Teringat waktu sekolah dahulu cikgu saya pernah berjenaka dengan mengatakan daerah yang kami diami ketika itu paling ramai orang gila berbanding tempat lain. Oleh kerana masa itu kami tidak ada rujukan perbandingan dengan daerah lain maka kami percaya bulat-bulat kenyataan tersebut. Memang di pekan Bentong ketika itu ada ramai orang gila terdiri pelbagai bangsa. Mengenali nama dan gelaran diberikan kepada orang gila ini merupakan suatu penunjuk aras sesama kami untuk membuktikan benar atau tidak seseorang itu berasal dari daerah kami dan adakah seseorang itu sama-sama membesar di zaman kami.
Ada perempuan cina digelar ‘Toshiba’ bersempena iklan barangan elektrik jenama tersebut di kaca TV yang kami tonton pada hujung 70-an. Iklan tersebut menampilkan seorang lelaki tidak siuman menyebut-nyebut jenama itu berulang kali. Tidak tahu siapa yang mula-mula menggelarkan wanita itu Toshiba tapi hampir ke semua generasi baya kami akan ingat nama itu apabila memperkatakan tentang dia. Begitu juga dengan seorang lelaki cina yang sering dilihat merayau di pekan dengan aksi mengetuk gendang. Dan apabila ada orang Cina kematian, saya melihat dia menjadi pengetuk gendang, sama-sama bermain dengan anggota pancaragam lain. Percayalah, ketukan si gila ini hebat betul! Dia menjadi normal apabila diberikan gendang dan palu.
Kami masih ingat seorang pak cik yang bernama Lisut. Di luar pasar, dia akan menari sambil menjadikan tin minyak tanah sebagai gendang. Di tandas awam sebelah pasar itu dia letakkan beberapa tin dan tong yang penuh berisi air. Kerja dia ialah membasuh kereta yang parkir di tepi jalan. Saya fikir tiada siapa yang suruh dia berbuat demikian tetapi ada juga pelanggan pasar yang parkir kereta di situ memberikan dia duit sebagai upah. Begitulah cara dia mencari rezeki.
Seorang lagi pemuda Melayu, dikenali sebagai Mat Solo. Nama tersebut bukanlah diambil daripada watak dalam naskhah teater Amok Mat Solo sebab saya rasa tiada siapa yang tahu skrip teater karya Salleh Ben Joned itu tetapi mungkin gelaran ‘Solo’ merujuk kepada sifatnya yang suka menyendiri. Mat Solo tidak gila tetapi saya fikir dia kebudak-budakan (retarded). Dia peminat tegar bola sepak dan sangat berminat menjadi pengadil bola sepak. Dia sering dilihat siap beruniform pengadil. Kalau di padang bola ada perlawanan bola sepak dia pasti ada dengan seragam lengkap, bersiap-siaga kalau dia dipanggil menjadi pengadil. Kad merah dan kad kuning memang siap di kocek belakang seluarnya. Ketika kami hendak main bola sepak dan lawan dengan pasukan dari kampung lain, Mat kami panggil untuk menjadi pengadil. Dia datang dan melaksanakan tugasnya. Cuma komplen kami waktu itu ialah Mat berat sebelah. Dia akan menyebelahi pasukan mana yang memberinya ‘upah’ walaupun 10 sen. Itulah dakwaan kami dan jika kami berkumpul hari ini mengimbas kenangan itu kami akan ketawa tetapi tidak pula menafikan dakwaan ‘makan suap’ tersebut.
Tidaklah tujuan tulisan saya ini untuk menjadikan mereka bahan tertawa kerana mereka ini pusing-pusing pun ada tali persaudaraan juga dengan kawan-kawan kami, malah ‘Toshiba’ pun rumahnya tak sampai setengah kilometer sahaja dari rumah saya. Saya ingin menyatakan bahawa itulah pendedahan awal kami melihat bahawa rupa-rupanya di dalam dunia ini ada manusia ‘lain’ yang tidak sama seperti kita yang normal ini. Toshiba, Lisut atau Mat Solo, yang saya difahamkan hari ini semuanya sudah meninggal dunia, saya anggap sebagai kiriman tuhan untuk saya mengenali lebih dalam lagi tentang ragam makhluk ciptaan-Nya.
Kemudian apabila meningkat dewasa saya cenderung ke arah dunia sufi. Selain mengaji tasawuf sikit-sikit dengan abah dan arwah tok, saya juga banyak membaca kitab dan buku kisah ahli sufi. Dalam buku cerita sufi sering saya temui watak orang yang dikatakan gila, bodoh-bodoh alang dan tidak siuman tetapi hebat ilmunya seperti Abu Nuwas, Maulana Nasruddin, Bahlul, Sa’dun dan lain-lain lagi. Ketika saya sedang ‘gila’ dalam aliran itu kerap juga saya bertemu dengan orang gila di jalanan tetapi mampu bercakap dengan saya seminit-dua tentang sesuatu yang menakjubkan sebelum mereka balik semula menjadi gila dan tidak mengendahkan saya lagi selepas itu. Saya obses ketika itu dengan orang gila. Pada fikiran saya ada antara mereka bukan calang-calang manusia. Ada yang ‘terer’. Akhirnya, setelah bertemu dengan beberapa orang daripada mereka barulah saya sedar memang ada orang gila yang ‘terer’ tapi bukanlah asalkan gila mereka itu ‘terer’. Kebanyakannya memang merapulah! Saya pun insaf daripada kegiatan menjejak orang gila. Ha! Ha! Ha!
Sewaktu era reformasi, saya aktif menulis blog dan menyertai demonstrasi jalanan. Kemudian saya menyertai kumpulan aktivis yang giat membuat pelbagai aktiviti. Buat ceramah, forum dan sebagainya. Ketika aktif beginilah tiba-tiba munculnya orang gila yang kerap merayau-rayau sekitar kami.
“Itu SB,” kata kawan kami yang bermaksud mata-mata gelap daripada unit Cawangan Khas (Special Branch) sedang mengintip kegiatan kami. Selain daripada beberapa ‘mamat’ dan ‘minah’ yang agak misteri masuk menyertai kumpulan kami dan menjadi kawan di mana kami syak mereka ini ‘spy’ kerana status mereka ini diragui seperti apa pekerjaan mereka dan di mana mereka tinggal, orang gila juga buat kami paranoia. Asal ada orang gila berkeliaran dekat kami, mesti SB. Entah ya entah tidak. Entah-entah kami sahaja yang bersangka-sangka padahal orang gila tersebut memang betul-betul gila. Bagaimanapun, tak dinafikan memang ada ‘orang gila’ yang kekal misteri terus sehingga menjadi bahan perbincangan kami kerana kemunculan dia yang tiba-tiba dan kehilangan dia pula tak dapat dikesan. Barangkali ‘tugasan’ mereka sudah selesai. Agaknyalah. Kawan-kawan di Jalan Kemuja, Bangsar pasti teringatkan si Francis, lelaki india berperwatakan tidak siuman yang kekal misteri sehingga hari ini. Ciri-ciri seorang spy memang ada pada dia. Wallahua’lam.
“Kenapa orang gila yang kutip makanan di dalam tong sampah tak sakit perut? Kalau kita makan mesti cirit-birit punya,” tanya kawan saya suatu masa ketika kami masih gila bergelumang dengan hal-hal sufisme.
“Itu rezeki dia. Bahagian dia tu, bukan hak kita dah,” jawab saya persis seorang pendeta. Ya, waktu itu memang kami kerap dikatakan gila oleh kawan-kawan dan kenalan kerana keganjilan perangai dan butir-butir perbualan kami tidak ‘masuk line’ dengan topik-topik perbincangan mereka. Kalau tak gila, kami dikatakan sesat tapi kami buat bodoh sahaja. Kami rasa manusia tidak akan pernah adil dalam menilai orang lain termasuklah dalam menilai orang gila.
“Alaisallahu bi’ah kamil haakimiin (bukankah Allah seadil-adil hakim?)” – surah At Tiin ayat 8.
Hari ini saya jarang nampak lagi orang gila. Bila saya balik ke Bentong pun saya sudah tidak nampak ada generasi baharu orang gila yang merayau-rayau keliling pekan seperti zaman kanak-kanak dahulu. Mungkin ada tetapi dah tidak seramai dulu. Agaknya zaman ini kita sudah tidak perasan lagi siapa gila siapa waras sebab gila ada macam-macam gila. Yang kelihatan waras, lawa dan kemas pun gila juga. Kata kumpulan Wings dalam lagu berjudul Hukum Karma:
“Gila darjat, gila nama, gila kuasa, gila harta…semua gila.”
Inilah gila paling bahaya dalam masyarakat. Orang gila seperti ‘Toshiba’ dan Lisut tidak merosakkan budaya dan tamadun, tidak menjahanamkan negara. Paling kecoh pun hanya pekan kecil kami sahaja jika mereka sesekali buat hal membuka pakaian. Tetapi gila darjat, gila nama, kuasa dan harta mampu meruntuhkan bangsa. Kerana gila seperti itulah, Tembok Besar China yang kukuh itu dapat dimasuki musuh. Bukan kerana batu-batu pejal itu berjaya dipecahkan tetapi dengan cara merasuah pengawal yang menjaga tembok itu. Runtuhkan ‘tembok kejujuran’ di jiwa si pengawal yang ‘gila’ habuan, maka kota pun berjaya ditawan.
Hari ini, dunia yang kita diami ini sudah penuh dengan orang gila. Gila mengejar kemajuan, gila berbunuhan, gila persengketaan dan memecah-belahkan demi mengejar kemasyhuran dan kedudukan. Pendek kata, kita sama-sama telah bergelumang dan sebati dalam kegilaan. Gila itu sudah jadi biasa. Kita pun gila kerana sibuk nak mencari siapakah yang lebih gila. Kerana dalam dunia yang serba gila, menjadi waras itulah yang akan dianggap gila! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.