Seperti penyair lainnya, ada dua kategori puisi brader Pyanhabib. Yang lembut berbisik, lunak dibaca, dan karam asyik kalau kita mengulangnya. Juga, ada yang ketara mengherdik tetapi tepat mengena saat dibidiknya.
Kategori pertama yang lembut berbekas dalam kalbu itu kebanyakannya terjelma dari era Anak Alam, tahun-tahun 1970-an yang mungkin sahaja terasuh oleh nama sepenting Usman Awang atau Latiff Mohidin. Puisi era ini ditandai banyaknya pertanyaan, ada banyak keluh kesah berjiwa, ada banyak nota untuk diri, ada banyak misteri dan teka-teki, lagi-lagi ada banyak ritma lagu. Barangkali yang paling mewakili Pyan di saat ini puisinya yang terkenal berjudul ‘Suara’.
Tulis Pyanhabib, antara lainnya:
“Sepi berguling pada tebing bukit-bukit bening
pedih memilu
resah mengerang pada jurang gaung-gaung garang
pahit mengilu
“Hey
pernahkah engkau melihat aku mundar-mandir
di lorong-lorong usang hanyir
pernahkah engkau
“Hey
pernahkah engkau melihat aku tersungkur-mundur
di warung-warung gelas anggur
pernah engkau”
Sebagai salah seorang penyair Anak Alam yang tersohor, dia memang mewakili kota Kuala Lumpur. Penyair jalanan, Pyan seniman di celah pasar, yakni pengarang merakam rasa dan pengalaman. Lihat sahaja puisinya yang sedap dibaca seperti ‘Sayur Bahasa’:
“Di tengah kota
ada pasar
dalam pasar
ada orang
pada orang
ada bahasa
– setiap orang
punya bahasa –
bahasa-bahasa
suku-suku bangsa
bertempur
di tengah-tengah kota
hingga
lidah tergeliat
bahasa terseliuh.”
Barangkali yang ikut terkelompok dalam puisi lembut seorang Pyan juga adalah sajaknya yang nakal. Sebagai contoh puisi ala haikunya bertajuk ‘Taman’:
“Maaf
kalau aku tersentuh
susumu yang penuh.”
Atau ambil sahaja puisinya yang erotis tetapi penuh tersembunyi dan memancing rasa yang berjudul ‘Perawan’ terkarang pada 30 Dis 1980:
“Alangkah nikmatnya jika waktu-waktu begini aku bersamamu di kamar yang peratusnya adalah kesenyapan. Sambil memetik-memetik hujung jari-jarimu mengulit membelai mimpi di ranjang. Engkau pun menakluki keakuanku dan meleburnya tanpa rasa kesangsian. Degup jantungmu umpama hentakan tapak-tapak kuda. Malulah aku untuk menceritakan tentang harum tubuhmu itu.”
Sebuah puisi yang baik akan mengundang pembaca masuk menerobos ke dalam ruang rasa yang sukar diungkapkan. Lebih diulang baca maka lebih lagi ada tafsiran-tafsiran yang menular. Debur dan debar jantung itu diumpamakan sebagai hentakan tapak kuda, dan bait menyentak ini disimpulkan dengan perasaan penyair yang ‘malu’ memikirkan ‘harum tubuh’ pujaannya.
Puisi lembut Pyan memang tidak diduga lembutnya. Dua tiga kali bergaul dengan Pyan, selalu serasa kutunya, atau terkesan usik selorohnya. Justeru untuk khalayak awam yang melihat Pyan mundar-mandir di Pasar Seni, atau di sela Pesta Buku; orang akan lekas berasa ingin menangkap jerkah dan teriak sajaknya. Puisi kategori kedua ini, iaitu sergah dan sergap tidak juga mudah digarap. Hanya penyair yang baik dapat menguasai kategori ini.
Bukanlah bermakna puisi pekik itu perlu menakik dan mencakar deria pendengaran. Puisi tempik bukan sahaja tampil menitik di telinga namun juga harus mengetuk sehingga tersentak. Kemahiran Pyan memang di sini, tambah kalau kita mendengar arwah mendeklamasikannya.
Ambil misalnya puisi ‘Bayangkan’ yang begini bunyinya:
“Bayangkan:
segala makhluk politikus Malaysia sama ada spesies pemerintah atau pembangkang, segala yang korup segala yang bangsat, segala yang berhati nabi segala yang berhati Hitler, dikumpul ke dalam tongkang dan dibiarkan hanyut ke laut lepas, keputusannya barangkali: aman Malaysia!”
Tentu ia terasa kasar dan lambak kedai kopinya. Pun pemilihan diksi dengan mesej kasar itu masih diambil berhati-hati dan barangkali terilham oleh mualnya Pyan dengan alun-alun gosip politik. Maka kejemuan itu terserlah begini ‘segala yang berhati nabi segala yang berhati Hitler’. Dalam amuk puisinya, Pyan masih tetap mencari imaginasi dan detik yang mengena untuk mengetuk.
Demikian juga dalam puisinya ‘Pejuang dan Politikus Kemerdekaan’, Pyan membandingkan negarawan sejati dengan pemimpin yang beragenda dalam tiap tindak dan gerak. Catatan Pyan begini:
“Pejuang kemerdekaan, bergolok gadai segala harta (punya hutang keliling pinggang, tidak tertanggung sampai mati)
“Politikus kemerdekaan, hidup mewah dan kaya raya (punya banglo gah tersergam, sekali terbakar keluar surat khabar).”
Pemerhatian dan perbandingan itu memang tidak lagi seru untuk generasi hari ini. Akan tetapi demikianlah puisi, Pyan menggunakan segenap imaginasi untuk menyelongkar kebejatan segelintir politisyen; ‘banglo gah tersergam, sekali terbakar keluar surat khabar’. Masih nikmat ritma dititip dalam ejekan yang pedas itu.
Dalam sajak kategori kedua begini, iaitu puisi pekik dan tempik, penyair selalu diberi lesen untuk membebel, mencarut, dan menyelar. Pyan menggunakan kelebihan ‘jalanan’ dan ‘kutunya’ itu untuk menghantar mesej sakit hatinya. Lihat misalnya puisi ‘Apa Sumbangan Anda Kepada Negara?’
“Apa sumbangan anda kepada negara? Gua? Bayar cukai ni!
Cukai tanah, cukai api, cukai air, cukai angin, cukai jalan, cukai lesen, cukai tol, cukai itu cukai ini, cukai mamak malah cukai kencing di KLCC.
“Bayangkan pelan-pelan, tutup mata, heningkan kepala
akan ternampak pelbagai cukai yang lu sama gua kena bayar
sampai mampos!”
Mudah membayangkan Pyan membaca puisi ini dan kita tertawa seronok bertepuk tangan. Puisi begini memang dicipta untuk disorakkan. Memanglah ia untuk digelakkan, yakni membodohkan diri sendiri yang mendengarnya.
Saya percaya ada banyak lagi puisi Pyan yang tersembunyi. Banyak yang berterabur dan ada yang mungkin hilang bersama zine dan penerbitan independen zaman lalu. Tentulah sayang karya arwah Pyan itu terbiar, dan hilang meliar.
Khazanah Pyan yang ada serba sedikit sangat berbekas. Tetapi yang paling hebat ialah peribadinya yang juga besar dan menular dalam setiap pemuja, peminat, pengikut, dan juga penggemar seorang brader seperti Pyanhabib. Lihat sahaja ramainya hadirin di masjid dan kuburan mengiringi jenazahnya ke alam barzakh.
Terima kasih Pyanhabib. Hati suci, budi wangi; dari Anak Alam dan demonstrasi membawa kepada senda gurau Pesta Buku. Bang, anda antara anak pertiwi yang demikian berjasa. Moga aman di sana, di negeri abadi.
Kita semua tahu abang sedang berhimpun dengan jiwa-jiwa yang baik, dan barangkali siapa tahu, abang juga sedang bersajak dengan penuh segak. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.