`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, July 16, 2024

Pesanan mursyidul am PAS

 

Mohsin Abdullah

Apabila agamawan Haron Din meninggal dunia pada September 2016, Allahyarham waktu itu adalah mursyidul am PAS. Haron sememangnya terkenal hebat. Oleh itu apabila PAS mencari penggantinya tentulah pilihan parti seorang yang paling tidak, mesti sama hebatnya dengan Haron. Muncul Hashim Jasin, yang dilantik mursyidul am sebulan selepas Haron meninggal dunia.

Hashim ‘had big shoes to fill’. Namun, beliau tidak kurang hebatnya lantas dhormati. Bercakap mengenai pendidikan, Hashim adalah antara 10 pelajar Malaysia yang mendapat tajaan kerajaan Iraq untuk melanjutkan pelajaran ke Baghdad pada 1964. Beliau belajar di Universiti Baghdad dalam jurusan perundangan Islam dan bahasa Arab. Dalam politik Hashim pernah menjadi Ahli Parlimen untuk Arau dan Adun Sanglang, Perlis. Apa yang ingin saya sampaikan ialah kata-kata beliau selaku mursyidul am PAS ‘carry weight’ dan seharusnya didengar oleh PAS dan juga Bersatu sekutunya dalam Perikatan Nasional.

Baru-baru ini Hashim memberi nasihat seperti dilapor FMT 13 Julai lalu. Pemimpin PAS dan Bersatu kata beliau perlu berlapang dada dengan meletakkan matlamat penubuhan PN sebagai perkara asas berbanding memikirkan kepentingan jangka pendek seperti pemilihan calon PRK DUN Nenggiri di Kelantan 17 Ogos ini.

Nasihat atau peringatan itu diberi berikutan pertikaian ahli PAS dan Bersatu berhubung isu siapa calon PN di Nenggiri. Bagi Bersatu kerusi Nenggri dimenangi calon mereka pada PRN tahun lalu. Oleh itu kata Bersatu mereka berhak bertanding semula di kerusi itu.

Orang PAS pula mengingatkan Bersatu, calon parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu bertanding di Nenggiri waktu itu adalah atas tiket PAS dan menang pun dengan menggunakan simbol PAS. Interpretasinya ialah ‘technically’ pengundi Nenggiri memilih PAS. Tidak boleh dinafikan PAS kuat di Kelantan dan logo bulan sangat ‘familiar’ buat orang Kelantan.

Wakil Bersatu waktu itu ialah Mohd Azizi Abu Naim, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, kemudiannya mengumumkan sokongan terhadap PMX. Baru-baru ini speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi Nenggiri susulan perlucutan Azizi sebagai ahli Bersatu.

Azizi bertukar haluan digunakan PAS untuk menuntut hak bertanding di Nenggiri. Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad memberitahu FMT, pengundi bimbang jika ahli Bersatu dipilih jadi calon dan mereka mengundinya, calon Bersatu itu akan melakukan apa yang calon Bersatu dahulu buat. Yakni alih sokongan lagi.

Oleh itu, PAS Gua Musang menyerahkan tiga nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan PAS sebagai calon parti di Nenggiri.

Ketua Bersatu Kelantan Kamaruddin Md Nor bertindak balas. Katanya soal keyakinan atau kebimbangan pengundi ‘sebenarnya tidak berbangkit’. Lalu beliau mengingatkan PAS akan ‘rekod’ masa lalu di mana orangnya bertukar haluan. Kamaruddin mengaitkan bekas pemimpin PAS termasuk Mohamad Sabu.

Untuk mengatakan keadaan panas dan tegang antara PAS dan Bersatu di Kelantan akibat isu ini ‘is stating the obvious’. Namun dalam kehangatan suasana, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Bersatu akan mewakili PN pada PRK Nenggiri selaku penyandang kerusi berkenaan.

Rasanya keadaan masih panas sehingga mendorong mursyidul am tampil dengan nasihatnya. 

Kena letak matlamat penubuhan perpaduan kita di tempat asal supaya jangan rosak kerana kalau bergaduh di peringkat PRK kesannya akan membawa kepada PRU16 nanti pada seluruh negara,
 kata Hashim kepada FMT.

‘Wise words from a wise old man’. Hashim berusia 84 tahun. Adakah PAS khususnya di Kelantan akan dengar nasihat beliau? Yang saya pasti mereka akan akur dengan keputusan diumum Tuan Ibrahim. Sebenarnya mereka tidak punya pilihan kerana keputusan sudah dibuat. Dan jangan lupa PAS ada amalan wala’ mereka.

Diakui banyak kata-kata kesat sudah dan masih dilempar oleh PAS dan Bersatu. Serangan Kamaruddin memang mengguris hati PAS. Sama ada PAS akan menggerakkan jenteranya membantu calon Bersatu dengan jiwa dan raga ‘remains to be seen’.

Pandangan peribadi saya peluang PN di Nenggiri lebih cerah jika calonnya orang PAS. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.