`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, September 30, 2024

Ringgit dan ekonomi dah OK kan?

 

Mohsin Abdullah

Pada 25 Sept lalu ringgit melepasi paras RM4.14 berbanding dollar AS untuk kali pertama sejak November 2021. Ini menurut pakar ekonomi. Sebenarnya sejak Julai tahun ini nilai matawang negara menunjukkan prestasi baik. Ia mengukuh susulan pergerakan kadar faedah yang lebih jelas di negara maju terutama AS. Ringgit mengekalkan momentum meningkat berbanding dolar AS.

Pada 27 Sept lalu, The Edge melaporkan BMI, satu unit Fitch Group yang menawarkan perkhidmatan informasi kewangan, menyemak semula jangakaan akhir tahun terhadap ringgit daripada 4.55 kepada 4.0. Ini menggambarkan prestasi robust ringgit pada suku ketiga tahun ini.

BMI meramalkan ringgit terus mengukuh tahun depan untuk mencapai 3.55 berbanding dolar AS pada akhir 2025. Ya itu jangkaan dan ramalan tetapi menggembirakan dan menyakinkan khususnya setelah sekian lama rakyat merungut dan risau dengan nilai ringgit. Saban hari waktu itu ramai yang meluahkan kebimbangan di media sosial. Namun prestasi baik ringgit kini tidak diperkatakan serancak waktu nilainya menurun dulu.

Apa pun sekarang ekonomi negara juga dilapor mempamerkan prestasi baik. Pertumbuhan rancak tahun ini. Malaysia dilihat sebagai standout performer di rantau Asia Tenggara. Faktor penyumbang termasuk keyakinan pelabur asing dan kenaikan nilai ringgit. Ini juga menurut pakar yang tampil dengan statistik yang saya tidak cadang ulangi di sini.

Ringgit yang kuat bagaimanapun mempunyai kesan ke atas sektor eksport barangan negara. Nilai ringgit naik bermakna harga barangan yang dieksport turut naik. Maksudnya lebih mahal. Namun pakar berpendapat pembeli akan tetap beli meskipun mengakui 

potentially affecting their competitiveness
. Pun begitu kenaikkan nilai ringgit kata pakar membawa banyak manfaat kepada ekonomi. Bagi pengguna ia menaikkan kuasa membeli terutama terhadap barangan import dan perkhidmatan. Ini menurut pakar boleh membawa kepada kadar inflasi rendah.

Apabila nilai ringgit rendah dan dikaitkan dengan ekonomi suram ramai yang menuding jari dan menyalahkan kerajaan. Kalau ikut sifir yang sama adakah apabila ringgit kuat dan ekonomi baik kerajaan harus dipuji? Saya tidak akan menjawab persoalan itu.

Beberapa pakar ekonomi memuji kerajaan. Give credit when credit is due, kata mereka. Ramai juga pakar berpendapat kestabilan politik menyaksikan ringgit mengukuh dan prestasi baik ekonomi. Antara pakar yang berpendapat sedemikian ialah Ahmed Razman Abdul Latiff dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau dipetik FMT berkata kestabilan politik hasil pimpinan PMX dilihat antara faktor menyumbang pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS. Kata beliau sejak Anwar pegang tampuk pemerintahan tiada percubaan menjatuhkan kerajaan atau pertukaran kepimpinan yang memberi keyakinan pelabur masuk untuk membawa pelaburan ke Malaysia.

Berkata pula seorang kawan saya: 

Ramai dalam kalangan marhaen bertanya sama ada harga barang dan kos kehidupan akan turun sekarang memandangkan ringgit dah kukuh. Itu sahaja yang mereka mahu.

Kawan saya itu memang bukan peminat Anwar Ibrahim. I think you know what I mean. Bagaimanapun apa yang beliau kata itu ada benarnya.

Masalah bekalan telur, daging ayam, minyak masak, beras tempatan, bawang, misalnya boleh dikatakan sudah diatasi namun harga masih tinggi. Bil bulanan terutama letrik dibayar pada kadar tinggi. Mengapa ini berlaku? Salah siapa harga barangan masih mahal?

Kerajaan kena tahu jawapannya supaya langkah wajar diambil. Untuk berlaku adil kita tabik kepada kerajaan kerana berjaya melakukan apa yang sudah dilakukan — menguatkan nilai ringgit dan mencatat ekonomi baik. Tetapi tabik kita diiringi peringatan ada lagi yang mesti lakukan.

Pakar ekonomi Universti Malaya Nazari Ismail dipetik FMT berkata dalam keadaan ringgit mengukuh kerajaan perlu membuktikan mereka serius mengawal perbelanjaan dan kewangan negara.

Kalau defisit terlampau besar dan hutang semakin banyak sudah tentu ini akan membimbangkan pasaran kewangan dan beri kesan negatif kepada nilai ringgit,
 kata beliau.

Betul. Apa lagi hutang negara yang dipikul kerajaan ini ‘diwarisi’ daripada kerajaan pimpinan you know who masih besar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.