`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, November 14, 2024

‘Minta 2 dapat 1’ - lagi pendedahan video pemberi maklumat

Seorang pembocor maklumat berkaitan dakwaan skandal di Sabah, mendedahkan rakaman baru, mengaitkannya dengan ahli politik veteran Rubin Balang.

Bagaimanapun, pembocor maklumat itu memberitahu Malaysiakini dia tidak merasuah anggota parlimen Kemabong, sebaliknya berunding untuk mengambil alih syarikat anak-anak Rubin bagi tujuan pelombongan.

Dalam perbualan itu, Rubin mendedahkan bahawa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor memberikannya “satu” walaupun dia meminta “dua”.

Dia bagaimanapun bersyukur dengan perkara itu.

Rubin, yang juga pengerusi syarikat milik negeri Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) tidak menjelaskan apakah “satu” dan “dua” itu.

Namun berdasarkan sari kata, ia merujuk kepada lesen.

Video itu bermula dengan perbualan santai berkaitan betapa sukarnya menjadi YB (wakil rakyat).

Rubin kemudian mengadu dan merujuk kepada anaknya Riduan, yang juga anggota parlimen Tenom.

Dalam pilihan raya umum 2018, Rubin bertanding di Tenom, yang merangkumi Kemabong, sebelum kembali ke dewan undangan negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri 2020. 

Anaknya pula menjadi anggota parlimen dalam pilihan raya umum lalu.

Kedua-dua mereka bertanding atas tiket bebas.

Rubin yang sebelum ini bersama Umno kini menganggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah pimpinan Hajiji.

“Riduan pun YB, tiada kedudukan, tiada pendapatan, gaji saja,” kata Rubin.

Ditanya sama ada dia diberikan atau tidak jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Rubin menjawab, tiada.

Diminta mengulas tentang status bebas yang “mahal” dia mengiyakannya tetapi berkata tetap “tiada apa-apa”.

‘RM3 juta? Buang masa’

Rubin kemudian mengenang kembali apa yang berlaku ketika perebutan jawatan perdana menteri antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

“Kami tandatangan untuk beri kepada Muhyiddin tetapi tidak ada apa-apa balasan diberikan. Kami tanda tangan untuk dia, tandatangan sokong dia.

“Tetapi Muhyiddin tidak jadi PM, kami kemudian pergi kepada PMX,” katanya.

Rubin kemudian memberi gambaran dia tidak cenderung kepada Muhyiddin walaupun menyokongnya sejak sekian lama.

“Sebelum ini, Muhyiddin, dua setiausaha, beri pada orang lain. Saya sudah lama jadi orang dia tetapi dia bagi pada orang lain,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Rubin kemudian bercakap tentang  “seseorang yang kembali” ke Sabah dan menyuruhnya meminta batu arang. 

Malaysiakini difahamkan ia merujuk kepada anggota keluarga yang dekat.

“Dia buat cadangan semasa kerajaan BN. (Bekas ketua menteri) Musa Aman tak kasi. Kami sudah minta.

“Ini bukan baru, kan? Tanya anak saya. Dia cadang sudah lama, itu syarikat kami,” katanya sambil mengeluh betapa sukar era Musa.

Merujuk kepada era Hajiji, Rubin berkata: “Waktu Hajiji, kami minta dia tandatangan. Saya minta dua.

“Dua, sudah lama kami tunggu ini barang. Jadi dia bagi satu. Dia cakap pada saya, satu cukuplah. Saya kata OK, cukup. Syukur dengan apa yang dia bagi,” katanya.

Hajiji Noor

Dalam bab kedua video itu, pembocor maklumat bercakap berkaitan “pengambilalihan lesen”.

Ketika ini sudut kamera bertukar. Wajah Rubin tidak nampak sepenuhnya.

Pembocor maklumat itu berkata jika lesen itu hendak diambil alih, ada dua isu perlu ditangani.

“Satu, Datuk kena jamin kita boleh masuk.  Kalau tak boleh masuk, macam mana? Itu lesen tak guna.   

“Yang kedua, kita ambil alih itu lesen, kena tukar company (syarikat). Sebab saya ada check (periksa) Datuk punya company itu, saya ada check, saya nampak dua anak Datuk punya nama di situ.  

“Tapi sebelum itu, bulan tiga, Datuk punya nama. Bulan empat itu, Datuk punya nama. Datuk letak jawatan,” katanya.

Rubin menjelaskan dia letak jawatan kerana dilantik sebagai pengerusi Sedco.

“Tetapi saya terpaksa letak jawatan. Sebab KM (ketua menteri) yang lantik saya menteri punya status.

“Apa yang ada pada menteri, semua saya dapat.  Gaji menteri apa semua ada,” katanya.

Rubin kemudian meminta cadangan daripada pembocor maklumat itu.

“Kami beli RM3 juta,” jawab ahli perniagaan itu.

“Kami beli semua RM3 juta. Kami mahu kuota saja, kuota untuk lesen. Kami tak mahu beli syarikat.

“Tetapi Datuk kena jamin kami boleh masuk kawasan itu…” 

Dia bagaimanapun dipotong sebelum habis bercakap.

“RM3 juta? RM3 juta? Itu saja? Buang masa saya,” kata Rubin.

Sementara itu, Rubin ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas perkara itu atas alasan perkara itu mungkin akan sampai ke mahkamah.

Malaysiakini sudah menghubungi Hajiji berkaitan dakwaan itu dan sedang menunggu maklum balasnya.

Semalam Hajiji berkata akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung rakaman video berkaitan dakwaan rasuah,  namun mahu "pemberi rasuah" ditangkap dulu.

"Itu pemberi rasuah ada niat tidak baik untuk dapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman),” katanya.


- Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.