Penganalisis mahu skop tugas diperjelas dan kos tahunan didedah bagi memastikan lantikan itu meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Syaza Shukri berkata, setiap timbalan exco perlu diberikan skop tugas khusus bagi mengelakkan pertindihan tanggungjawab dengan exco yang dibantu.
Katanya, pembahagian tugas itu juga perlu diperjelas kepada agensi berkaitan supaya pelantikan berkenaan tidak menambah birokrasi sehingga menyukarkan urusan rakyat.
“Dengan 12 timbalan exco dilantik, kerajaan negeri juga wajar membentangkan di DUN jumlah kos tahunan yang terlibat. Memandangkan amalan ini sudah dilaksanakan sejak penggal lalu, kerajaan sepatutnya boleh menunjukkan hasilnya.

“Adakah aduan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat? Adakah pelaksanaan projek menjadi lebih lancar?” kata penganalisis politik daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada FMT.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan berdepan kesukaran meyakinkan rakyat bahawa perbelanjaan tambahan itu berbaloi jika gagal menunjukkan sebarang penambahbaikan.
Pada 23 Nov lalu, Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata pelantikan timbalan exco bukan perkara baru dan bertujuan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik.
Katanya, amalan yang diteruskan pada penggal ini membantu exco menjalankan tugas dengan lebih cekap mengikut portfolio masing-masing.
Sementara itu, Lau Zhe Wei juga daripada UIAM berkata pelantikan timbalan exco tidak semestinya menyebabkan pertindihan tugas, sebagaimana kewujudan menteri dan timbalan menteri di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, pelantikan itu boleh membawa kepada pembaziran jika membabitkan peruntukan kewangan besar.
Beliau turut mempersoalkan keperluan jawatan itu di Melaka yang hanya mempunyai 28 kerusi DUN.
“Bagi Melaka yang hanya mempunyai 28 kerusi DUN, pada pandangan saya, jawatan timbalan exco tidak diperlukan,” katanya.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, pula berkata perkara itu bukan amalan biasa di kebanyakan negeri, dengan Melaka dan Johor antara yang mempunyai jawatan berkenaan.

Katanya, keperluan pelantikan itu perlu dinilai berdasarkan pembahagian tugas serta pertimbangan politik.
Beliau berkata, jawatan itu sememangnya menambah kos kerajaan negeri termasuk elaun, perjalanan, pejabat dan kemudahan berkaitan.
Namun, katanya, pertimbangan politik juga tidak boleh diketepikan kerana pelantikan itu boleh digunakan untuk meredakan ketidakpuasan hati Adun yang tidak dilantik sebagai exco atau meraih sokongan parti lain.
“Dalam kes Melaka adalah daripada Perikatan Nasional. Jadi, sudut politik itu agak penting dalam penambahan jawatan dan kos ini,” katanya. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.