`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 20, 2024

Tentang Nik Elin, pentaasub agama

 

Oleh Dr Ahmad Farouk Musa

Menggusarkan apabila membaca laporan berita berhubung ancaman bunuh terhadap peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman. Mereka turut dikecam teruk di media sosial sehingga ada seruan supaya rumah mereka dibakar.

Alasannya selepas petisyen difailkan dua beranak itu terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang mana Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lalu telah membatalkan 16 daripada 18 peruntukan undang-undang di bawahnya.

Natijahnya mereka telah difitnah sebagai musuh Islam sehingga sampai ke suatu tahap di mana sebilangan ekstremis berpandangan bahawa darah mereka halal untuk ditumpahkan.

Pada pandangan kami, pembingkaian bagi keseluruhan isu ini adalah bermotifkan politik, dimanipulasi, dan melampaui batas. Sebagai peguam yang prihatin dan bertanggungjawab, Nik Elin dan anak perempuannya faham bahawa tindakan DUN Kelantan secara terang-terangan melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 4 mengatakan dengan jelas bahawa: “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.”

Namun begitu, sekiranya seseorang meneliti Perlembagaan secara menyeluruh bersama-sama dengan sejarah di sebalik paradoks yang kelihatan, akan mendapati bahawa di tengah-tengah “perundangan tertinggi” negara ini – dan begitu juga di dalam naluri para pengasas negara kita – adalah kehendak untuk membina sebuah masyarakat yang majmuk dan saksama.

Ya, Perkara 3 dalam Perlembagaan menyatakan bahawa: “Islam adalah agama Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan.” Tetapi, adakah klausa ini bermakna bahawa Malaysia boleh dikatakan sebagai sebuah negara Islam?

Jawapannya sudah tentu tidak, menurut Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (halaman 73). Setelah meneliti draf perlembagaan, Laporan Suruhanjaya Reid jelas menyatakan bahawa, “Pematuhan kepada prinsip ini…tidak akan menunjukan bahawa negara ini adalah bukan sebuah negara sekular.”

Perkara ini telah menjadi debat yang berterusan dengan dalam kalangan orang Islam
Daripada kenyataan di atas, jelas sekali bahawa Malaysia tidak pernah bertujuan menjadi sebuah negara Islam. Kenyataan ini bukanlah sekadar sebuah penegasan daripada Suruhanjaya Reid, bahkan kenyataan dibuat mereka yang akan menjadi kerajaan di negara yang baru merdeka.

Apabila dibaca bersama dengan Perkara 4 yang meletakkan semua undang-undang negara ini di bawah Perlembagaan, maka ia menunjukkan bahawa sebarang dakwaan untuk menyatakan Malaysia itu sebagai sebuah negara teokrasi, adalah dakwaan yang tidak jujur. Maka, idea bahawa negeri berhak mengeluarkan undang-undang demi menunjukkan bahawa kita sedang menuju ke arah sebuah negara Islam hanyalah suatu kekecewaan.

Selanjutnya, di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan, badan perundangan negeri boleh menggubal undang-undang mengenai undang-undang Islam, termasuklah “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan”.

Peringatan “kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan” adalah sebagai “klausa pengasingan” merupakan peruntukan yang mengecualikan badan perundangan negeri daripada membuat undang-undang mengenai perkara yang berada di bawah bidang kuasa persekutuan. Inilah fakta yang tidak diberi perhatian – walaupun tidak sengaja diabaikan – oleh beberapa orang fanatik agama yang berpendapat bahawa mereka mempunyai kuasa untuk mengatasi Perlembagaan dan menggubal undang-undang Negeri yang telah dilindungi oleh undang-undang Persekutuan.

Sehubungan itu, ugutan terhadap Nik Elin dan anak perempuannya bukan sahaja sesuatu yang keji dan hina, bahkan mempamerkan wajah Islam yang sangat buruk sebagai agama tidak bertolak ansur dan gemar bersengketa.

Pada pendapat kami, Islam dan negara mestilah dipisahkan secara institusi demi memelihara umat Islam yang bertindak atas kehendak naluri yang bebas, bukannya kerana paksaan disebabkan takut kepada kerajaan.

Selain itu, kami juga percaya bahawa frasa dalam Perlembagaan Persekutuan pada Jadual Kesembilan (Ninth Schedule), Senarai II (List II) – Senarai Negeri (State List), iaitu “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah (percepts) agama itu…” hendaklah disemak semula.

Peruntukan ini membawa kepada pemberian kuasa mutlak kepada sesebuah negeri untuk menghukum seseorang Muslim yang melakukan dosa peribadi, sedangkan dosa peribadi tersebut tiada kaitan dengan hal-ehwal negeri atau negara.

Umat Islam mesti mengamalkan Islam atas dasar keyakinan hati nuraninya, bukannya kerana takutkan pada sekatan Negara. Sesungguhnya, inilah yang dimaksudkan dengan pengertian takwa yang sebenarnya – sesuatu yang cuba diperingatkan oleh Nik Elin dan anak perempuannya.

Penulis ialah pengasas dan pengarah bagi Islamic Renaissance Front - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.