`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, May 21, 2024

Melihat hantu

 

Free Malaysia Today

Suatu waktu dahulu heboh cerita hantu di kejiranan saya. Pakcik dan makcik, abang dan kakak, serta anak-anak kecil riuh bercerita setiap malam akan bunyi suara mengerang dan menangis di dalam hutan atas bukit berdekatan rumah kami. Bunyi menangis itu dikaitkan dengan suatu kes sebelum ini.

Ada jiran kami sebelum membuat kenduri kahwin memanggil seorang bomoh untuk ‘memagar’ kawasan kejiranan daripada gangguan hantu setan. Saya menyaksikan seorang bomoh berkaki ayam membawa mangkuk berisi air dan seikat mayang kelapa. Sambil merenjis air dia berjalan naik ke bukit. Untuk saya yang masih belum akil baligh, melihat upacara tersebut merupakan suatu pengalaman baharu yang pelik lagi asing.

“Sejak itulah bunyi hantu menangis tu terdengar. Agaknya ‘dia’ menangis sebab tak dapat masuk kawasan kita lagi. Dah dipagar,” kata seorang makcik sambil mengangkat-angkat bahu menggayakan aksi takut.

Anehnya di antara mereka yang heboh bercerita mendengar hantu merintih itu, rumah sayalah yang paling dekat dengan bukit. Tidak pulak saya dengar bunyi ngeri seperti yang diperkatakan tapi bagaimanapun saya mesti bawa perkara ini ke pengetahuan keluarga.

“Eeee takut!” kata saya memulakan bicara di meja makan. “Sekarang ni ada hantu atas bukit tu. Tiap-tiap malam ada bunyi suara macam orang menangis.”

“Tak ada hantu!” tiba-tiba abah memotong membuatkan saya tersentak. Nadanya tidaklah keras atau marah tetapi tegas. “Percaya ada hantu atau kuasa lain itu syirik!”

Saya terus terdiam dan tidak membangkitkan hal itu lagi. Di kala jiran tetangga masih bercerita, kami di rumah tidak terlibat dengan heboh-heboh ini. Namun begitu, saya masih lagi berasa takut. Setiap malam saya cuba juga memasang telinga untuk mencari kepastian. Memang benar ada bunyi, memang seperti suara orang merintih. Sayu dan cukup mendayu. Cuma apabila diamati betul-betul ia sebenarnya salakan anjing.

Memang saya yakin itu suara anjing. Bunyi itu saya rasa abah dan mak pun dengar tapi sedikitpun mereka tak ambil pusing. Berlanjutan sehingga dua tiga minggu, akhirnya bunyi itu tiada lagi. Kawasan kejiranan kami kembali aman. Hantu sudah pergi barangkali, kata jiran-jiran. Kanak-kanak sebaya saya kembali berani melepak di luar rumah antara maghrib dan isyak.

Tak tahu kenapa abah seperti anti dengan kisah-kisah hantu. Dia ikut perangai bapanya barangkali, iaitu Tok saya. Tok tak suka cerita hantu diperbesar-besarkan sampai kita jadi takut. Pernah ketika saya buka laci almari Tok, saya terlihat sebuah novel hantu. Apabila saya selak muka surat pertama terdapat catatan Tok memberi amaran supaya jangan baca buku cerita tersebut yang menurutnya karut lagi syirik.

Tok selalu bercerita kepada cucu-cucunya kisah hantu yang hendak menyakat tetapi dia lawan. Dia ajar kami berani dan jangan takut hantu. Antara cerita yang saya masih ingat ialah suatu malam dia dan kawannya pergi menggagau udang dengan menaiki sampan. Di tengah malam gelap di Sungai Perak mereka disakat dengan suara perempuan ketawa mengekek. Tok sergah balik.

Katanya, “kalau kamu berani cer naik perahu ini bior kami berdua ‘giliorkan‘ kamu.”

Saya dan sepupu-sepupu tak dapat menangkap apa maksud ‘gilirkan’ itu kerana kami masih kanak-kanak. Rupanya Tok dan kawannya mencabar ‘perempuan yang mengekek’ itu jika berani cubalah naik. Kami hanya membayangkan Tok dan kawannya akan memukul hantu tersebut jika ia menjelma.

“Senyap terus!” kata Tok diiringi ketawa.

Itu satu di antara beberapa cerita lagi. Barangkali perangai Tok mengalir ke abah dan abah ingin mengajar anak-anaknya agar jangan takut hantu. Kalau takut hantu, satu apa kerja pun tak jadi. Kita bukan sahaja syirik kerana takutkan kuasa lain selain Tuhan yang disembah tetapi takut kepada hantu juga telah membantutkan banyak usaha kita untuk maju.

Katanya, nak bina jambatan pun orang kita tak dapat sebab ditakut-takutkan dengan hantu tak ada kepala. Kerana selalu ditakut-takutkan sejak kecil maka secara psikologinya apabila dewasa kita pun jadi tidak berani dalam apa juga hal, malah untuk menegakkan hak sendiri pun. Itulah penangan takut yang ditanam sendiri sehingga lemah jiwa.

Bila saya masuk sekolah asrama, ada saya bercerita kepada mak dan abah tentang pengalaman saya melihat kawan sebilik dirasuk tetapi mak dan abah tidak beri respon yang lebih. Dia tidak pula membantah tetapi tidak juga menyuruh saya buat apa-apa seperti membaca ayat Kursi atau sepertinya. Agaknya mak dan abah sedang mengajar saya. Agaknyalah! Mungkin mereka membiarkan sahaja saya melalui segala peristiwa kerana hidup kita ini pasti akan menemui berbagai-bagai lagi kejadian. Tempuhilah cabaran yang datang secara ‘gentle‘ berbekalkan keyakinan dan pegangan diri. Mungkin begitu agaknya kaedah mereka dalam membentuk peribadi saya.

Apabila saya jadi cikgu dan warden asrama saya bertemu lagi dengan kes-kes pelajar disampuk dan dirasuk. Jenuh juga nak menangani kes-kes yang kedatangannya sesekali macam suatu musim pula. Kadangkala lucu juga sebab ada kes kalau dilihat macam sengaja dibuat-buat tetapi nak kata mengarut ia memang berlaku. Betul-betul depan mata! Pelajar yang dirasuk lain macam tenaganya dan keupayaannya. Memanjat dinding pun boleh. Ini bukan reka-reka, ini betul-betul depan mata. Manusia ke jin? Atau hantu?

“Memang betul ke ada hantu?” tanya saya kepada abah suatu ketika apabila saya sudah menginjak dewasa.

Tiada ulasan lanjut daripada abah. Kali ini abah cerita pula kisah waktu mudanya dia pernah melihat hantu tetapi tidak sedikitpun menakutkannya. Kesimpulannya, abah juga macam Tok mahu anak-anaknya tak lut dengan cerita-cerita hantu yang buat manusia jadi takut tak menentu. Cerita seronok-seronok bolehlah tapi jangan sampai jadi pengecut.

“Yang mewujudkan hantu itu kita sendiri,” kata abah. “Kita sendiri yang membayangkannya. Bila kat hati kita terdetik ingatan pada hantu maka terus deria kita berhubung dengan alam sekeliling. Automatik, bulu roma meremang. Tapi kalau kita tak memikirkan ia, tak adalah! Jin dan iblis itu memang ada di dunia ni tapi ia tak mampu menembusi kalau tak ada ‘contact’ dengan dalaman kita yang lemah.”

Lalu saya teringatkan rakan sekerja saya, Bonnie, seorang gadis Cina baya-baya anak sulung saya sekitar tak sampai 25 tahun usianya. Dia kerap buat kerja seorang diri di studio sampai lewat pagi.

“Hantu?” terbeliak matanya bila saya tanya adakah dia pernah jumpa hantu sepanjang kerja. “Saya tak ada fikir langsung, wo!”

“Awak langsung tak pernah terfikirkan hantu? Tak pernah alami bunyi pelik?” saya tanya lagi.

Dia menggelengkan kepala. Nampaknya tidak wujud langsung hantu dalam kamus hidup Bonnie. Tak pernah sesaat pun dia terfikirkan hantu maka tidak ada hantu dalam dunianya.

“Saya hanya takut orang jahat saja,” katanya. Betul juga. Belum ada kes manusia dirompak hantu atau mati digigit drakula. Yang kita pernah dengar pontianak dipaku untuk diperisterikan.

Nampaknya manusia makhluk paling menakutkan dan mampu merosakkan. Bukan hantu polong atau langsuir. Manusia yang berperangai hantu – yang suka mengganggu ketenteraman orang lain dengan mengadu domba, menghasut, mengkhianat, atau mencederakan; itu lebih bahaya dan patut ‘dipagar’. Manusia hantu ada di mana sahaja tidak kira siang atau malam, di dalam rumah atau luar, di pejabat, di rumah ibadat – dia ada. Toyol yang mencuri duit juta-juta itu manusia. Manusialah yang menghisap ‘darah’ dan memerah keringat manusia lain, bukan drakula. Yang menarah hutan, memusnahkan alam pun manusia, bukan bunian atau jembalang. Perempuan yang mati bersalin itu syahid hukumnya, bukan lahir semula menjadi pontianak. Aduh!

“Tak kisahlah! Memang kita semua tahulah apa yang kau cakap ni. Memanglah manusia itulah hantu yang paling bahaya. Tapi, hantu itu sendiri memang benar-benar wujudkah?” tanya saya kepada seorang kawan.

“Ada,” jawabnya.

“Kau pernah jumpa?” saya mengasak inginkan pengesahan.

Dia diam sebentar sebelum menjawab, “Tak pernah tapi kawan aku pernah. Dia cerita masa tu dia sedang memandu…”

“Dah! Dah! Tak payah cerita pasal kawan kau. Aku mau cerita kau sendiri,’ saya memotong sebelum dia melalut.

Saya mahukan riwayat dia sendiri, pengalaman dia sendiri bukan pakai modal orang lain, sanad orang lain. Ternyata tak ramai yang benar-benar pernah melihat hantu dengan mata kepala sendiri. Semuanya pakai cerita pengalaman kawan atau kisah daripada mak ngah dan pak long mereka. Maka itu, saya tidak percaya adanya hantu.

Anda bagaimana? Percaya sebab pernah nampak sendiri atau percaya hanya sekadar dengar-dengar cerita kawan? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.