`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, May 9, 2024

Manifesto tak mampu ‘tawan’ undi penduduk KKB

 

tok batin kkb
Tok Batin Kampung Orang Asli Tun Razak Asu Dollah berkata, walaupun tawaran PN nampak menarik di atas kertas, namun ia umpama ‘janji yang sukar dilaksanakan’.

HULU SELANGOR: Rata-rata pengundi di DUN Kuala Kubu Baharu mengakui manifesto bukan kayu pengukur untuk mereka membuat keputusan Sabtu ini kerana ‘kurang teruja’ dengan janji hampir sama yang ditawarkan oleh calon-calon.

Beberapa pengundi yang ditemui FMT mendakwa, tidak banyak beza antara manifesto dua parti utama bertanding, iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), yang menyentuh soal asas seperti ekonomi, kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

Namun, dalam lima tawaran oleh PH dan PN, hanya pembangkang membuat kelainan berjanji membela masyarakat minoriti dengan mendesak perkampungan Orang Asli diiktiraf dan dimartabatkan dengan kemudahan asas berkualiti.

Tok Batin Kampung Orang Asli Tun Razak Asu Dollah berkata, walaupun tawaran PN nampak menarik di atas kertas, namun bagi masyarakatnya, ia umpama ‘janji yang sukar dilaksanakan’.

“Tawaran itu kalau mereka boleh buat, kita setuju, tapi saya rasa tak boleh (tunaikan), sebab dia pembangkang, apa dia boleh buat? Cakap memang senang.

“Sedangkan kerajaan negeri pun tak mampu buat dan berat nak agihkan kawasan-kawasan untuk diwartakan,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, pesara kerajaan Nasrin Hashim berkata, beliau lebih memilih personaliti calon berbanding kandungan manifesto parti.

“Soal manifesto saya tak kisah, tetapi saya akan nilai, calon bertanding itu mestilah Melayu Islam,” katanya.

Ah Wong
Ah Wong.

Sementara itu, menurut pemilik gerai makan Ah Wong, 55, parti yang bertanding hanya sibuk menyantuni pengundi pada musim pilihan raya, namun ‘ghaib’ selepas itu.

“Manifesto ini siapa-siapa boleh janji … tetapi buat tak,” katanya ketika ditemui di pekan Kuala Kubu Bharu.

“Orang politik ni semua sama sahaja, bila nak datang undi, salam cium tangan pengundi, tapi apabila menang, susah kita nak minta bantuan.”

Lim
Lim.

Seorang lagi pengundi, Lim, 50, mencelah: “Saya tak tengok manifesto, sebab mereka janji saja, lepas menang lari, tak buat juga.”

Bagaimanapun, bagi Fazli Husin, 33, beliau akan memastikan calon muda menang agar kesinambungan pembangunan bandar warisan bersejarah itu dapat diteruskan.

“Soal manifesto, dua-dua lebih kurang sama sahaja … nak perkuat ekonomi, pelancongan tempatan, tapi saya akan pilih orang muda kerana ada tenaga nak buat kerja,” katanya.

Di sebalik tawaran manifesto itu, penduduk turut berharap kerajaan negeri mempertimbangkan semula kadar caj letak kenderaan di pekan Kuala Kubu Bharu yang berkuat kuasa awal tahun.

Raju
Raju.

“Penduduk di sini kecewa, sepatutnya KKB ni kawasan hulu, tak perlulah kenakan bayaran letak kenderaan. Kalau nak caj, juga pastikan kemudahan ditambah baik dahulu, contohnya, lampu jalan kurang di sini,” kata M Raju, 62.

Sabtu lepas, calon PH Pang Sock Tao mendedahkan manifesto lima teras menumpukan aspek ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya, serta kesejahteraan rakyat.

Dua hari kemudian, calon PN Khairul Azhari Saut mengumumkan manifestonya yang turut menumpukan pada lima teras merangkumi pembangunan, alam sekitar, ekonomi setempat, wanita dan belia, selain membela kumpulan minoriti. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.