`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 9, 2024

Bagaimana mencegah jenayah serangan asid

Free Malaysia Today

Berita penggunaan bahan korosif untuk mencederakan, dan tidak mustahil bertujuan untuk mematikan pemain bola sepak berbakat Faisal Halim memang menggemparkan. Selalunya kita hanya mendengar serangan begini terjadi di Indo-Pakistan, dan Timur Tengah yang mana sasarannya selalu wanita. Akan tetapi kebelakangan ini serangan bahan korosif sudah mulai kedengaran di negara kita, memberi petunjuk bahawa ragam jenayah semakin kompleks.

Di negara kita, kes-kes terpencil serangan asid seringnya kerana cemburu, dan perselisihan faham kecil yang membawa kepada dendam berpanjangan. Dalam satu kajian dilakukan oleh University of Leicester pada 2021 mengenai jenayah melibatkan asid, pengkaji dari Jabatan Kriminologi yang diketuai oleh Matt Hopkins dan Lucy Neville mendapati terdapat lapan motivasi pesalah atau penjenayah yang memilih untuk melakukan serangan dengan menggunakan bahan korosif ini.

Pertamanya, serangan bahan korosif yang boleh menghakis permukaan dilakukan kerana ia boleh mencapai kecederaan fizikal yang berganda, dan boleh dijangkakan. Ini berbanding jenayah dengan menggunakan senjata seperti pisau atau pistol.

Kedua, bahan korosif satu senjata yang boleh diadaptasi untuk ‘menamatkan pergaduhan’, ‘merompak’ atau ‘memberi kesengsaraan maksimum kepada mangsa’. Selain itu ketiganya, bahan korosif boleh disembunyikan dengan mudah seperti mana ia boleh disimpan dalam botol air minuman. Ini berbeza dengan senjata seperti pisau yang mudah dicam dan menjolok mata.

Para pesalah keempatnya, juga didapati menggunakan bahan korosif seperti asid dan lainnya kerana ia ‘sedia digunakan’ dan ‘mudah diuruskan’ berbanding senjata. Selalu penjenayah tidak akan diduga dan mereka akan bertindak dengan cepat. Kelima, penjenayah juga akan berpuas hati memandangkan mangsa akan mengalami kecederaan dengan pantas dan boleh dilihat. Ini biasanya menjadi motivasi penjenayah dengan dendam dan dengki.

Keenam, serangan dengan menggunakan bahan korosif dipilih kerana pesalah boleh melarikan diri dengan mudah, selain tidak perlu berada terlalu dekat dengan mangsa (seperti perlu menikam sasaran dengan pisau atau parang). Ketujuhnya, ia juga sejenis ‘senjata senyap’ berbanding pistol yang akan mengeluarkan ledakan yang kuat.

Kelapan, kebanyakan pesalah atau penjenayah yang memilih bahan korosif menyatakan mereka dapat mengurangkan jangkauan tindak balas mangsa. Sebagai misalan, mangsa boleh menendang dan bergocoh apabila ditikam yang dalam proses itu ikut mencedera dan mendedahkan identiti penyerang.

Pengkaji-pengkaji dari University of Leicester kemudiannya memberi beberapa saranan untuk mencegah atau mengawal jenayah serangan bahan korosif ini. Pertamanya, mereka berpendapat pihak polis perlu ‘bekerjasama’ dengan persatuan, peruncit, pemborong atau penjual bahan korosif ini. Dalam hal ini penjual bahan yang boleh tersedia sebagai korosif berbahaya akan perlu mencatit nama, nombor telefon, keperluan pembeli dan kenapa seseorang itu ingin mendapatkan bahan korosif ini.

Di bawah Akta Senjata Ofensif 2019, England dan Wales menghentikan penjualan dan penghantaran bahan produk korosif kepada individu di bawah usia 18 tahun; pelarangan penghantaran bahan korosif ke kawasan kejiranan, sekolah, perpustakaan, taman, pasar dan tempat awam tertentu; menjadikan ia satu kesalahan memiliki bahan korosif di kawasan awam; dan meluaskan kebenaran untuk menghentikan pergerakan sebarang bahan korosif. Polis di United Kingdom juga diizinkan untuk memeriksa, menguji, dan merampas bahan korosif di kawasan awam.

Pengkaji dari Jabatan Kriminologi di atas juga menggariskan cabaran yang mereka hadapi dalam mencegah serangan jenayah asid ini.

Pertamanya, pihak polis UK mengakui masih gagal memahami kecelakaan yang berkait serangan asid ini. Malah ada yang menganggapnya tidak cukup mematikan. Kedua, pihak berwajib juga gagal memahami lumrah jenayah dengan produk korosif ini kerana ia sangat berkait dengan budaya, dan mangsanya pula adalah kaum wanita dan kadang-kala remaja perempuan. Dalam banyak kes, warganegara atau pendatang dari kaum tertentu sahaja didapati menggunakan asid sebagai senjata.

Ketiga, pihak polis juga tidak mempunyai alat atau kit tertentu untuk menguji apakah bahan itu korosif memandangkan asid mudah disorokkan dan senang terlepas dari perhatian. Cabaran besar lain adalah bahan korosif ini mudah dibeli dan juga mudah dilupuskan (misalnya dicurah ke dalam parit atau longkang) tanpa disedari. Bukan itu sahaja, kecederaan akibat dari bahan korosif sukar untuk dibuktikan. Bahkan dalam banyak keadaan, pesalah mengatakan mereka tersimbah dengan tidak sengaja dan tidak berniat membunuh atau mencederakan.

Pihak polis UK juga mengaku mereka menemukan ramai pemilik bahan korosif dalam kalangan remaja tetapi tidak dapat membuktikan bahawa mereka berniat melakukan jenayah dengan memiliki asid tertentu ini.

Sehubungan dengan itu pihak berkuasa UK memilih untuk memberikan pendidikan dan pendedahan berganda mengenai jenayah serangan asid ini. Malah, mereka memberikan tumpuan kepada keberkesanan aktiviti perisikan untuk mencegah awal jenayah dengan bahan bersifat korosif. Salah satu kaedah paling efektif adalah menyediakan botol atau bentuk bekas yang tertentu dan mudah dikenal sebagai bahan korosif.

Pembungkusan cara baharu bahan korosif ini ternyata banyak membantu pihak polis. Makanya jika ada individu didapati memiliki, membeli, atau mengeluarkan botol seumpama ini; orang awam yang diberi kesedaran dan kefahaman akan bahaya bahan kimia korosif ini akan dapat segera bertindak.

Pihak berkuasa juga berusaha menyulitkan proses mendapatkan bahan korosif ini di mana terdapat standard tertentu untuk menjual atau memiliki bahan di atas. Para penjual pula diberi latihan tertentu untuk mengenalpasti potensi penjenayah. Mereka misalnya hanya akan menjual kepada saintis dengan kad atau identiti khas, pekerja makmal berdaftar, dan pekerja ladang atau pembinaan yang betul-betul memerlukan bahan korosif berbahaya.

Sejak 2019 juga, polis turun ke lapangan seperti sekolah, kolej, dan rumah ibadat untuk memberikan pendidikan supaya masyarakat memberi perhatian kepada bahan korosif seperti mana mereka memberi perhatian kepada senjata berbahaya seperti pedang, parang, bom, pistol, dan senapang.

Polis juga mengkategorikan pembawa bahan korosif kepada pembawa biasa iaitu penjual, saintis atau pekerja makmal. Selain itu terdapat juga pembawa bersituasi di mana mungkin ketua keluarga memerlukan bahan korosif ini untuk penggunaan yang sangat tertentu dalam perladangan, atau pembinaan dan pembersihan.

Jenayah yang menimpa pemain bola sepak Faisal Halim ini sebetulnya sangat kejam. Kita berharap insiden ini menjadi iktibar agar jenayah seumpama ini dapat diberi perhatian lebih di kemudian hari. Moga-moga Mickey akan lekas sembuh dan kita mendoakan beliau tidak mengalah oleh perbuatan khianat yang keji ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.