`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 5, 2024

Suhu meningkat di KKB

 

Free Malaysia Today

Cukupkah Ahmad Fadhli Shaari sekadar mohon maaf atas keterlanjurannya terhadap Pang Sock Tao, calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini? Ada yang melontarkan cadangan supaya ketua penerangan PAS itu menunjukkan sijil-sijil persekolahannya pula demi berlaku adil agar perbandingan dapat dibuat.

Tapi soalnya di sini bukan berkisar pada keadilan. Sesiapa pun boleh buat andaian bahawa niat bekas ketua pemuda PAS itu hanya mahu mengundang persepsi buruk terhadap Pang yang menghabiskan alam persekolahannya di SJKC On Pong, Ampang dan Sekolah Menengah Chung Hua, Port Dickson. Cuma, apa buruknya bersekolah Cina jika ia dapat mendidik murid cemerlang?

Atau Fadhli lebih megah bersekolah agama yang memberikannya gelaran ustaz?

Selepas Pang menayangkan transkrip dan sijil kelulusan pendidikan rendah dan menengahnya di Facebook — UPSR dapat 7A dan SPM dapat 10A — sebagai menyahut cabaran Fadhli, pemimpin PAS itu jelas terkedu. Barangkali boleh saja diandaikan sijil persekolahannya sendiri tidak secemerlang itu kecuali Fadhli boleh menafikan dengan bukti.

Isu berkaitan pencapaian pendidikan calon menjadi kontroversi dalam PRK Kuala Kubu Baharu susulan wujud dakwaan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, mengemukakan sijil palsu. Bagaimanapun, isu itu selesai selepas Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah mengesahkan sijil sarjana eksekutif pengurusan perniagaan dimiliki Khairul, di sebalik beliau ‘melompat’ dari taraf diploma tanpa melalui kursus ijazah sarjana muda.

Fadhli sebelumnya menuntut Pang menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengah kerana tiada catatan di poster profil calon PH itu. Sebagai perbandingan, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengutarakan persoalan mengenai kelulusan akademik Khairul sebenarnya ditimbulkan oleh warganet dan bukan oleh PH. Maksudnya kedua-duanya tidak boleh disamakan.

Memohon maaf selepas itu, Fadhli bagaimanapun berharap isu sekolah vernakular membabitkan Pang akan berterusan hingga PRK sambil mengharapkan “pendedahan berkenaan diingati pengundi”. Sekali lagi ‘ustaz’ ditempelak, kali ini oleh Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching yang merumuskan Fadhli teperangkap dengan permainannya sendiri dan terpaksa membangkitkan isu sekolah vernakular untuk menutup malunya sendiri.

Tidak dapat dipastikan pendapat sesetengah pemerhati bahawa sikap ditunjukkan Fadhli itu boleh menyebabkan calon PN kehilangan undi, terutama daripada pengundi Cina. Tapi harus tidak keterlaluan untuk Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil menyimpulkan bahawa PN terpaksa bermain dengan isu kaum dan agama termasuk berkaitan sekolah vernakular kerana pemimpin parti itu sudah ketandusan idea. Justeru, Fahmi yang juga menteri komunikasi meminta jentera PN bagi PRK KKB supaya menghentikan bermain dengan sentimen perkauman kerana ia ibarat senjata makan tuan.

Bercakap mengenai ketandusan idea atau isu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dari hari penamaan calon pada 27 Apr lagi mengatakan PH sudah ketiadaan modal, sebaliknya PRK ini akan menjadi suatu ‘referendum’ rakyat bagi menunjukkan ketidaksetujuan dan kehilangan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Madani.

Menyuarakan keyakinan “110%” PN akan rampas kerusi DUN Kuala Kubu Baharu yang diwakili DAP sejak 2013, Muhyiddin berasa pemilihan calon Melayu memberikan parti itu kelebihan di samping rintihan rakyat terhadap kos sara hidup, lantas pengundi diajaknya menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan dengan memberi undi kepada calon PN. Itu yang dimaksudkannya sebagai ‘pungutan suara’ terhadap kerajaan.

“Banyak isu yang yang akan membebankan (kerajaan perpaduan). Isu paling ketara ialah masalah ekonomi, masalah kos sara hidup, masalah kenaikan harga barang, masalah cukai bertambah dan selepas ini rasionalisasi subsidi minyak yang akan meningkatkan kos sara hidup. Ini akan cukup membebankan rakyat,” katanya.

Kebergantungan PN pada undi Melayu sahaja bagaimanapun tidak cukup untuk ia menang. Muhyiddin mengakui gabungan itu akan menang jika 80% hingga 90% pengundi Melayu keluar mengundi, dengan peratus lebih rendah akan memberi kelebihan kepada PH. Lazimnya, PRK ini juga tidak terkecuali, pengundi sudah menetapkan pilihan masing-masing dari awal, dengan tempoh dan modal berkempen hanya untuk berebut pengundi atas pagar yang akan menunggu hingga saat-saat akhir menentukan calon mana patut dipangkah.

“Kalau dari segi logiknya, di sini ada 47% pengundi Melayu, 30% pengundi Cina, 18% pengundi India dan 5% lain-lain termasuk Orang Asli. Congak kasar kalau pengundi Melayu keluar 80% sehingga 90%, kita menang. Itu formula besar,” katanya.

Tidak salah anggapan bahawa pengundi India dan Orang Asli akan jadi kingmaker dalam PRK ini. Jika diandaikan pengundi Melayu lebih cenderung kepada PN — seperti ramalan penganalisis — dan pengundi Cina pula terhutang budi kepada bekas ADUN Lee Kee Hiong yang kematiannya akibat kanser pada 21 Mac lalu membuka laluan kepada PRK ini, pengundi India dan Orang Asli akan menjadi kuasa pemutus.

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir percaya sokongan masyarakat khususnya pengundi India terhadap calon PH semakin mendapat momentum positif, sekali gus memperlihatkan mereka yakin dengan kerajaan sedia ada. Ini didasarkannya kepada pengundi India di Kuala Kubu Bharu berkumpul daripada pelbagai parti menghadiri Malam Perpaduan Sempena Hari Pekerja 2024 di Dewan Serbaguna Chuang, Rasa kelmarin. Ia dikatakannya petanda baik tahap sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Pada PRN Ogos tahun lalu, sebahagian besar pengundi India memihak kepada PH hingga Lee menang dengan majoriti 4,119 undi. Pengundi India yang menjadi ahli MIC kira-kira 2,000 ahli dalam DUN ini dijangka memihak kepada calon PH sekali lagi, tambahan dengan sokongan penuh kepemimpinan MIC dijangka memberi impak dalam PRK ini.

Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yang keluar daripada DAP dan menubuhkan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia, dan bekas ketua pemuda MIC yang kini menjadi presiden Parti Rakyat India Malaysia SP Punithan mendesak pengundi India menolak PH. Namun, tidak diketahui sebesar mana pengaruh mereka.

Apa yang jelas, tidak semuanya dilihat lancar buat PN. Timbul dakwaan sebilangan pemimpin Bersatu memboikot Khairul Azhari susulan ketiadaan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dalam mana-mana kempen calon PN itu. Begitu juga ketidakhadiran pemimpin PAS Pusat pada proses penamaan calon kerana lebih mengutamakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Perlis. Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, terpaksa tampil membuat penafian.

Di pihak kerajaan, Presiden Umno, Zahid Hamidi, yakin ahli parti itu akan memberi sokongan kepada Pang daripada beberapa siri penjelasan di peringkat akar umbi dan mereka tidak terpengaruh dengan beberapa isu dimainkan pembangkang konon kerjasama Umno-DAP ditolak orang ramai.

Pembangkang, katanya, sudah ketandusan modal seperti dicerminkan penyokong PN menggabungkan logo Umno dan DAP ketika hari penamaan calon.

“Ini bukan pertama kali mereka melakukan taktik dipanggil ‘UMDAP’ ini, pilihan raya enam negeri yang lepas juga dimainkan isu yang sama. Saya pasti banyak isu lama akan diputar semula bagi PRK Kuala Kubu Baharu ini kerana mereka telah ketandusan modal dan gunakan modal lama untuk hentam Umno,” katanya.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng ketika berucap dalam pertemuan bersama pengundi India di Dewan Serbaguna Chuang, Rasa pada Khamis mengingatkan pengundi supaya tidak memilih calon pembangkang semata-mata untuk ‘melepas geram’ kerana ia akan menyebabkan rakyat menanggung akibat. Sebaliknya, tegasnya, masalah rakyat akan dapat diselesaikan dengan memilih calon kerajaan perpaduan kerana kerajaan negeri dan pusat diwakili parti sama.

“Kalau nak wakil rakyat pandai cakap, pandai berlakon, pandai marah, pilih pembangkanglah. Tapi ingat lepas geram apa anda dapat? Ada masalah tak boleh selesai, perut lapar tak boleh kenyang, kalau anda nak masa depan cerah dia cakap belakang kira. Kalau pilih calon Pakatan Harapan, kita bukan sahaja boleh jaga. Ada masalah boleh selesai, yang penting kita boleh bawa pembangunan bukan sahaja kerajaan negeri dan persekutuan… dua-dua sekali jalan,” katanya.

Sama ada Pang menang atau sebaliknya pada 11 Mei ia tidak akan mengubah kedudukan di DUN Selangor — kehilangan satu kerusi tidak akan menyebabkan kerajaan negeri tumbang. Tapi kemenangannya akan memberi lonjakan semangat besar buat kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, sebarang kegagalan Khairul merampas kerusi itu tidak akan tinggalkan impak besar juga — lagipun ia bukan kerusi yang sebelumnya milik mereka. Cuma, kemenangan akan memberi modal besar buat PN terus menjaja naratif ‘referendum’.

Pada peringkat ini, tiada pihak yang boleh meyakini kemenangan sudah dalam tangan yang menjurus kepada kempen seminggu terakhir ini — disertai pemimpin tertinggi kedua-dua gabungan — akan memuncak untuk Kuala Kubu Baharu terus berbahang buat beberapa ketika lagi.

Seperti disimpulkan Menteri Besar Amirudin Shari, kehangatan kempen akan semakin ‘menggila’ kerana serangan dan serangan balas yang boleh menjurus kepada majoriti tipis — di pihak mana pun.

Sedikit kelebihan mungkin di pihak parti penyandang bersandarkan persamaan dengan pentadbiran di peringkat pusat — itu pun tidak mungkin ‘110%’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.