`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, May 21, 2024

Melaka terima 2 keris dipercayai peninggalan Hang Tuah

 

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh menerima penyerahan dua artifak, iaitu keris dipercayai peninggalan Hang Tuah, daripada Tun Muhammad Amin Ahmad dalam majlis ringkas di sebuah hotel di Ayer Keroh hari ini. (Gambar Facebook)

MELAKA: Kerajaan negeri menerima dua artifak, iaitu Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum, dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang diwarisi turun-temurun sejak kira-kira 600 tahun lepas.

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata, artifak berkenaan diterima daripada Tun Muhammad Amin Ahmad, iaitu waris ke-11 Hang Tuah yang berasal dari Kepulauan Bintan, Riau, di Indonesia.

“Keris Sundang itu dipercayai peninggalan Hang Tuah dan merupakan hadiah daripada Tun Perak yang juga bapa mentuanya. Hulu keris itu juga diperbuat daripada perak yang melambangkan anugerah Tun Perak kepada menantunya itu.

“Artifak kedua pula merupakan sepasang Keris Hukum atau keris sula yang dititahkan oleh sultan kepada bendahara untuk dijatuhkan hukuman, iaitu satu digunakan untuk lelaki dan satu untuk wanita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf menerima dua artifak itu daripada Tun Muhammad Amin dalam satu majlis ringkas di sebuah hotel di Ayer Keroh, yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Abdul Razak Abdul Rahman.

Menurut Ab Rauf, artifak itu adalah sebahagian daripada warisan bersejarah untuk tatapan rakyat di negeri itu, khususnya generasi muda, bagi memahami sejarah dan kehebatan pahlawan Melayu itu dalam era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

“Tentunya artifak kepunyaan Laksamana Hang Tuah yang kita terima daripada waris ke-11 Hang Tuah ini bakal menjadi tarikan utama sempena Pameran Hang Tuah yang bakal berlangsung selama sebulan pada Jun ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.

Sempena pameran itu juga, beberapa artifak peninggalan sejarah Hang Tuah dari Okinawa, Jepun, selain India dan Turki akan turut dipamerkan, katanya.

Peninggalan kesan sejarah itu juga, katanya, dapat membuktikan pengembaraan dan pelayaran Hang Tuah dan meyakinkan beliau lahir di bumi Melaka sejak kurun ke-14. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.