`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 14, 2024

Eleh! Seni kerja senang

 

Free Malaysia Today

“Fendi, berlegar-legarlah dahulu di akhbar-akhbar kecil,” kata Rejabhad atau kami gelar sebagai Pak Jab, ketika saya hendak melangkah keluar dari pejabatnya selepas ‘dibasuh’ oleh beliau. Pak Jab seorang kartunis veteran yang berperanan sebagai pencungkil bakat baharu di majalah kartun terkenal, Gila-Gila. Pak Jab akan komen kartun kita sambil menerangkan kehendak disiplin berkarya, berdasarkan pengalaman luasnya dalam dunia kartun.

Soal sama ada kartun kita diterima untuk disiarkan belum tahu lagi. Jika beliau pulangkan maka kita harus perbaiki sehingga diterima. Jika ditolak, keluarlah saya dengan rasa hampa dan pedih. Ini kerana sewaktu melangkah masuk kita berkobar-kobar kerana yakin karya itu sudah cukup bagus dan akan diterima. Begitulah impian pendatang baharu, yang masih belum cukup ilmu tetapi merasakan diri sudah cukup layak.

Maklumlah apabila ditunjukkan kartun kita kepada kawan-kawan semuanya memuji, tetapi adakalanya sepuluh keping yang dibawa ke editor semuanya ditolak begitu sahaja. Tak acilah macam ni! Takkan satu pun tak diambil? Penat tau cari idea!

Sebab itulah Pak Jab menyarankan agar saya menghantar karya ke tabloid yang berlambak di pasaran pada waktu itu. Setiap akhbar kecil ketika itu turut ada ruangan khas untuk kartun. Maksud beliau, cari dulu pengalaman di padang kecil jangan terus rasa hendak bermain di stadium hebat. Ada akhbar kecil tidak membayar honorarium, hanya beri kita terbitan terbaharu sahaja. Kami budak baharu tak mahu akhbar percuma. Kami mahu popular dan wang. Kami mahu bekerja di situ.

Tetapi karya kami dikritik teruk. Tidak sedikit bakat baharu yang tersinggung lalu patah hati tak mahu melukis lagi, tetapi ada juga yang mengambilnya sebagai penggalak untuk terus berusaha sehinggalah mereka hari ini menjadi kartunis ‘lejen’.

Waktu itu umur saya masih belasan, saya terlalu meletakkan harapan yang tinggi. Itu bukanlah suatu kesalahan tetapi menyangka sesuatu kejayaan itu ada jalan pintas, itu kesilapan saya. Saya sangka jika ada bakat, senang-senang naik walhal kena timba ilmu dulu. Mesti tahu konsep, teknik menghasilkan karya, menggarap idea, komposisi dan lain-lain. Selama ini yang menilai kerja kita adalah kawan-kawan yang tiada bakat dan ilmu. Yang hanya ada penghargaan sebagai kawan. Kita harus belajar apa itu pahit ubat, bukan leka dengan manis gula.

Sekitar 2016-2018 saya menjadi editor majalah tersebut, giliran saya pula menghadapi apa yang Pak Jab tempuh. Ramai kartunis baharu dan tidak ketinggalan juga orang lama menghantar karya. Ada yang berkecil hati kerana kartun ditolak. Ada yang bersungguh-sungguh membaiki karya tetapi tetap gagal. Ini bukan kerana kartunnya tidak cantik. Cantik dan baik tetapi sayangnya idea yang hendak dibawa tidak mencapai standard Gila-Gila yang mempunyai konsep jenaka tersendiri.

Majalah yang saya jaga bukan tempat mempamerkan jenaka kosong yang menjadikan bunyi kentut atau menunjuk bulu ketiak sebagai bahan. Mungkin majalah lain boleh tetapi di tempat saya, tidak. Itu satu lagi ilmu yang perlu difahami oleh pengkarya, tentang konsep dan tema. Tentang hala tuju sesebuah syarikat penerbitan. Bukan main taram ikut syok kita je!

Ada seorang kartunis lama bersungut apabila karyanya ditolak. Memang dia senior tetapi karyanya ketinggalan zaman. Budak zaman itu tak boleh hadam karya dia. Idea lapuk dia sebenarnya bukanlah teruk, masih boleh diperbaharui tetapi mestilah pandai mengolahnya agar nampak macam baharu. Bila kita cakap, si senior ini tersinggung. Katanya kita nak mengajar-ngajar dia. Katanya dia lebih lama makan garam daripada ‘budak hingusan’ macam saya.

Bila saya ceritakan tentang komik Mat Som oleh Dato’ Lat, ada pelukis mengaku tak dapat menghadam karya tersebut. Bagaimana boleh bergelar kartunis tetapi gagal nak baca minda Lat? Membaca komik Mat Som kita boleh lihat betapa luasnya pergaulan dan pengamatan Lat. Kita boleh rasa pengalaman Lat dalam dunia kewartawanan apabila dia mewarnakan watak Mat Som sebagai seorang wartawan bebas yang kerap ke majlis puisi dan sastera.

Dari lukisannya kita nampak juga karikatur sasterawan dan penyair tanahair. Kita boleh lihat betapa Dato’ Lat turut berada dalam kelompok tersebut. Apa lagi bila Lat menggambarkan keadaan kampung dan pekan kecil. Karyawan harus masuk ke dalam dunia tersebut, tidak hanya berkhayal di bilik. Kalau setakat berangan, karya itu akan ‘tawar’ tiada jiwa sebab ia hanya dari imaginasi, bukan keterlibatan yang benar-benar dialami oleh pengkarya!

Apa yang hendak saya sampaikan ialah tentang anggapan bahawa kerja seni itu mudah, malah ada yang menyangka ia boleh dilakukan oleh semua orang. Seperti cogan kata sebuah syarikat penerbangan ‘Kini Semua Orang Boleh Terbang’, ramai merasakan ‘semua orang boleh buat seni’.

Pandai melukis kartun dah digelar kartunis, pandai berkaraoke dah digelar penyanyi, mampu tulis ayat-ayat kontot maka dialah penyair. Senang, mudah, enteng, dan gampang! Jadi pelakon mudah, jadi pemuzik senang, jadi sutradara… eleh, kacang!

Media sosial pentas zaman ini. Kita boleh tunjukkan kerja seni di sana dan kita boleh meletup dan jadi pujaan ramai. Media sosial tiada istilah disiplin, tiada kena belajar dari bawah, tiada kena timba pengalaman dahulu. Tak ada! Sesiapa rasa boleh, buat sahaja. Bila netizen komen ‘bagus!’ maka baguslah kita.

Apabila Awie menyuarakan bahawa kualiti penyanyi media sosial tak sampai standard, pedulikan dia! Ini bukan zaman dahulu. Zaman sekarang kita kira ‘follower’. Follower juta-juta kira berjayalah! Apahal nak cerita bab kualiti? Bukankah ada dakwaan stesen TV tidak mahu mengambil ada seseorang itu berlakon selagi pengikut media social tidak mencecah setengah juga follower?

Kita mahu tarik pengikut, tiada masa nak bincang tentang falsafah dan jati diri. Seni itu kerja main-main, kan? Buat apa fikir dalam-dalam? Ahli politik pun boleh buat sajak, sekali baca atas pentas, berhari-hari sajaknya dipuji.

Bila orang luar kata muzik, lagu, filem kita ketinggalan kita tak perlu marah. Pihak-pihak yang menjaga hal-hal ini pun rileks sahaja tanpa harus berasa malu dan bertanggungjawab. Apa nak heran orang luar cakap? Seni kita, kita punya pasallah! Mereka nak ketawa lantaklah. Begitukah sikap orang-orang yang duduk di pejabat yang menjaga perihal seni dan budaya sehingga bidang ini dianggap tak berguna?

Waktu muda kita layan lagu, tonton drama dan filem. Bila dah berusia, dah kenal surau dan masjid mulalah kita mencemuh para seniman dan biduan yang masih nak cari makan. Insaflah! Taubatlah! Itu semua lagha. Itu semua maksiat. Begitulah ‘hampehnya’ bidang seni di mata masyarakat sedang apa yang mereka pakai, makan, dan guna dihasilkan melalui seni.

Kita sebenarnya ada ramai penggiat seni hebat tetapi dek kerana pihak yang menjaga hal-hal ini tidak serius, maka jadilah kita dan masyarakat kita begini. Buat pun sekadar melepaskan batuk di tangga. Ikut trend sahajalah. Bila filem hantu Indonesia meletup, kita tiru. Bila filem cinta Korea kuasai dunia, kita copy. Putihkan muka hero dan heroin kita. Mana-mana jadi trending kita ikut. Senang! Tak payah fikir.

Buat kerja ‘tenang-tenang’ aja. Kerja seni bukannya susah. Ada kawan yang boleh bikin sikit-sikit, kita bagi dia. Ada anak buah yang reti sikit-sikit, bagi dia kerja. Yang beria-ia bawa idea tu tak usah layanlah. Menyusahkan kerja kita je. Cantas!

Kita tak mahu jadi pemula dan pengasas. Sifat takut, tak yakin dan paling celaka menggunakan kedudukan untuk menyekat idea orang lain kerana takut kedudukan sendiri tergugat; adalah penyebab kita makin ‘maju’ dalam menuju kemunduran.

Triit! Triit!

“Hello, Ronasina. Sabtu ni free tak? Kami nak undang baca sajak di program kami. Ada YB si anu sebagai tetamu,” suara seorang kawan yang kerap menganjurkan program seni muncul di talian.

“Sabtu ni? Free ja,” jawab saya.

“Bagus. Awak baca dua sajak boleh? Emm… tapi bayaran tak ada. Bajet tak ada. Kita makan semeja dengan YB aja, OK?”

Cis! Saya berasa seperti hendak melompat bersila atas kepala kawan itu! Yelah, kerja baca sajak apalah sangat kan? Tak payah bayar sebab kami ini spesis maun, makan daun-daun saja, kan? Dia pun ‘seniman’, dia tahulah! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.