`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 3, 2024

Dosa ke kalau sekolah Cina?

 

Free Malaysia Today

Mengapa Ahmad Fadhli Shaari, ketua penerangan PAS, amat berminat soal di mana calon Pakatan Harapan DUN Kuala Kubu Baharu mendapat pendidikan? Jika anda mengikuti perkembangan semasa (baca: politik) di Kuala Kubu Baharu anda pasti tahu minggu lalu Fadhli mencabar calon PH, Pang Sock Tao, menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengahnya.

Sebab? Menurut pemimpin PAS itu latar belakang pendidikan Pang tidak dicatat di poster profilnya. Saya rasa mungkin Fadhli syak Pang, partinya DAP, dan juga PH mahu menyembunyikan sesuatu. Barangkali beliau syak calon PH berkenaan do not have the right qualifications. Atau tidak cerdik maka mesti disembunyikan rahsia itu?

Bagaimanapun Pang menyahut cabaran itu dan mendedahkan pencapaiannya di UPSR dan SPM yang menunjukkannya mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil. Kesimpulannya pelajar pintar. Slip keputusan peperiksaan juga menunjukkan Pang menduduki UPSR di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina On Pong Hulu Langat manakala SPM di Sekolah Menengah Chung Hwa Port Dickson. Ertinya beliau sekolah Cina.

Fadhli pantas memohon maaf kerana bangkitkan isu pendidikan peringkat UPSR dan SPM calon PH PRK Kuala Kubu Baharu. Habis cerita? Tidak. Fadhli selanjutkannya berkata menerusi catatan di Facebook “dengan permohonan maaf ini semoga isu ini berterusan hingga pilihan raya kecil nanti”. PRK Kuala Kubu Baharu dijadual 11 Mei ini.

Bercakap kepada FMT kemudiannya beliau mengesahkan catatan di Facebook itu dan berharap “pendedahan berkenaan diingati pengundi” tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai harapannya itu.

Maka beralih kembali kepada persoalan yang dikemukakan pada awal artikel ini. Mengapa Fadhli amat berminat di mana Pang bersekolah? Yang jelas apabila beliau berharap soal sekolah Pang berterusan sehingga 11 Mei bermakna pada hemat saya beliau dan rakan-rakan mahu menggunakan itu untuk modal berkempen.

Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching meihatnya begini. Fadhli teperangkap dengan permainannya sendiri dan terpaksa membangkitkan isu sekolah vernakular. “Mungkin YB Pasir Mas kurang selesa bahawa Pang belajar di SJKC”.

Artikel ini tidak mahu bercakap secara khusus kempen PRK Kuala Kubu Baharu. Yang ingin dibicarakan ialah jika Fadhli mahu memberitahu khalayak Pang bersekolah Cina, saya tidak dapat elak daripada bertanya mengapa tidak? Apa dosanya belajar di sekolah itu?

Memang kita tahu ada pihak yang mendakwa kewujudan sekolah Cina (dan Tamil) tidak membantu usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Lalu mereka mahu sekolah vernacular ditutup supaya semua anak Malaysia tanpa kira bangsa dan agama dididik di sekolah kebangsaan.

Namun pada 29 Disember 2021 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernacular serta penggunaan Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta mengikut Perlembagaan. Pada 23 Nov 2023 Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu.

Jadi apa masalahnya jika anak-anak belajar di sekolah yang sah dan tidak melanggar Perlembagaan? Mutakhir dilaporkan semakin ramai anak Malaysia bukan keturunan Cina dihantar ibu bapa mereka belajar di sekolah Cina terutama orang Melayu.

Kata seorang rakan, seorang Melayu, yang anaknya belajar di sekolah Cina, pelajar diberi “banyak homework sampai lenguh tangan”. Semasa cuti pun katanya sering ada extra class ertinya pembelajaran amat dititikberatkan. Mungkin ada kata terlalu diberi penekanan.

Memang ada tuduhan sekolah Cina semai benih perkauman, sesuatu yang disangkal ahli politik dan golongan pendidik sekolah Cina. Tidak perlu saya huraikan siapa kata apa. Cukup untuk menegaskan jika orang Melayu dipandang rendah oleh anak Cina di sekolah vernacular mengapa mereka terus belajar di sekolah Cina? The schools must be doing something right jika tidak masakan orang Melayu terus mendaftar anak mereka di sekolah Cina.

Pemimpin Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, hantar anaknya belajar di sekolah Cina. Najihatussalehah Ahmad yang pernah menjadi calon PAS untuk Parlimen Parit dikatakan bekas pelajar Chung Hwa.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, juga dikatakan menghantar cucunya belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Beberapa hari lalu tersebar video seorang berbangsa Cina berceramah. Tidak dijelaskan siapa beliau dan di mana beliau berceramah . Beliau bercakap mengenai betapa pentingnya pendidikan buat masyarakat Cina. Kata beliau orang Cina meletakkan pendidikan di atas segala-galanya. Maksudnya pendidikan nombor satu. Ini katanya diajar “oleh datuk moyang kami ribuan tahun dahulu”.

“Kalau ada seratus ringgit dalam poket, ada satu tokong Cina, ada satu sekolah Cina, orang Cina akan bagi 99 ringgit kepada sekolah, seringgit saja kepada tokong,” kata si penceramah yang menggelar dirinya ‘apek’. Itu pendapat peribadi, kata beliau.

Benar atau tidak, setuju atau tidak terpulang. Seterusnya berkata beliau, “agama pentingkah Cina? Penting. Budaya pentingkah? Penting. Tapi ada satu yang lebih penting — pendidikan. Nak satu negara kuat, nak kuatkan negara, pendidikan”.

Mungkinkah falsafah itu yang orang Melayu mahu serapkan pada anak mereka melalui sekolah Cina? Kemungkinan besar — ya. - FMT

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.