya quick count dan kiraan rasmi tidak banyak beza malah hampir sama.

Kamisan kadangkala diadakan pada skala besar dan ada kala hanya disertai kumpulan kecil. Dengan Prabowo sebagai presiden Kamisan dikatakan akan pick up the tempo dengan lebih ramai peserta dijangka tampil.

Reuters baru-baru ini menyiarkan kisah Paian Siahaan, seorang ayah kepada aktivis pro demokrasi yang hilang bernama Ucok. Anaknya berusia 22 tahun semasa dikatakan hilang dan Paian menyalahkan Prabowo.

Katanya, kemenangan Prabowo satu peringatan duka. “Adakah kes ini akan senyap terus kerana Prabowo sudah menjadi presiden?” tanya Paian kepada Reuters.

Namun agensi berita itu juga melaporkan sembilan aktivis yang diculik pada 1998 telah dibebaskan dan ada di antara mereka menyertai parti politik Prabowo, antaranya Budiman Sudjatmiko, seorang bekas mahasiswa pengkritik lantang rejim Suharto.

Budiman beritahu Reuters beliau kini menyokong Prabowo kerana pemimpin itu mempunyai visi dan “orang boleh berubah”.

Tetapi bagi ayah si Ucok perjuangan mesti diteruskan. Ramai lagi yang berpendirian sama. Tanpa memihak saya kagum akan semangat mereka. Tidak pernah jemu, tidak bosan, tidak penat, dan tidak pernah takut untuk protes setiap Khamis selama 17 tahun and counting.

Teringat saya keluarga mendiang Teoh Beng Hock, pembantu ahli politik DAP yang dijumpai mati di atas rooftop bangunan sebelah ibu pejabat SPRM di Shah Alam pada 2009. Teringat juga keluarga Pastor Raymond Koh yang ‘diculik’ pada 2017 dan Amri Che Mat setahun sebelum itu. Mereka juga tidak jemu dan tidak takut untuk terus menuntut keadilan dan mencari jawaban walaupun bukan pada hari yang ditetapkan khas seperti Kamisan dan bukan pada skala tunjuk perasaan hari Khamis itu.

Tidak lupa saya aktivis media bebas, Ahmad Lutfi Othman, yang menerima pelbagai tekanan kerajaan terutama pada era kepimpinan Mahathir Mohamad selaku perdana menteri ke-4. Untuk sekian lama pada setiap 3 Mei sempena Hari Kebebasan Media Sedunia, Lutfi akan ke pejabat Suhakam di Kuala Lumpur untuk membuat aduan mengenai ‘gangguan kerajaan’ ke atas media.

Tetapi bermula 3 Mei 2014 kesihatan menghalang Lutfi daripada meneruskan kunjungan ke pejabat Suhakam sehinggalah beliau meninggal dunia pada 2022. Saya akui saya sendiri yang mengenali Lutfi tidak meneruskan membawa obornya ke Suhakam demi kebebasan media setelah beliau jatuh sakit. Pengakuan yang amat memalukan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.