`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, May 28, 2024

Sedia tanding 7 kerusi Bersatu, PAS mahu tambah kekuatan, kata penganalisis

 

Penganalisis berkata PAS mempunyai kekuatan akar umbi terutama di Kelantan untuk memenangkan calon PN jika berlaku PRK di tujuh kerusi yang wakil rakyat Bersatu berpaling tadah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kesediaan PAS bertanding di tujuh kerusi milik Bersatu yang wakil rakyatnya berpaling tadah menyokong pentadbiran kerajaan perpaduan mungkin didorong untuk menambah kekuatannya, kata penganalisis politik.

Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan PAS mungkin merasakan mereka lebih berkemampuan mengekalkan kerusi itu untuk Perikatan Nasional (PN) jika berlaku PRK, lebih-lebih lagi dua daripada enam kerusi Parlimen terbabit terletak di Kelantan, kubu kuatnya.

Kerusi terbabit adalah Gua Musang yang kini disandang Mohd Azizi Abu Naim dan Jeli diwakili Zahari Kechik. Pada PRU15, mereka bertanding menggunakan logo bulan PAS seperti ditetapkan pucuk pimpinan PN.

Menurut Mujibu, selain mahu mengukuhkan kedudukan di kubu kuat, faktor kemerosotan sokongan terhadap Bersatu yang turut berdepan krisis kepimpinan turut menguatkan hasrat terbabit.

“PAS mungkin merasakan mereka mempunyai hak moral untuk menuntut kerusi itu jika ditandingi di bawah lambang PAS (PRU15).

“Namun mengambil konteks Jeli dan Gua Musang Umno dilihat masih kuat di situ, meletakkan bekas ahli parti itu yang kini bersama Bersatu dilihat lebih sesuai,” katanya kepada FMT.

Selain Azizi dan Zahari, Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim terdiri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Minggu lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata parti itu bersedia bertanding di kerusi itu jika PRK berlaku sekiranya keahlian wakil rakyat terbabit terlucut kerana gagal mengikuti arahan dikeluarkan Bersatu pada 17 Mei, antaranya melarang menyokong Anwar.

Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dalam maklum balasnya berkata PN terbuka membincangkan hasrat PAS itu walaupun mengikut prinsip parti penyandang kerusi diutamakan untuk dikekalkan bertanding pada PRU atau PRK.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia pula berpandangan keterbukaan Bersatu itu mungkin kerana yakin dengan kesetiaan PAS yang turut mempunyai jentera akar umbi kuat terutamanya di Kelantan.

“Calon dari PAS lebih dipercayai untuk setia dengan PN daripada calon Bersatu.

“Kepimpinan PN akan melihat kekuatan dan kelemahan PAS dan Bersatu di setiap kawasan dan mengagihkan kerusi berdasarkan kepada pertimbangan itu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.