`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, June 15, 2024

Tiada putus asa buat juara sejati

 

hishamuddin-aun

“Tak ada ke peluang atlet ‘sukan kecil’ seperti saya nak menang anugerah olahragawan,” tanya Syarul Azman Mahen Abdullah kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh selepas tidak menang pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) tahun lalu.


Jawapan Yeoh kepadanya harus tidak mematahkan semangat — bahawa Syarul Azman atau lebih mesra disapa ‘Mike’ hendaklah terus mencipta kejayaan tahun demi tahun hingga tiada atlet lain mampu mengatasi pencapaiannya.

Dia akur meskipun kecewa. Cuma, masa semakin mencemburuinya ketika usianya sudah hampir menginjak 50 tahun — ketika rejim latihan kerasnya dirasakan berganda-ganda lebih memenatkan, berisiko lebih tinggi mengalami kecederaan sambil keperluan menahan selera daripada makanan kegemarannya lebih menguji kesabaran.

Yeoh akan sentiasa mempertahankan keputusan jawatankuasa pemilihan yang dianggotai wakil-wakil Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Institut Sukan Negara (ISN), dan media arus perdana yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memutuskan pemenang.

Sebenarnya sudah jenuh Mike memikirkan kemungkinan dia satu-satunya atlet bina badan yang tercalon hingga ke pemilihan akhir tetapi tidak menang dibandingkan dengan Malek Noor yang dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 1986 dan Sazali Samad, olahragawan sebanyak empat kali pada 2000, 2006, 2013, dan 2014.

‘Sukan kecil’ seperti dimaksudkannya merujuk kepada kegagalannya selaku atlet bina badan untuk memenangi anugerah itu sebanyak enam kali di antara 2016-2022 kepada atlet-atlet dari sukan seperti paralimpik, lumba basikal, bowling dan badminton. Ini di sebalik dia muncul juara dunia kategorinya (ketinggian sehingga 167 sentimeter) pada 2016, 2017, 2018, 2019, 2022, dan 2023.

Pencalonan sulungnya untuk olahragawan pada 2016 berkesudahan dengan kekalahan kepada Abdul Latif Romly (lompat jauh T20 Sukan Paralimpik). Seterusnya dia kalah kepada jaguh lumba basikal Azizulhasni Awang pada 2017, Rafiq Ismail (bowling) 2018, dan Azizulhasni sebanyak dua kali lagi pada 2019/20 dan 2021.

Seakan-akan sudah ketentuan baginya, dia sentiasa disaingi atlet-atlet yang menambah nilai kepada pencapaian peringkat dunia mereka sama ada dengan gelaran berganda, catatan rekod, atau mengakhiri satu penantian panjang.

Bagi majlis ASN tahun lalu, Mike yang sudah bergelar juara dunia buat kali kelima sekali lagi ketiadaan rezeki apabila kalah kepada beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik — pemain pertama Malaysia yang menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo pada 28 Ogos 2022 bagi menamatkan penantian 45 tahun negara untuk gelaran itu.

Dengan kekecewaannya ketika itu, hanya persaraan yang bermain-main di fikiran Mike kerana tiada sebarang rasa sesal pada dirinya selepas memberikan sehabis dayanya selama bertahun-tahun di samping akur ia bukan rezekinya untuk berada sebaris dengan Malek dan Sazali dalam sukan yang telah membawa banyak kejayaan kepadanya.

Di sebalik merendah diri mewakili ‘sukan kecil’, Mike juga harus melihat kepada kejayaan atlet olahraga dan lumba basikal yang bergelar olahragawan kebangsaan tanpa menakluki peringkat tertinggi dunia, antaranya Rabuan Pit (1980 dan 1982), Rosman Alwi (1985), M Kumaresan (1987), M Ramachandran (1993), Nur Herman Majid (1994), Shahrulneeza Razali (1999), Nazmizan Mohamad (2003), dan Josiah Ng (2004).

Di samping itu, Sazali yang mahu dicontohi Mike sebenarnya lebih dahulu kecewa ketika dua kali dicalonkan dalam pemilihan akhir sebelum akhirnya mendapat pengiktirafan tertinggi kerajaan pada majlis ASN 2000.

Kesudahannya kata-kata rangsangan Yeoh supaya terus berusaha mengulangi kejayaan di peringkat dunia selain matlamat yang ditetapkannya untuk bertanding buat kali terakhir pada usia 50 tahun membuat persaraan Mike tertangguh setahun lagi — satu keputusan berat yang bukan sahaja tidak akan disesalinya, malah akan disyukurinya sampai bila-bila.

Pada 10 Nov 2023 dengan berpentaskan Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fisik 2023 di Wonju, Korea Selatan, Mike menambah koleksi gelaran dunia miliknya buat kali keenam. Dua bulan sebelum itu, dia turut unggul dalam Kejohanan Asia di Nepal, juga buat kali keenam.

Menghadapi saingan Ng Eain Yow (skuasy), Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuestrian), Arif Afifuddin Ab Malik (karate), dan Rafiq Ismail (bowling) dalam pencalonan akhir, Syarul Azman menjadi pilihan sebulat suara untuk dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 2023 manakala Natasha Mohamed Roslan (bowling) diumumkan Olahragawati Kebangsaan.

“Ketika mula dicalonkan untuk anugerah ini pada 2016, saya rasa ia satu pengiktirafan tersendiri. Hanya selepas beberapa kali lagi dicalonkan barulah saya terfikir mengapa tidak menanginya pada suatu hari. Saya bekerja lebih keras untuk terus unggul dalam sukan ini.

“Sebagai seorang atlet, kini kerjaya saya sudah lengkap. Kejayaan ini membuktikan bahawa atlet dari sukan kurang popular seperti bina badan boleh menjadi juara dunia dan menang anugerah olahragawan kebangsaan. Saya harap kejayaan ini mampu merangsang lebih ramai atlet Malaysia untuk bergelar juara dunia,” katanya selepas menerima anugerah daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Selepas mengumumkan persaraannya pada penghujung pembabitannya selama 26 tahun sebagai atlet, Mike yang berperanan sebagai jurulatih sejak Mac lalu boleh merenung kerjaya panjangnya yang disudahi dengan kejayaan amat bermakna.

Tiba masanya untuk dia merehatkan lutut kanan dan bahunya daripada kesakitan yang ditanggungnya sejak 2001 lagi sebagai pengorbanan untuk mencapai apa yang dicita-citakannya.

Untunglah dia tidak mudah berputus asa kerana sikap mengalah seperti itu tidak akan mengangkatnya sebagai seorang juara sejati. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.