`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, February 13, 2024

Waspada penipuan guna identiti pegawai imigresen tawar bebas OKT

 

Imigresen meminta orang ramai berhati-hati dan menyemak kandungan mesej melalui SMS mahupun platform pemesejan serta panggilan telefon yang disyaki palsu.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Kuala Lumpur mengingatkan orang ramai berwaspada dan tidak terpedaya jika menerima sebarang mesej pesanan sama ada melalui sistem pesanan ringkas (SMS) mahupun platform pemesejan lain menawarkan perkhidmatan melepaskan orang kena tahan (OKT) yang dipercayai mempunyai hubungan pekerjaan dengan mereka.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata pihaknya mendapati terdapat penyalahgunaan identiti yang mana ada pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi maklumat untuk tujuan penipuan melibatkan wang ringgit.

“Untuk makluman, hebahan melalui SMS mahupun platform pemesejan serta panggilan telefon berkaitan transaksi di dalam perkhidmatan Imigresen Kuala Lumpur tidak sama sekali diguna pakai dan urusan adalah hanya melalui panggilan telefon rasmi di talian 03 62057400 atau alamat e-mel rasmi iaitu @imi.gov.my sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penafian itu dikeluarkan sejajar pemeriksaan dalaman terhadap pegawai Imigresen Kuala Lumpur yang telah disalah guna identiti mereka dan menggesa orang ramai berwaspada dengan taktik serta modus operandi penipuan ini.

“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang kandungan mesej melalui SMS mahupun platform pemesejan serta panggilan telefon yang disyaki palsu dengan cara menghubungi Imigresen Kuala Lumpur melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) di pautan https://imi.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau emel ke prowpkl@imi.gov.my.

“Hal ini adalah bagi mengelakkan anda daripada menjadi mangsa kepada aktiviti berunsur penipuan. Individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.