`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, May 31, 2024

Janganlah macam ini Tuan Guru

 

Mohsin Abdullah

Minda Presiden adalah catatan Hadi Awang selaku pemimpin nombor wahid PAS ditulis dengan panjang lebar, siap dengan firman Allah dan sabda Rasulullah SAW.

Hadi akan kaitkan petikan surah al-Quran dengan PAS yakni untuk menggambarkan perjuangan partinya berlandaskan kitab suci itu dan ajaran Rasul serta PAS melaksanakan perintah Allah. Ringkasnya pada hemat saya yang dipersembahkan Hadi ialah PAS itu Islam.

Untuk sampaikan mesej itu, Minda Presiden ditulis sekurang-kurangnya setiap minggu dan disajikan untuk khalayak menerusi Facebook dan media milik PAS.

Seperti dikatakan tadi, ia ditulis dengan panjang. Jika anda bukan ahli PAS yang wala’ kepada Hadi dan saf pimpinannya, ‘penat’ juga nak membacanya dari mula hingga akhir. Saya gunakan istilah ‘penat’ untuk melembutkan bahasa.

Apabila media empat hari lalu menyiarkan tuduhan yang saya anggap luar biasa lemparan Hadi ke atas media menerusi catatan terbaharu dalam Minda Presiden, saya memberanikan diri dan mengetepikan rasa takut penat dan membaca sepenuhnya.

Hadi memulakan dengan penentangan terhadap perintah Allah oleh iblis yang dihadapi Nabi Adam AS. Dan beliau meneruskan huraian mengenai penentangan sedemikian pada zaman nabi-nabi lain. Semua itu sememangnya benar.

Hadi seterusnya bercakap mengenai zaman apabila para nabi sudah tiada.

“Selepas tiada lagi nabi, maka kumpulan Islam pula yang diwajibkan mengambil alih perjuangan nabi. Maka, menjadi kewajipan mereka untuk menghadapi lawan yang sama prinsip dan konsepnya.”

Betul mengenai kumpulan diwajibkan mengambil alih perjuangan nabi. ‘Lawan yang sama prinsip dan konsepnya’ merujuk musuh Islam yang menentang perintah Allah, sama seperti golongan penentang pada zaman nabi-nabi. Dan penentangan berlarutan sehingga hari ini.

Lantas tajuk Minda Presiden yang disiarkan Harakahdaily pada 28 Mei lalu dan yang dibicarakan dalam artikel ini berbunyi ‘Islam sasaran fitnah, di sini PAS sasaran pertama’.

Bab ‘Islam sasaran fitnah’ memang betul. Sekarang ada Islamofobia di merata dunia. Mengapa ia terjadi tidak perlu dihuraikan dalam penulisan ini. Bab ‘PAS sasaran pertama’ bagaimana pula?

Yang jelas, Hadi menerusi catatan ‘Minda Presiden’ meletak partinya antara kumpulan Islam ‘diwajibkan mengambil alih perjuangan nabi’. Setuju atau tidak terpulang. Tetapi, Hadi juga menegaskan partinya jadi sasaran kerana menang banyak kerusi pada PRU lalu.

Pun begitu, Hadi seakan menyamakan ‘serangan’ (atau kritikan kadangkala keras) ke atas PAS dengan serangan ke atas Islam. Dan sebaliknya.

“Kini senjata media digunakan bagi memburukkan wajah Islam dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan Islam,” kata Hadi.

Siapa agaknya ‘sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan Islam’ yang beliau kata itu? Rasanya ramai tahu atau boleh agak siapa yang Hadi maksudkan.

Oleh kerana beliau menuduh ‘media digunakan bagi memburukkan wajah Islam’ saya yang lama bekerja sebagai orang media dan menganggap diri masih dalam media, terpaksa memberi pencerahan.

Tuduhan itu boleh membawa erti media Malaysia, termasuk yang dikendalikan orang Islam sengaja dan dengan rela serta senang hati ‘memburukkan wajah Islam’.

Dalam perkataan lain, media Malaysia tidak suka (benci?) Islam. Singkatnya, anti-Islam.

Kata Hadi “apabila berlaku kelemahan manusia pada diri segelintir kumpulan Islam yang terjerumus ke dalam kesalahan moral atau jenayah, maka akan dibesar-besarkan beritanya”.

Dibesar atau dikecilkan sesuatu berita tertakluk kepada keseriusan kesalahan yang kumpulan Islam itu dituduh lakukan.

Membunuh kanak-kanak. Merogol budak perempuan berusia lapan tahun. Atau meliwat budak lelaki berusia 11 tahun (sekadar contoh). Semua itu sememangnya akan mendapat liputan meluas.

Takkan jenayah keji seperti itu hanya diberi 20 saat di televisyen atau dua perenggan di media cetak dan dalam talian.

Namun hakikatnya, apa yang disiarkan bukan rekaan media, bukan fitnah. Yang disiarkan berpandu kepada aduan dan kenyataan polis secara rasmi, juga hujah dalam mahkamah apabila atau jika tertuduh dibawa ke muka pengadilan.

Seperkara lagi. Selagi belum disabitkan kesalahan di mahkamah, wajah orang yang dituduh akan ‘dikaburkan’ oleh media.

Siapa pula kumpulan Islam yang Hadi kata itu? Adakah beliau mencadangkan kes jenayah diabaikan media hanya kerana yang dituduh atau melakukannya ‘kumpulan Islam’?

Kata Hadi lagi “sekiranya terdapat berita dari sekolah agama, pondok, sekolah tahfiz ataupun seorang ustaz imam, orang yang berkopiah, apa lagi mereka yang berjubah, ada yang sengaja diletakkkan kopiah atau jubahnya atau dipakaikan jilbab wanitanya”.

Ertinya ‘sengaja diletakkan kopiah atau jubahnya atau dipakaikan jilbab’ dilakukan oleh media?

Adakah Hadi menuduh media pergi kepada pelaku jenayah dan pakaikan mereka kopiah, jubah atau jilbab?

Atau yang beliau maksudkan ialah gambar pelaku diubah suai dengan kaedah teknologi moden?

Orang ramai yang hadir di tempat kejadian atau mahkamah boleh menjawab adakah pelaku jenayah berpakaian sama semasa di tempat kejadian dan gambarnya disiarkan media.

Dan berkata lagi Hadi “apabila dalam kalangan agamawan yang sebenarnya bebal dan tidak bertafaqquh (faham) dalam agama melakukan kesalahan yang melampau daripada petunjuk agama atau menyalahgunakan agama Islam, maka dibesarkan beritanya atau direka cipta beritanya seantero dunia, diulang dan didramakan dengan lakonan-lakonan yang dicipta supaya dapat menarik perhatian agar ramai yang membenci Islam dan kumpulannya yang sebenar bagi mencacatkan wajahnya yang sebenar”.

Sekali lagi ditanya siapa kumpulan si tertuduh yang dirujuk? Berita kesalahan agamawan sewajarnya dihebahkan sebagai peringatan kepada pengikutnya (umpama yang dengar ceramahnya) berhati-hati kerana si agamawan terbabit melakukan yang Hadi kata ‘melampau daripada petunjuk agama’.

Mengenai tuduhan reka cipta, lakonan, didramakan, samalah dengan tuduhan awal tadi, pesalah dipakaikan kopiah, jubah atau jilbab oleh media.

Ada lagi kata Hadi “Apa sahaja langkah menyokong Islam pasti akan dibelasah dengan pelbagai tuduhan fitnah dan penghinaan. Penentangan dilakukan dengan segala cara, bermula dengan menggunakan platform media melalui tulisan, ucapan, tayangan, lukisan karikatur”.

Beginilah. Di Barat, medianya melakukan pendedahan kes paderi Kristian melakukan jenayah seks ke atas kanak-kanak dan juga apa yang didakwa “dark secrets of the Vatican”. Berita seperti itu disiar “prominently”.

Akhbar The Guardian Februari lalu menyiarkan laporan panjang mengenai dakwaan Pope Francis menentang “reform” yang boleh mengatasi masalah kesalahan seks oleh paderi ke atas kanak-kanak.

Beliau juga dituduh ‘pejam sebelah mata’ ke atas kes paderi menghamilkan rahib wanita dan memaksa mereka menggugurkan kandungan. Adakah media United Kingdom memfitnah gereja? Atau mereka anti-Kristian?

Di Thailand, di mana majoriti rakyatnya penganut kuat ajaran Buddha, media menyiarkan dengan meluas kes kesalahan seks oleh sami Buddha. Adakah media Thai anti-Buddha?

Di India, medianya menyiarkan beberapa kes salah laku, termasuk jenayah seks membabitkan sami Hindu. Adakah media India anti-Hindu?

Ok bak nyanyian Malek Ridzuan “cukup sampai di sini. Saya dah lambat nak ke masjid”. Sembahyang Jumaat. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.