Saya tidak pernah meragui kebolehan, kemahiran, juga kepakaran guru Singapura yang mengajar bahasa Inggeris di republik itu. Cuma kadangkala saya tidak dapat elak daripada merasa kasihan untuk mereka, kerana apa yang dipanggil ‘Singlish’ seakan meremehkan segala kerja baik mereka.
‘Singlish’ singkatan Singapore dan English, terbentuk daripada campuran bahasa-bahasa tempatan dengan bahasa sejagat itu. Perbendaharaan atau kosa kata Singlish terdiri daripada perkataan bahasa Inggeris, Melayu, Hokkien, dan Kantonis maka lahirlah ‘lah‘, ‘leh‘, ‘mah‘, dan ‘meh‘ yang lazim muncul pada hujung ayat. Timbul juga ‘Wah lau so expensive‘ untuk sesuatu yang sangat mahal. Ada juga ‘you siao‘ seolah bertanya ‘kamu gila?’.
Istilah Melayu juga digunakan lantas ada ‘sure kena’ atau ‘chup the table for makan’ dan ‘he like very atas’ untuk menggambarkan seseorang yang berlagak kaya. Pasti ‘alamak’ kerap digunakan. ‘Don’t play-play‘ atau jangan main-main memang popular, lebih lagi apabila kerap digunakan oleh watak utama sebuah siri komedi, Phua Chu Kang, yang disukai ramai pada 1900-an.
Bahasa Inggeris antara empat bahasa rasmi Singapura. Rata-rata rakyatnya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Ada yang bertutur dengan baik, siap dengan grammar yang betul, ada yang bercakap slanga orang Inggeris atau Amerika. Ada yang bertutur ‘biasa-biasa’ dan ada yang bercakap lintang-pukang tanpa menghiraukan grammar. Apa pun kebanyakkan orang menggunakan Singlish, terutama golongan muda.
Pada lewat tahun 1990-an pemerintah Singapura melancarkan kempen ‘Speak good English’ dan berusaha membasmi Singlish. Perdana menteri waktu itu, Goh Chok Tong, menyalahkan siri komedi Phua Chu Kang yang katanya mempopularkan Singlish. Penerbit berjanji akan tone down Singlish tetapi bagi saya yang mengikuti siri itu penggunaan Singlish tidak menunjukkan pengurangan ketara.
Sekarang rakyat Singapura apabila berbual memasukkan Singlish sama ada sedar atau tidak, terpulang pada keadaan. Singlish terus ditonjolkan di media sosial malah ia mendapat seakan pengiktirafan apabila digunakan oleh watak dalam filem box office, Crazy Rich Asians. Tempoh hari pada konsert Taylor Swift di Singapura, seorang penari yang mengiringi persembahan Swift berinteraksi dengan penonton menggunakan Singlish.
Suka atau tidak Singlish is here to stay. Ia sebahagian identiti Singapura. Menurut kajian Universiti Kebangsaan Singapura, rakyat tidak boleh diarah jangan menggunakan Singlish kerana ia wujud bersama lain-lain bahasa yang digunakan oleh rakyat Singapura.
Oleh itu adakah guru bahasa Inggeris Singapura merasa kecewa kerana walaupun bekerja keras supaya orang bercakap good English, Singlish tetap menjadi pilihan ramai? Adakah mereka rasa kerja selama ini sesuatu yang sia-sia? Saya kata tidak dan saya yakin mereka tidak patah semangat. Mereka tetap akan mengajar bahasa Inggeris sebaik mungkin di Singapura… dan di Malaysia jika mereka dibawa ke sini untuk mengajar.
Persoalannya adakah guru Singapura akan dibawa ke negara ini? Mereka menjadi bahan berita dan mendapat perhatian ramai apabila perdana menteri dilapor berkata Malaysia sudah berbincang dengan Singapura untuk membawa guru republik itu mengajar bahasa Inggeris di negara ini.
Lantas timbul reaksi. Ada dalam kalangan rakyat Malaysia tidak setuju kerana kata mereka akan menelan belanja besar kerana gaji guru berkenaan pastinya dibayar dalam mata wang Singapura. Ada pula yang bertanya sama ada guru Singapura berminat datang ke Malaysia dan meninggalkan gaji lumayan dan kehidupan selesa?
Tetapi beberapa hari lalu Anwar Ibrahim menjelaskan apa yang dibincangkan dengan Lawrence Wong, rakan sejawatnya dari Singapura, ialah kemungkinan republik itu menghantar guru sukarelawan. Oleh itu soal gaji lumayan yang mesti dibayar Malaysia tidak timbul kerana mereka dibiayai Singapura. Saya teringat tahun 1960-an Amerika Syarikat menghantar gurunya yang menjadi anggota Peace Corp atas pembiayaan Washington.
Berikutan penjelasan perdana menteri, semua yang dibangkit seperti disebut tadi bolehlah diabaikan kerana sudah tidak relevan.
Namun bagi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan atau PAGE, Malaysia sepatutnya segan dengan cadangan membawa sukarelawan dari Singapura ke negara ini. Pengerusinya, Noor Azimah Rahim, mempersoal sama ada Putrajaya mengakui pemansuhan sekolah aliran Inggeris pada 1970-an merupakan kesilapan (izinkan saya menambah – sehingga terpaksa meminta bantuan Singapura).
Sememangnya standard bahasa Inggeris di Malaysia merosot sejak pemansuhan sekolah aliran Inggeris. Ini mencetuskan pelbagai masalah yang tidak perlu dihuraikan di sini. Perlu ditegaskan ada guru yang mengajar bahasa Inggeris tidak mahir seperti yang diharapkan kerana mereka juga hasil sistem persekolahan yang wujud berikutan keputusan pada 1970-an, lalu mereka tidak boleh dipersalahkan.
Bagaimanapun bagi saya demi mencari ilmu tidak patut ada rasa segan atau malu. Demi kebaikan pelajar tidak ada salah atau rasa malu jika kesilapan diakui berlaku dahulu, Apatah lagi kesilapan (jika diakui silap) dilakukan oleh kerajaan masa lalu, bukan kerajaan masa ini.
Berdasarkan itu saya kira membawa guru sukarelawan Singapura tidak ada salahnya malah sesuatu yang bagus jika langkah itu boleh membantu menaikkan tahap pengajaran bahasa Inggeris.
Menurut Annuar Rapaee, timbalan menteri pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat Sarawak, kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Pendidikan patut mencontohi Sarawak yang bekerjasama dengan yayasan dari Singapura untuk menaik taraf guru tempatan menerusi bengkel latihan, perkongsian berstruktur, dan perundingan dalam talian, antara lain. Beliau bercakap mengenai pendidikan secara menyeluruh bukan sahaja tentang pengajaran bahasa Inggeris.
Berbalik kepada persoalan tentang guru bahasa Inggeris Singapura. Ada pihak berpendapat lebih baik kerajaan mengambil guru negara ini yang sudah bersara. Pengalaman mereka wajar dimanfaatkan. Antara yang mencadangkan demikian ialah bekas menteri Rafidah Aziz. Saya setuju, bagaimanapun kita tidak punya ramai guru top class seperti yang Rafidah maksudkan. Guru yang cekap mengajar good English sudah lama bersara dan sudah lanjut usia, lantas tidak sesuai untuk menghantar mereka ke kawasan pedalaman seperti yang difikirkan kerajaan. Bagi guru bahasa Inggeris yang baharu bersara dan masih bertenaga, adakah mereka benar-benar up to the mark? Terpulang interpretasi masing-masing.
Ada pula dalam kalangan masyarakat bukan Melayu yang sangsi kerajaan akan mengambil semula guru bahasa Inggeris yang sudah bersara kerana ‘majoritinya mereka orang bukan Melayu manakala kerajaan mahu tolong orang Melayu sahaja’. Dalam pada itu ada pula dalam kalangan orang Melayu yang curiga kalau ada mubaligh Kristian dalam kumpulan guru sukarelawan Singapura yang mengajar pelajar Islam di kawasan pedalaman.
Bagi saya kesangsian orang bukan Melayu dan kecurigaan orang Melayu yang disebut ini amat memualkan dan membimbangkan. Macam mana nak maju kalau perangai begini? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.