`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, September 9, 2024

PRK Mahkota: BN umpama siar-siar di taman?

 

hishamuddin-aun

Zahid Hamidi nampaknya cuba memberi gambaran bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan mendapat laluan mudah untuk mempertahankan kerusi DUN Mahkota, lantas menagih kerjasama erat semua parti dalam kerajaan perpaduan menggerakkan kempen bagi memenangi hati pengundi. Apa sebab-sebabnya barangkali hanya pengerusi BN dan presiden Umno itu yang tahu.

Di atas kertas, ia akan umpama suatu malapetaka jika BN tidak mampu kekalkan kerusi berkenaan dalam PRK 28 Sept ini pada ketika segala kelebihan dilihat memihak gabungan itu. Jaminan kerjasama parti-parti komponen BN di samping Pakatan Harapan (PH) akan ikut serta dalam kempen mengisahkan hanya sabotaj dalaman yang boleh menggagalkan mereka. Itu pun tidak berkemungkinan berlaku.

Ini ditambah lagi dengan keputusan pada 18 Ogos yang dicapai Amanah Johor – awalnya mahu menuntut kerusi itu atas kepercayaan ia memiliki calon berkelayakan dan boleh menang – akur dengan keputusan mesyuarat tertinggi PH untuk parti itu tidak meletakkan calon.

Kemudian, Wanita Umno dan Pemuda Umno Kluang juga mahu menampilkan calon masing-masing tapi kesudahannya dipersetujui Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah dipilih sebagai calon BN seperti diumumkan pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN, Sabtu lalu.

Dirangsang oleh kemenangan BN dalam PRK Nenggiri 17 Ogos lalu – kali pertama keputusan berkalih dalam sembilan PRK selepas PRU15 – PRK Mahkota penting untuk meneruskan momentum kemenangan buat kerajaan perpaduan yang sebelumnya menghadapi serangan dari pelbagai sudut oleh pembangkang.

Namun, apa yang menjadi modal kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam PRK Sungai Bakap pada 6 Julai – serangan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim kononnya sebagai pemimpin sebuah kerajaan yang gagal di samping isu kenaikan kos sara hidup dan tidak mengutamakan kebajikan rakyat – tidak memberi banyak kesan di Nenggiri.

Begitupun, berbanding Nenggiri sebuah kawasan luar bandar yang penduduknya 99% Melayu, Mahkota pula adalah kawasan bandar yang penduduknya berbilang kaum – Melayu 57%, Cina 34% dan India 7%. Jangkaannya tentu sekali akan berlainan.

Kita jangan terbawa-bawa dengan menang 3,000 lebih undi semasa PRK Nenggiri, kita rasakan PRK Mahkota pun boleh menang selesa. Mahkota kawasan pengundi yang mempunyai latar belakang berbeza,
 pesan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada 30 Ogos sambil menambah jumlah pengundi muda bawah 40 tahun di kawasan itu lebih 50% yang pendapat mereka juga berbeza.

Zahid dalam pada itu menekankan bahawa kemenangan pada PRK Mahkota penting – kali pertama jentera semua parti komponen BN dan PH terlibat sejak penubuhan kerajaan perpaduan – kerana ia akan menjadi model dan formula kepada kempen jentera kerajaan perpaduan pada pilihan raya akan datang.

Ringkasnya, tidak dapat tidak, kemenangan seboleh-bolehnya dengan majoriti lebih besar hendaklah dipastikan. Pada PRN 2022, BN menang menerusi calonnya Sharifah Azizah Syed Zain dengan majoriti 5,166 undi dalam pertembungan empat penjuru mengatasi calon PH (11,445), PN (7,614) dan Warisan (555).

Semua jentera parti kerajaan perpaduan ada untuk PRK Mahkota ini. Jadi, kemenangan yang akan dicapai ialah kemenangan yang signifikan. Saya yakin di Mahkota semua jentera kerajaan perpaduan akan buktikan solidariti, ini jentera kerajaan Madani. Formula ini, cara ini akan kita guna pada PRU16 agar kita terus kekal jadi kerajaan,
 kata Zahid di Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN pada Sabtu.

Timbalan Ketua Umno Johor Ahmad Maslan sebelum ini berkata jumlah pengundi yang besar – 66,000 orang dengan 29 pusat daerah mengundi (PDM) – di samping faktor komposisi kaum serta media sosial antara tiga cabaran utama perlu ditangani jentera BN yang dituntut bekerja keras untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

(Kehadiran pengundi Cina 35% dan India kira-kira 8%) membawa kepada cabaran kedua iaitu pecahan kaum yang bermakna jentera perlu berhadapan dengan pola pemikiran berbeza mengikut kaum. Cabaran terbesar yang boleh menggugat peluang calon BN ialah capaian kepada media sosial,
 katanya.

Sambil menambah keadaan ini memang terbuka dengan kecaman dan serangan media sosial, Ahmad berkata ia menuntut jentera parti digerakkan dengan lebih aktif menangani isu tempatan dan nasional di alam maya.

PN Johor menerusi Naib Pengerusinya Abdullah Husin percaya calon PN ada peluang menang kerana isu seperti harga barang dan kenaikan kos sara hidup termasuk disebabkan penyasaran semula subsidi diesel sejak 10 Jun – sama seperti diuar-uarkan pembangkang pada PRK Sungai Bakap.

PN ada peluang menang mengambil kira gelombang perubahan, kesedaran rakyat kepada kerajaan hari ini, melibatkan isu semasa termasuk isu-isu nasional seperti kenaikan harga barang, diesel dan macam-macam kelemahan dilakukan kerajaan yang menyusahkan rakyat. Suasana politik di Mahkota lebih kurang sama dengan suasana di Sungai Bakap, jadi kita akan ambil semangat Sungai Bakap,
 katanya.

Penganalisis dari Universiti Sains Malaysia Zaireeni Azmi berpendapat faktor calon akan dapat membantu calon PN dari Bersatu jika yang diketengahkan ialah anak tempatan yang bagus dan berupaya mempengaruhi pengundi muda. Faktor ini, katanya, penting dengan jangkaan jentera kempen BN akan memanfaatkan kes hasutan yang dihadapi Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai bahan kempen.

Pada 27 Ogos lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu pada 14 Ogos dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula optimis dengan peluang Umno sekalipun tanpa bantuan jentera PH. Lebih-lebih lagi jika BN dan PH bekerjasama, akan bertambah sukar buat Bersatu mencuri kerusi DUN Mahkota.

Namun, agak menghairankan juga apabila Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Annuar Musa semalam berkongsi keyakinan bahawa BN akan memenangi PRK Mahkota dengan majoriti lebih besar apabila diambil kira jumlah keseluruhan undi calon BN (lebih 16,000 undi) dan PH (lebih 11,000 undi) pada PRN November lepas.

Apa lagi dalam PRK, dengan segala jentera kerajaan pusat dan negeri yang sudah dikerah bekerja, dijangkakan BN dengan mudah menambah undi mereka seperti di PRK Nenggiri. Mungkin (peroleh) lebih 30,000 undi,
 katanya sambil menambah ia akan menjadi manifestasi kejayaan jajaran baharu mereka bersama kerajaan perpaduan.

Andai benar seperti diramalkannya, PRK Mahkota tidak ubah akan seperti ‘bersiar-siar di taman’ buat BN, yang bagaimanapun tetap perlu bekerja keras daripada dilalaikan oleh pandangan sedemikian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.