`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, May 21, 2024

Polis ketat kawalan di bangunan kerajaan, tempat tumpuan

 

balai polis ulu tiram
Serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei lalu mengorbankan dua anggota. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis memperketatkan kawalan di bangunan kerajaan, tempat tumpuan awam dan fasiliti berkepentingan susulan beberapa insiden serangan dan ancaman baru-baru ini.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Azmi Abu Kassim, berkata justeru pihaknya sentiasa bersiap siaga dan memperketatkan kawalan keselamatan pada tahap tertinggi.

“Ketua polis negara (KPN) telah mengarahkan semua peringkat kepimpinan PDRM serta petugas di lapangan mengambil langkah komprehensif semasa menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling, prosedur operasi standard (SOP) dan arahan semasa yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius beberapa insiden serangan dan ancaman yang berlaku di tempat awam termasuk beberapa lokasi sensitif dan premis kerajaan sehingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum mengenai tahap keselamatan dan ketenteraman negara.

Azmi mengingatkan masyarakat terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan isu keselamatan negara kepada pihak berkuasa.

“Polis tidak akan bertolak ansur kepada anasir yang cuba mengancam keselamatan dan mengganggu gugat ketenteraman awam. Tindakan tegas berlandaskan lunas undang-undang akan diambil tanpa mengira status dan latar belakang mereka yang terlibat,” katanya.

Pada 17 Mei lalu Balai Polis Ulu Tiram, Johor, diserang sehingga mengorbankan dua anggota masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, manakala pada 19 Mei seorang lelaki cuba menyerang anggota di Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, dua lelaki ditahan kerana cuba menceroboh masuk Istana Negara pada 17 Mei. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.