`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, May 10, 2024

Di ambang PRK KKB

 

Free Malaysia Today

Esok Sabtu 11 Mei berlangsunglah Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu, kerusi DUN Selangor. Perebutan empat penjuru tetapi yang jelas ia pertempuran antara Pakatan Harapan yang diwakili calon DAP dengan Perikatan Nasional diwakili calon Bersatu.

Kata Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre, PRK Kuala Kubu Baharu bukan hanya tentang siapa akan menang siapa akan kalah tetapi lebih penting bagaimana pilihan raya kecil ini akan membangunkan nilai-nilai politik bina negara.

Benar ia hanya mengenai 40,000 penduduk ingin memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri Selangor. Namun kata Yusri secara tidak langsung pilihan raya kecil esok “sangat signifikan untuk menjelaskan beberapa pemboleh ubah penting lanskap politik negara”.

Penghayatan ketua pegawai eksekutif Ilham Centre Azlan Zainal serta pasukannya di lapangan menunjukkan pilihan raya kali ini “agak suram”. Tenang dengan tiada isu besar. Yang ada isu kecil seputar sijil dan serangan peribadi yang menurut Azlan tidak sepenuhnya berhasil.

Umum maklum siapa pun yang memang ia tidak mengubah apa-apa melainkan kata Azlan “menyuntik motivasi baharu untuk mengatur langkah ke depan”.

Menurut beliau persaingan kali ini lebih ketara sebagai pengukuhan kepada naratif sedia ada sejak pilihan raya umum dan pilihan raya negeri lalu. Berdasarkan itu bolehkah dirumuskan ia membawa keputusan status quo?

Kata Azlan, PH masih bergelut untuk meraih undi Melayu. PN pula jauh terpinggir daripada sokongan bukan Islam. “Paranoid Cina kepada PAS itu benar sekalipun dalam kalangan mereka ada yang terkesan dengan suasana ekonomi yang tidak kondusif waktu ini”.

Tetapi menurut beliau ketakutan atas ekstremisme PAS itu makin menjauhkan. Pada hemat saya aspek ini PAS tidak ada siapa yang hendak dipersalahkan selain diri sendiri kerana kenyataan serta tingkah laku pemimpin serta langkah yang diambil di negeri yang parti itu perintah mencetuskan ketakutan orang bukan Melayu bukan Islam, di samping mengguris perasaan mereka terutama masyarakat Cina.

Faktor ketakutan dan terguris perasaan pada pandangan saya merugikan dan membebankan sekutu PAS iaitu Bersatu, khusus untuk PRK ini. Bagaimanapun menurut Azlan, Bersatu masih ingin terus merangkul PAS atas banyak sebab antaranya Bersatu tiada akar umbi dan jentera.

Kata Azlan, PAS sebagai parti regimented dan teratur tetapi tidak terserlah ketumbukan pada PRK kali ini. “Keghairahan kempen tidak dirasa,” kata beliau. Imbau kembali Yusri ketua penyelidik Ilham Centre yang baru-baru ini melahirkan kehairanan PAS tidak cukup ghairah berkempen bantu PN di Kuala Kubu Baharu. Ini saya tulis pada artikel lalu. Azlan pula memberitahu “dikesan wujud krisis dalaman Bersatu-PAS”.

OK cukup masalah PN. Di sisi lain Amanah menurut Azlan begitu berharap agar PRK ini dimenangi PH “bagi meneguhkan simbiosis politik” antara parti gabungan itu. Beliau menjangkakan DAP mampu memberi kredit dengan sumbangan undi Cina.

Sebaliknya kata Azlan, Amanah yang diharapkan menarik undi Melayu kepada PH adakah akan mampu dibuktikan? Bagi beliau ini penting untuk Amanah terus kekal relevan dalam membentuk kestabilan politik.

Kali ini jentera Umno tampil membantu. Sewajarnya kata saya. Bukankah ia duduk bersama PH dalam kerajaan perpaduan? Kata Azlan, Umno membantu walaupun dogma anti-DAP masih bersarang dalam pemikiran segelintir pengundi tegar mereka yang ditemui pasukan Ilham Centre.

“Ada juga yang kami temui yang patah kembali atas kelangsungan parti. Apa pun Melayu belum pulih dan berjaya dirawat sepenuhnya,” kata Azlan. Bagaimanapun kata beliau Umno turun dengan mesej mudah yakni “kita perlu berkongsi kuasa. Di Hulu Selangor kita pernah memilih dan mengangkat calon Cina dan India. Mereka menang dan rakyat tetap harmoni. Atas semangat perpaduan dan pembangunan wakil PH perlu dimenangkan”.

Beralih kepada masyarakat India dan Orang Asli. Pengundi India kata Azlan mahu kebajikan dibela manakala Orang Asli secara tradisi sebahagian terus setia dan patuh kepada tok batin yang mewakili. Peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal Selasa lalu menurut Suruhanjaya Pilihan Raya mencatat 97%.

Perlu dinyatakan penghayatan Azlan dan Yusri saya petik daripada catatan di laman Facebook masing-masing, dengan izin.

Ketika saya menulis artikel ini difahamkan Ilham Centre sedang melengkapkan laporan muktahir mengenai dapatan kajiannya di Kuala Kubu Baharu. Setelah menilai seluruh angkubah Ilham Centre akan menerusi laporan itu maklumkan siapa yang ada peluang dan kelebihan untuk muncul pemenang.

Semasa anda membaca artikel ini mungkin laporan itu sudah disiarkan. Jika belum ia pasti akan disiar sebentar lagi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.