Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan Perjanjian 29 April 1898 antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat bukan lagi satu-satunya sumber hak atau kuasa perlembagaan negeri itu.
Sebaliknya, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata perjanjian tersebut perlu dibaca tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Perjanjian tersebut tidak lagi terpakai sebagai sumber tunggal bagi hak atau kuasa perlembagaan. Ia mesti dibaca tertakluk kepada peruntukan nyata UUTKNS 1959 dan hanya boleh diberi kesan setakat mana ia tidak bercanggah dengan UUTKNS 1959 (Perkara 32),” katanya dalam satu kenyataan panjang hari ini.
Pendirian itu dibuat sebagai jawapan kepada dokumen bertarikh 2 Okt serta dua surat bertarikh 30 Sept yang menurut Raja Norazli dikeluarkan oleh individu yang, kecuali seorang, tidak lagi memegang jawatan Undang yang sah di Negeri Sembilan.
Kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin sebelum ini mendakwa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencampuri urusan adat di luak dan melanggar batas kuasa Yang di-Pertuan Besar berdasarkan Perjanjian 1898.
DKU menolak dakwaan itu dan berkata dokumen sejarah tidak boleh digunakan secara terpilih untuk mengatasi UUTKNS.
Menurut Raja Norazli, Perkara 16 UUTKNS memberikan dewan itu fungsi memberi nasihat mengenai persoalan adat, termasuk pemilihan, pewarisan, pemberhentian atau pengosongan jawatan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Nafi dakwaan Tuanku Muhriz campur urusan luak
Raja Norazli turut menafikan dakwaan Tuanku Muhriz mencampuri urusan Luak Sungei Ujong ketika sidang pada 17 April 2026.
Menurutnya, sidang itu membincangkan aduan wakil Telaga Undang Luak Sungei Ujong berhubung pemberhentian Mubarak Thahak sebagai Undang luak berkenaan.
/file/attachments/orphans/TuankuMuhriz_885315.png)
Mubarak, menurut Raja Norazli, telah diberhentikan oleh luaknya menurut adat, dengan surat pemberhentian diserahkan pada 13 Mei 2025.
“Dewan tidak memberhentikan mana-mana Undang. DYMM Tuanku Muhriz juga tidak berbuat demikian,” katanya.
Dalam isu proklamasi 19 April, Raja Norazli menolak dakwaan bahawa “penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya” seperti ditetapkan Perkara 10 UUTKNS telah dijalankan terhadap Tuanku Muhriz.
Katanya tiada penyiasatan di bawah Perkara 10 pernah dijalankan, manakala Tuanku Muhriz tidak diberikan notis mengenai penyiasatan, butiran dakwaan atau peluang bermakna untuk didengar.
“Berjalannya masa bukanlah suatu penyiasatan,” katanya.
Dewan itu turut mempertikaikan kesahan proklamasi berkenaan kerana hanya seorang daripada individu yang menandatanganinya sebagai Undang merupakan pemegang jawatan yang sah pada ketika itu.
DKU juga mempersoalkan tandatangan Menteri Besar, Ismail Lasim, pada 3 Ogos, kira-kira tiga setengah bulan selepas proklamasi tersebut.
/file/attachments/orphans/asdasdasasdasd_912005.png)
Menurutnya, Menteri Besar sebelum ini Aminuddin Harun, enggan menandatangani proklamasi pada 20 April. Raja Norazli berkata DKU berpandangan tandatangan pada 3 Ogos itu tidak boleh menghidupkan semula proklamasi yang telah luput.
Dewan itu turut mendakwa Jabatan Peguam Negara sebelum ini menyatakan proklamasi pada 19 April tidak sah kerana syarat mandatori Perkara 10 tidak dipatuhi dan tidak akan diwartakan.
Menurutnya, tindakan selepas 19 April turut menimbulkan persoalan terhadap dakwaan bahawa Tuanku Muhriz telah terhenti daripada menjadi Yang di-Pertuan Besar, termasuk pembubaran DUN oleh baginda pada 5 Jun, pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos dan angkat sumpah anggota EXCO di hadapan baginda pada 7 Ogos.
'Hanya ada seorang raja'
Raja Norazli turut menolak tafsiran bahawa Negeri Sembilan mempunyai “Raja majmuk”, sebaliknya berkata Perkara 7(1) UUTKNS menetapkan seorang Yang di-Pertuan Besar bagi menjalankan fungsi dan kuasa seorang Raja.
Menurutnya, Perkara 28, mentakrifkan ungkapan “Raja” sebagaimana yang digunakan dalam Bahagian Kedua UUTKNS 1959 dan ia tidak boleh dilanjutkan sehingga menjadi kuasa veto am Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin ke atas setiap fungsi Yang di-Pertuan Besar.
/file/attachments/orphans/undang423_276515.png)
"Perkara 28 tidak menjadikan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin sebagai raja bersama Duli Yang Maha Mulia, dan tidak mengetepikan keutamaan Duli Yang Maha Mulia ke atas semua orang lain di Negeri ini.
"Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan seterusnya mengukuhkan kedudukan ini, kerana ia mentakrifkan “Raja”, berhubung dengan Negeri Sembilan, sebagai Yang di-Pertuan Besar yang bertindak bagi pihak diri Baginda sendiri dan bagi pihak Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menurut UUTKNS 1959.
"Justeru, Yang di-Pertuan Besar yang bertindak sebagai Raja," ujarnya.
Raja Norazli juga menegaskan “Sidang Khas” pada 5 September bukan sidang DKU yang sah dan menolak dua surat bertarikh 30 September yang dinamakan sebagai “warkah”.
Justeru katanya, DKU mengekalkan keputusan 31 Julai bahawa dokumen 19 April itu tidak mematuhi Perkara 10, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kesan.
Dewan itu menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua DKU serta menolak kewujudan sebarang kekosongan jawatan atau pengganti.
“Institusi adat bukan milik mana-mana individu atau kumpulan. Ia adalah suatu amanah, yang hendaklah dilaksanakan menurut teks UUTKNS 1959, rekod yang sah dan keadilan kepada semua pihak,” katanya. - Mkini

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.