`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 24, 2024

Takkan bahasa Melayu mati di dunia

 

Baru-baru ini saya menonton sebuah video tular memapar dua orang pemuda berbangsa Jepun berbual dalam bahasa Melayu. Terdapat banyak komentar netizen yang menyatakan mereka terkejut dan ada yang kagum dengan kemahiran berbahasa yang ditunjukkan oleh mereka selaku orang asing. Ini dilakukan dalam waktu relatif singkat.

Video atau paparan begini datang dan pergi, dan apabila ia mendapat sedikit kehebohan pasti akan membangkitkan rasa ghairah dalam kalangan generasi muda terutama kerana ia menjelma di media sosial, seperti antara lain di platform TikTok. Ia akan mendorong pertanyaan mengapa ada sesetengah rakyat Malaysia enggan berbahasa Melayu, atau tidak begitu berahi dengan bahasa kebangsaan sendiri. Persoalan ini agak subjektif dan harus dijawab dalam tulisan yang lain, yakni setelah ada survei atau dapatan yang meyakinkan.

Apa pun, video-video yang menunjukkan warga asing fasih berbangsa Melayu ini sedikit sebanyak juga menjadi petunjuk bahawa bahasa Melayu boleh bersaing, masih mempunyai potensi, dan senang dikuasai. Bahkan ia juga dapat memberi gambaran bahawa bahasa kita yang kecil penuturnya ini (berbanding bahasa Indonesia) memiliki keindahan, atau magis dan keistimewaan tersendiri untuk dipasarkan.

Malah jika kita rajin menerokai ruang ini kita akan mendapati ada beberapa figur dan pempengaruh luar (baca: warga asing) menggunakan bahasa Melayu dengan yakin dan megah. Sebagai contoh terdapat personaliti masakan YouTube, Rhys William yang petah berbahasa Melayu tatkala mengulas makanan Melayu kegemarannya.

Rhys menetap di Malaysia sejak 2013, dan mula dikenali ramai pada 2015 dengan kebolehan berbahasa Melayu. Hampir sedekad kini berbahasa Melayu, Rhys malah boleh mengarang buku dalam bahasa kita. Asalnya beliau sekadar bercuti di Kuala Lumpur pada 2011.

Selain itu terdapat juga model Sudan Selatan, Afrika bernama Tanya Mikes yang mendapat perhatian pengguna TikTok kerana gelagatnya yang suka meniru dialog dalam bahasa Melayu. Menerusi akaun ‘lady long legs’ (wanita berkaki panjang) Tanya pasti mengejutkan sesiapa pun kerana kepetahannya bertutur dalam bahasa Melayu dengan canggih.

Sebetulnya, meskipun menetap di Malaysia lebih sedekad lalu sejak 2010, Tanya yang dibesarkan di Nairobi, Kenya hanya mula belajar bahasa Melayu semasa PKP (perintah kawalan pergerakan). Di kala pandemik itu Tanya menghabiskan masa membaca buku dan mengikuti laman YouTube tertentu bagi membantu sebutannya. Seterusnya Tanya membiasakan diri menonton filem-filem dalam bahasa Melayu, sembari membaca sarikata untuk lebih menangkap. Kini beliau ikut menjadi personaliti sebuah saluran televisyen digital. Memerhatikan perkembangan ini tentu membuatkan kita teruja. Bahawa bahasa Melayu tidaklah akan mati.

Sebetulnya di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia saya mengetuai sebuah program yang membekalkan tuisyen bahasa dan budaya kepada penutur asing. Program ini dinamai KIKBM atau nama panjangnya Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu yang asal-muasalnya ditubuhkan hasil daripada Konsortium Pengajaran Indonesia dan Melayu (Cotim) pada 1999.

Pada awalnya kami hanya mengajarkan bahasa Melayu kepada dua orang pelajar sahaja dari Amerika Syarikat. Akan tetapi kini kami boleh berbangga kerana lebih 500 orang pelajar dari pelbagai negara, termasuk Australia, Kanada, England, Finland, Jerman, Perancis, Jepun, Hong Kong, Iran, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan Vietnam telah menamatkan kursus pada tahap yang berbeza.

Perlahan-lahan kami meraih nama kecil-kecilan di mana program ini turut diiktiraf oleh Universiti Sains Gunaan Konstanz (Jerman), La Trobe University (Australia), Universiti Pengajian Asing Tokyo (Jepun), Universiti Setsunan (Jepun) dan Pertubuhan Pelancongan Korea (Korea Selatan).

Di KIKBM, kami memberikan penutur asing enam tahap dalam kursus yang ditawarkan. Ia bermula dengan tahap 1 dan berakhir di aras tinggi iaitu tahap 6. Kursus ini terdiri daripada 100 jam dengan mengandungi beberapa kaedah iaitu 80 jam (termasuk kaedah membaca, bercakap dan kemahiran menulis), dan 20 jam lagi praktikal (termasuk bengkel, bersiar-siar dan lawatan lapangan).

Guru-guru kami terdiri daripada mereka yang berbangsa Melayu yang akan membawa semua peserta melalui pengajian intensif selama 4-5 minggu atau lebih. Apa yang menjadi kami unik ialah setiap kursus ini disesuaikan mengikut keperluan pelajar. Bukan itu sahaja, kami juga memberikan pengalaman budaya di mana pelajar ini akan didedahkan dengan adat budaya Melayu apabila ditempatkan bersama-sama keluarga angkat.

Terdapat para pelajar lepasan KIKBM kami yang terdiri daripada para diplomat; tentera diraja Australia; siswa dari universiti terkemuka di Barat seperti dari Stanford, dan Cornell; dan warga asing yang menghuni Malaysia di bawah program Malaysia sebagai ‘rumah kedua’. Sejak akhir-akhir ini pelajar dari Australia, China, Korea, dan Jerman sangat tertarik dengan kami.

Sejak mengepalai program ini saya mendapati pelajar kami di KIKBM memang dengan mudah menguasai bahasa Melayu, dengan syarat membuka diri seluas-luasnya. Menjelang tahap ketiga, pelajar kami boleh bertutur secara asas, dan pada akhir tahap enam mereka biasanya boleh membentangkan sesuatu atau menulis dalam bahasa Melayu. Ada beberapa pelajar kami yang dari asal sifar pengetahuan dalam bahasa Melayu kini boleh menulis tesis sarjana dan doktorat dalam bahasa kebangsaan. Ini jelas membuktikan bahasa Melayu jika diajari dengan cara betul, akan mudah dikuasai dan boleh disebarluaskan secara rapi dan berkesan.

Oleh demikian setiap kali menemukan video tular warga asing yang reti dan mahir berbahasa Melayu saya hanya akan tersenyum. Lebih geli hati jika netizen parah-parah berasa takjub dengan mereka.

Sebetulnya bahasa Melayu tidak kalah dengan bahasa lain. Percayalah bahawa kekuatan bahasa Melayu ialah ia mudah dipelajari, cepat dikuasai, dan membumi. Tiga pra-syarat ini sahaja memadai menjadi inti untuk ia merebak dengan pantas jika betul-betul diberi peluang dan kesempatan. Hanya pihak berkuasa bahasa dan kesusasteraan Melayu kita agak pemalas, bermuka-muka, sambil lewa dan tiada kreativiti serta kemahiran inovasi.

Tontonlah video-video tular ini, dan atas alasan ini sahaja saya percaya bahasa Melayu tidak akan mati di dunia, kalaupun kelak tidak akan sampai menjadi bahasa di syurga. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.