`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, September 30, 2024

Anak Sabari kenal suspek disyaki campak ayah dalam sungai

 

Muhammad Amir Hakimi Sabari
Muhammad Amir Hakimi Sabari (tengah) mendengar penerangan daripada polis berhubung operasi pencarian jasad bapanya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA
Anak lelaki kepada pesara Felcra, yang disyaki dibunuh dengan cara dicampak dalam Sungai Padang Terap dekat Jitra, mengakui mengenali suspek sambil menyifatkan perbuatan mereka sangat kejam.

Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, berkata mengenali suspek iaitu kontraktor yang sedang membina rumah jiran di hadapan rumah bapanya sejak lima bulan lalu.

Saya kenal suspek yang melakukan perbuatan itu terhadap ayah dan tindakannya sangat keterlaluan dan kejam,
 katanya menurut Bernama.

Amir Hakimi hadir ke lokasi kejadian di Sungai Padang Terap untuk mendengar penerangan daripada polis berhubung operasi pencarian jasad bapanya oleh pihak berkaitan.

“Ayah sering bertembung dengan suspek kerana dia perlu lalu di hadapan rumah yang sedang dibina. Jadi, memang mereka selalu bertegur sapa dan berbual. Suspek bukan penduduk kampung ini, dia orang luar, dan ayah saya memang baik dengannya.

Perbuatan suspek terhadap ayah memang keterlaluan, sanggup mencampak ayah ke dalam sungai. Sedangkan ayah seorang yang sangat baik, kalau suspek minta buah belimbing pada waktu malam pun, ayah sanggup pergi petik dan beri padanya…saya tak sangka dia ada niat jahat,
 katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, apabila dimaklumkan mengenai perkembangan kes oleh polis, dia dan keluarganya berasa sangat sedih dan berharap jasad bapanya dapat ditemukan secepat mungkin.

“Selagi mayat ayah tidak dijumpai, kami akan terus melakukan solat hajat. Saya harap pihak yang melakukan pencarian ini dapat menemukan cara terbaik untuk mencari ayah saya, lebih-lebih lagi dengan keadaan banjir sekarang.

Saya sebagai anak lelaki perlu kuat demi keluarga. Kalau saya tumbang, semua akan runtuh. Ada beberapa maklumat yang saya ketahui, tapi saya tunggu dulu kenyataan daripada polis kerana bimbang tersilap kata,
 katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah Fisol Salleh mengesahkan Sabari Baharom, 62, dicampak ke sungai dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat, namun jasad mangsa yang hilang sejak 4 Sept belum ditemui.

Maklumat itu diperoleh susulan penahanan suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun Jumaat lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.