`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, July 16, 2024

Biar Johari buat kerjanya atau bawa ke mahkamah

 

hishamuddin-aun

Berapi-api juga perang mulut di antara dua ‘juruhebah’ Umno Dr Akmal Saleh dan Lokman Noor Adam berkait keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul minggu lalu mengekalkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Ia sampai ke tahap caci-maki dan kata-mengata seolah-olah kedua-duanya bukan mewakili parti yang sama.

Menyusuli kenyataan Akmal – ketua Pemuda Umno — yang mempersoalkan keputusan speaker tidak mengosongkan kerusi terbabit yang ditakrifkannya diwakili katak-katak politik, Lokman – ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan ketua sekretariat media kerajaan perpaduan – menyindir Akmal supaya tidak menjadi jurucakap Perikatan Nasional (PN).

Akmal melalui akaun Facebook peribadi beliau membuat hantaran 

Jangan marah rakyat jika mereka benci pada orang politik, selamat menjahanamkan negara wahai katak-katak politik.

Membalas sindiran Adun Merlimau itu bahawa akta antilompat parti diluluskan Parlimen sia-sia selepas wakil rakyat berpaling tadah tidak hilang kerusi hingga rakyat berasa muak, Lokman melontarkan pandangan bahawa rakyat tidak pun kisah kecuali pimpinan PN yang memasang Impian untuk ambil alih kuasa.

Kamu juga katak politik,
 balas Akmal kepada Lokman yang dahulunya ahli PKR sebelum menyertai Umno dan dilabelkannya sebagai 
penjilat
.

Dalam Umno sendiri, wujud pandangan yang berbagai-bagai. Presiden Zahid Hamidi mempertahankan keputusan speaker dibuat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Situasi mereka (enam bekas Ahli Parlimen Bersatu) berbeza dengan kedudukan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional kerana kesemua mereka menandatangani tiga dokumen sebelum menerima surat watikah untuk menjadi calon. Ketika keluar dari parti, mereka perlu membayar bon berjumlah RM100 juta. Ini dilakukan sebelum mereka mengemukakan kertas pencalonan. Berbeza dengan situasi Bersatu di mana pindaan perlembagaan parti dibuat setelah mereka ini menyatakan sokongan kepada perdana menteri,
 katanya.

Senada dengannya, Naib Presiden Umno Khaled Nordin, dalam menyangkal dakwaan Akmal konon Akta Anti Lompat Parti hanya sia-sia sebagai pandangan peribadinya, mempertahankan keputusan Johari melalui surat kepada ketua whip Bersatu Ronald Kiandee 9 Julai lalu tidak dipengaruhi oleh kerajaan perpaduan. Parlimen sebagai satu institusi bebas, katanya, membolehkan speaker membuat keputusan sendiri dengan menggunakan kuasa diperuntukkan kepadanya.

Turut ditonjolkannya ialah pindaan perlembagaan dibuat Bersatu dan diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk berkuat kuasa 1 Apr lalu lebih bertujuan memastikan enam Ahli Parlimennya yang menyokong Anwar — Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) — hilang keahlian mereka.

Bukan menghairankan jika Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang kecewa dengan Johari menegaskan alasan dikemukakannya dangkal dan tafsiran dibuatnya terhadap Perkara 49A(3) songsang hingga mencemarkan Perlembagaan Persekutuan, penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah pula beranggapan keputusan speaker itu bermotifkan politik.

DUN Kelantan lebih memahami undang-undang anti-lompat parti ketika mengosongkan kerusi DUN Nenggiri. (Keputusan speaker Dewan Rakyat) tak boleh berbeza di antara satu dengan yang lain kerana peruntukan dalam perlembagaan itu sama,
 katanya merujuk pindaan perlembagaan pada 2022 yang memerlukan kerusi wakil rakyat dikosongkan sekiranya keahliannya dalam partinya gugur.

Menghadapi serangan dari pelbagai penjuru sepanjang minggu lalu, Johari menekankan beliau bukan posmen untuk terus memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila menerima notis kekosongan enam kerusi Parlimen daripada Bersatu, sebaliknya membuat kajian sendiri dan membaca semua kenyataan mengenai Perkara 49 sebelum memutuskan pendiriannya.

Seorang posmen lebih bermaruah kerana tidak akan sesekali buka surat dan baca kandungannya. Dia tahu tugasnya menghantar surat,
 tulis bekas menteri Zaid Ibrahim di laman X sambil menambah: 
Kamu pula tidak tahu tugas kamu. Tugas kamu ialah beritahu SPR. Itu tugas kamu, bukan untuk mendapatkan sokongan maksimum kepada PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).

Ini apa cerita? Datangnya daripada katak politik juga – Zaid pernah bersama parti KITA, PKR, Umno dan DAP – kritikannya terhadap Johari harus memeranjatkan, tambahan ia bukan dibuat di Dewan Rakyat dan speaker juga tidak boleh menjawabnya.

Malah, Zaid jugalah yang mencadangkan agar Umno mendesak speaker digantikan dengan seorang tokoh yang lebih adil walhal beliau pun tahu perkara itu tak akan berlaku kerana Zahid menyokong Johari bersabit keputusannya tidak mengosongkan kerusi bekas enam Ahli Parlimen Bersatu itu.

Lagipun, Anwar sendiri menyatakan Johari bertindak berdasarkan Perlembagaan dan taksiran undang-undang berkaitan secara keseluruhannya di samping ia harus dipersalahkan kepada pimpinan parti Bersatu yang menentang supaya keahlian mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti gugur secara automatik semasa perbincangan mengenai undang-undang itu dilakukan.

Kita tahu kerana kita semasa itu sebagai pembangkang yang berkeras mahu masukkan bahagian kalau dipecat sekalipun mesti gugur tetapi mereka menentang. Ini semua ada rekodnya,
 katanya merujuk kepada desakan pembangkang ketika itu supaya undang-undang berkenaan diketatkan tapi Bersatu pula mahukan sebaliknya.

Menepis dakwaan konon kerajaan enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen itu kerana takut kalah dalam pilihan raya kecil yang perlu diadakan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menarik perhatian kepada pertikaian di media sosial yang mengimbas kembali kenyataan Muhyiddin sewaktu perbahasan Akta Antilompat Parti yang jelas bercanggah dengan pendekatan beliau ketika ini.

Muhyiddin (ketika itu) menyatakan bahawa pemecatan tidak harus menjurus kepada pengosongan kerusi. Kalau kita teliti kenyataan Muhyiddin sekitar November 2022 sejurus selepas selesai PRU15, beliau berkata tidak salah ahli Umno menyokong beliau jadi perdana menteri. Jadi, saya lihat Muhyiddin adalah seorang hipokrit yang telah lupa apa dia cakap sama ada dalam Parlimen atau sejurus selepas PRU15,
 katanya.

Tidak salah untuk menyimpulkan keputusan Johari tempoh hari dilihat dari kanta yang berbeza-beza, dengan sesetengah melihatnya dari sudut kepentingan masing-masing – sama juga dengan peruntukan undang-undang antilompat parti yang tidak semestinya ditafsirkan serupa.

Apakah Johari akan dianggap adil apabila sentiasa memihak pembangkang? Di sebalik tidak mungkin beliau akan berbuat demikian, speaker juga sentiasa sedar keputusannya – tambahan jika ada kekhilafan daripada interpretasi undang-undang – boleh dicabar di mahkamah.

Hujah Ahli Parlimen Bangi dari DAP Syahredzan Johan ketika berbahas Khamis lalu menawarkan satu perspektif: “Saya bangkit untuk mempertahankan Tan Sri (speaker), saya tak nak sentuh tentang keputusan yang telah dibuat sebab keputusan itu sudah tentu banyak interpretasi. Dibawa 50 peguam dalam satu bilik, 50 pendapat yang akan keluar. Tapi akhirnya kita perlu ada seseorang yang memutuskan apakah interpretasi itu betul atau tidak.

“Dalam konteks yang kita ada sekarang berkenaan sama ada terdapatnya kekosongan enam ahli dalam dewan ini, persoalannya siapa yang patut putuskan. Kalau kita tengok perlembagaan persekutuan, (nyatakan) apabila speaker menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli (Dewan Rakyat) apabila berlakunya kekosongan luar jangka, speaker hendaklah memastikan ada berlaku kekosongan luar jangka berkenaan dan memaklumkan kepada SPR. Maknanya speaker perlu memutuskan sama ada terdapat kekosongan luar jangka.

Dalam hal ini saya faham perasaan pihak sebelah sana tetapi keputusan telah dibuat. Jika pihak sebelah sana tak puas hati masih ada langkah boleh diambil. Boleh pertimbang bawa ke mahkamah walaupun saya tahu ada satu keputusan Mahkamah Persekutuan yang mungkin tidak memihak kepada pihak sebelah sana. Tapi kalau kita nak berbicara tentang keputusan atau kuasa speaker, saya fikir tidak ada persoalan lagi Jelas terang lagi bersuluh dalam perlembagaan yang telah dirujuk rakan-rakan di sebelah sana. Jadi, saya tak nampak apa isu teknikal yang dibangkitkan oleh sebelah sana,
 katanya.

Kesudahannya, Anwar berkata kerajaan sedia berbincang meminda akta antilompat parti untuk menutup kelompongan pada undang-undang itu. Terpulang kepada PN… jika tidak mahu buat silap lagi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.