`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, November 28, 2024

Anwar bidas pihak muflis idea main isu perkauman sempit

 

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim berkata tiada satu fahaman atau agama mempertahankan budaya fitnah. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas segelintir pihak yang dangkal dan muflis idea dengan membangkitkan isu perkauman bagi menarik perhatian ramai.

Beliau memberi contoh ada dalam kalangan orang Melayu akan tercabar kerana ada satu dua poster dalam bahasa Cina manakala ada kumpulan mendakwa hak mereka dinafikan dan tercabar.

Sehubungan itu, tegasnya, tugas anak muda kini untuk mendapatkan pencerahan mengenai sesuatu perkara sensasi yang digunakan pula untuk membakar semangat membenci orang.

“Pimpinan politik negara pula tidak ada hujah bicara soal dasar dan tidak ada kupasan, penuh kebencian, manusia hilang harga dan kasih sayang.

“Kita tak mahu orang lemah, rosak, rasuah, melakukan kecurangan tapi kita seru dengan semangat kasih sayang, bukan mencari kelemahan, mengada-adakan apa yang tidak ada, fitnah saban hari kerana kita ada media sosial.

“Tidak pernah ada satu fahaman atau ideologi, agama atau nilai yang mempertahankan untuk kerosakan, menghina, mencaci dan memfitnah,” katanya pada sesi soal jawab pada Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Berhubung perkara berasingan, Anwar berkata gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah di Lubnan yang sedang berkuat kuasa dapat mengelakkan sebarang serangan dan pencerobohan lanjut.

“Buat masa ini, gencatan senjata nampaknya sesuatu yang positif, tetapi terdapat kebimbangan tertentu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak, kita perlu memantau dengan rapi.

“Bagi saya yang paling penting sudah tentu gencatan senjata kerana sekurang-kurangnya dapat mengelakkan sebarang serangan atau pencerobohan lanjut,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.