`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, May 31, 2024

Amerika dan saka yang dipikulnya

 

Free Malaysia Today

Pada tahun 2015, seorang guru matematik berbangsa Palestin, Riham Dawabsheh, sedang lena bersama suami, Saad, dan anaknya, Ali Dawabsheh. Mereka punya sebuah rumah comel di Nablus, Tebing Barat. Malam tersebut, seperti biasa di bulan Julai, langsir sedang berkibar ditiup angin musim panas dari jendela yang terleleh. Meskipun kecil, rumah itu syurga sebenar untuk pasangan Dawabsheh yang baru membina kehidupan. Seorang lagi anak, sedang separuh lelap di kamar lain.

Selama beberapa minggu mereka tidak menyedari rumah itu sedang diintai. Di malam yang bukat, rembulan tidak mumbul tetapi angin agak sepoi bahasa, sekumpulan lelaki menyalakan api di pintu keluar depan dan belakang. Peneroka Yahudi yang berhasrat untuk mencuri rumahnya, seperti mana peneroka lainnya yang datang dari Amerika Syarikat, membakar rumah itu. Suami Riham dan anaknya Ali meninggal dunia kerana dibakar hidup-hidup.

Riham bagaimanapun sempat hidup beberapa bulan dalam keadaan menderita di hospital ekoran kecederaan terbakar meliputi 90% tubuh. Anaknya yang berumur 4 tahun ikut melecur seluruh tubuh.

Apabila beliau akhirnya syahid, anak-anak muridnya yang mengharapkan kepulangan guru mereka keluar melempar batu kepada askar-askar Israel. Pihak berkuasa Israel menangkap kumpulan peneroka yang menyalakan api, tetapi bulan-bulan berlalu tiada satu tindakan sebenar pun diambil. Malah rakyat Israel menandatangani petisyen agar kelonggaran dan rahmah diberikan kepada penjenayah ini.

Kegemaran peneroka yang baru datang dari Amerika di Israel untuk membakar rumah dan penghuninya bukan baharu. Antara 2008 sehingga 2012, terdapat kenaikan mendadak keganasan sehingga 150%, yang hari ini dinamai media sebagai ‘settler terrorism’ atau ‘keganasan peneroka’. Pada 2014, peneroka Amerika yang berhijrah (atau memiliki dwi kerakyatan) ke Israel melakukan sekali lagi sepertimana mereka memperlakukan Riham. Kali ini mereka memilih untuk membakar hidup-hidup seorang remaja berusia 16 tahun bernama Mohammad Abu Khdair.

Betul, ia tidak bermula sejak 7 Oktober 2023. Celakalah sesiapa yang menyangka ia bermula pada 7 Oktober 2023. Malah pada 2015, lebih 60,000 orang atau mungkin sekitar 100,000 orang peneroka atau warganegara baru Israel yang berasal dari Amerika Syarikat datang menginap di Tebing Barat, Palestin dan ini termasuk di dalam kawasan yang diduduki. Mereka mendapat jolokan sebagai ‘Teroris Israel Kelahiran Amerika’.

Kebanyakan peneroka Yahudi Amerika di Israel ini menjadikan Baruch Goldstein sebagai ikon. Goldstein yang berasal dari Brooklyn, Amerika adalah teroris yang menembak rambang serta membunuh 29 orang Palestin dan mencederakan 125 yang lain dalam satu pembunuhan beramai-ramai di Hebron pada 1994. Goldstein pengikut seorang lagi peneroka dari Amerika, Rabbi Meir Kahane, pendiri sebuah parti atau gerakan ekstremis diberi nama Kach.

Dua dekad sudah berlalu, Goldstein kini dianggap nabi. Kuburnya di Hebron dikunjungi dan dipuja oleh kelompok peneroka Yahudi dari Amerika. Malah Israel menamakan sebuah taman dengan nama Meir Kahane.

Jadi ada sebab mengapa pertama, Amerika itu sama jahat dengan Israel. Hal ini juga memahamkan kepada kita mengapa lobi orang Yahudi dengan dwi kerakyatan begitu kuat di Amerika Syarikat, dan mengapa Zionisme begitu mengakar dalam banyak sektor seperti politik, pendidikan, dan hiburan. Ini kerana rupa-rupanya ramai rakyat Amerika mengidam-idamkan untuk berpindah ke ‘Israel’ dan berniat mengusir penghuni atau penduduk asal untuk bermukim di situ. Macam saka, ibaratkan hantu.

Kedua, bahkan jika kita mengenepikan persoalan ramainya rakyat Amerika menjadi pencuri dan tukang bakar rumah rakyat Palestin, kita juga harus mengingat yang senjata buatan Amerika paling banyak ditabur di wilayah diduduki itu, sejak dari dahulu sehinggalah hari ini. Hal ini bukanlah berlaku sehari semalam melainkan ada sebab akibatnya.

Pada 1967, Amerika sedang mencipta masalah di Vietnam. Israel dalam masa hampir sama menewaskan negara-negara Arab dalam tempoh enam hari sahaja, tanpa memerlukan bantuan Amerika. Kejayaan itu nampaknya memukau sesetengah orang di Amerika Syarikat dan ia kemudian berkembang dengan cepatnya menjadi hubungan.

Justeru, Amerika mulai menjadikan Israel pembeli utama senjatanya. Firma Israel juga dipermudahkan untuk meminjam di bank negara tersebut, yang kemudian membuka jalan kerjasama untuk penyelidikan pembangunan senjata dalam tahun-tahun 1980an dan 1990an. Kemudian, setelah berlakunya peristiwa 11 September (yang dalam banyak pandangan penggemar teori konspirasi dilakukan oleh Israel), Amerika mencurahkan dana besar untuk pembangunan teknologi perisikan. Israel pula sedang memerlukan bantuan untuk membangunkan bahagian-bahagian pada roket penangkis Iron Dome. Israel dan Amerika mulai bekerjasama erat dan perlahan-lahan jadi saling memerlukan.

Atas sebab inilah lobi Israel beroperasi kencang di Amerika Syarikat. Saban tahun mereka akan menjadikan ahli politik, artis, saintis, dan tokoh yang dapat dilihat berpengaruh sebagai rakan. Untuk membolehkan Amerika terus dihinggapi. Amerika secara dasarnya memikul biawak hidup, dan membiarkan Israel sebagai drakula menghisap darahnya. Punyalah bodoh, Amerika memberikan Israel jumlah berbilion dolar setiap tahun, yang mana kadang-kala tanpa sebab munasabah pun, seperti yang terjadi hari ini. Amerika kini sanggup menerima nasib dan imej buruk di seluruh dunia semata-mata untuk mempertahankan Israel. Rakyat Amerika yang dicuci otak pula tanpa sedar misalnya membayar cukai tahunan yang tinggi, meski hidup merempat untuk kesenangan warga Israel.

Amerika melihat Israel sebagai komitmen yang strategik. Dalam erti kata lain, Israel sudah menjadi saka kepada Amerika dan negara itu tidak dapat berbuat apa-apa melainkan membiarkan diri dihambakan. Biden, ketika menjadi Naib Presiden Amerika pada 2013 pernah mengatakan, ‘…jika dunia tiada Israel, kita mestilah mencipta satu’.

Justeru kita memahami bahawa yang menternak dan mengasuh serta membangunkan Israel itu tidak lain tidak bukan ialah Amerika. Dua poin yang disebut lebih awal ini membuat kita mengerti maka siapa sahaja yang menjadi musuh Israel, katakan Iran, wajiblah juga menjadi musuh Amerika.

Adalah penting untuk kita memahami yang Amerika dan Israel itu satu jasad kini. Untuk melawan hantu seperti filem-filem seram bikinan Hollywood, yakni Conjuring dan lain-lain, seorang paderi baik perlu memisahkan terlebih dahulu saka dan tubuh yang ditumpanginya. Namun, dalam banyak juga keadaan bila hantu itu sudah terlalu bersarang dan kini menyatu, pilihan yang ada hanyalah untuk mensasarkan kedua-duanya.

Sekarang setelah memahami letak duduk Amerika dan Israel, cuba bayangkan pada 2024, seorang lagi Riham Dawabsheh sedang lena bersama suami dan anaknya. Mereka punya sebuah khemah yang jauh dapat dinamakan sebagai sebuah kediaman di Rafah, Gaza. Malam tersebut, hangat tetapi tetap nyaman. Meskipun khemah itu kecil, ia masih syurga sebenar untuk sebuah keluarga Palestin yang baru memulai hidup. Seorang lagi anak, separuh lelap di pintu khemah.

Kemudian tanpa semena-mena bom Israel buatan Amerika gugur di atas khemah-khemah yang berceracakan rapat tersebut. Api menjulang, dan seorang lagi Riham Dawabsheh bersama anaknya hangus menjadi debu daging terbakar. Di kedua-dua kejadian pada 2015 dan 2024, pelakunya amat berkait dan bertaut. Jadi, sekarang apa?

Soalan saya, beranikah kita berkawankan makhluk seganas ini dengan sakanya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.