Pemuda Umno memang ada 'sejarah tidak manis' dengan KLSCAH. Jadi apabila Pemuda Umno membantah soal premium bagi pembaharuan pajakan tanah KLSCAH, ia bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Soal KLSCAH yang sengaja dijadikan isu masih bising. Oleh kerana kebisingan, saya rasa kenalah tulis sikit hal ini. Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall atau Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor berasal dari nama Selangor Chinese Assembly Hall, ditukar kepada nama sekarang pada 2006.
Secara ringkas, ia merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, dan pusat komuniti yang penting bagi masyarakat Cina di Kuala Lumpur dan Selangor. Selain menaungi puluhan atau mungkin juga ratusan persatuan Cina tempatan, KLSCAH aktif menganjurkan acara kebudayaan, forum serta dialog. Selain dialog berkenaan hubungan antara kaum dan hak asasi manusia, ia juga menyentuh beberapa isu nasional yang tidak disenangi pemerintah khususnya kerajaan Barisan Nasional dulu.
Pentas KLSCAH pernah digunakan dalam menuntut Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan. Semasa Dr Mahathir Mohamad menentang Najib Razak bersabit skandal 1MDB, beliau bercakap di atas pentas KLSCAH.
Pemuda Umno memang ada ‘sejarah tidak manis’ dengan KLSCAH. Contoh: Pada 2001, Pemuda Umno mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan KLSCAH bagi memprotes terhadap apa yang dikenali sebagai agenda 17 perkara yang diperjuangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Pertubuhan Pertubuhan Cina Malaysia, yang lebih dikenali sebagai Suqiu.
Pemuda Umno tuduh Suqiu mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu. Suqiu menafikan. Pemuda Umno tetap berdemonstrasi di KLSCAH. Meskipun aman dengan kawalan polis, tetapi kata-kata kesat dan ancaman dilemparkan. Ertinya demonstrasi berbaur perkauman.
Jadi apabila Pemuda Umno zaman sekarang membantah soal premium bagi pembaharuan pajakan tanah KLSCAH, ia bukan sesuatu yang memeranjatkan. Bagi saya it’s expected.
Meskipun banyak penjelasan telah diberi pelbagai pihak termasuk kerajaan khususnya Menteri Wilayah Persekutan Hannah Yeoh, Pemuda Umno dan golongan serta kumpulan sewaktu dengannya tidak berpuas hati. Ia dijadikan isu politik bersandar ras. Identity politics is alive and kicking. Sungguh sedih.
Saya tidak bercadang menghuraikan bantahan pihak yang membantah mahupun penjelasan pihak yang menjelaskan. Rasanya ramai yang sudah maklum. Saya cuma mahu mengutarakan pandangan aktivis Seniman Paksi Rakyat, Kassim Muhamad. Paksi ialah pertubuhan seni dan budaya yang diasaskan sasterawan dan penggiat teater, Che Shamsudin Othman atau Dinsman, dan menggerakkan aktiviti sastera, teater, dan kesenian berteraskan isu masyarakat serta budaya tanah air. In short, Seniman Paksi Rakyat is a Malay NGO.
Kata Kassim: “Kami di Paksi kenal KLSCAH semasa kami berjuang membantah isu pembangunan oleh kerajaan Umno di kampung tradisional di Gombak. Kami bersama arwah Cikgu Ishak Surin, isu PPSMI dan juga isu bahasa ibunda.”
To put things in context, PPSMI ialah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Paksi antara badan yang menentang keras dasar itu. Walaupun saya tidak setuju dengan bantahan mereka, saya hormat pendirian dan usaha Paksi. PPSMI dimulakan pada 2003 di bawah pentadbiran Mahathir tetapi dimansuhkan pada 2012 untuk digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.
‘Cikgu Ishak Surin’ yang Kassim sebut itu seorang aktivis politik dan sosial yang konsisten menyumbang kepada perjuangan untuk rakyat. Bertanya si Kassim: “Ya tanah KLSCAH ini milik persatuan Cina. Ada masalah?”
Obviously, ada as far as Umno and friends are concerned. Semalam Hannah Yeoh semasa memberi penjelasan di Parlimen berkata isu KLSCAH dijadikan isu panas hanya kerana menterinya (yang mengendali soal ini) berbangsa Cina dan daripada DAP. Saya setuju.
Kata Kassim: “Semasa YB Hannah Yeoh angkat isu Sungai Penchala, puak-puak yang bising sekarang ini sunyi dan sepi. Tentu ada sebabnya kenapa sunyi dan bisu. Sebabnya ia tak boleh jadi modal politik.” Tepat sekali kata beliau.
Isu utama berkaitan Sungai Penchala pada 2026 tertumpu kepada kajian pengezonan kampung tradisi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, risiko banjir kilat serta kerja menaik taraf sungai dan masalah pencemaran air.
Keputusan dan hala tuju pembangunan bergantung kepada pandangan serta persetujuan penduduk dan pemilik tanah melalui sesi libat urus. Penduduk dan pemilik tanah ialah orang Melayu.
Sejak menjadi Ahli Parlimen Segambut, Yeoh menyuarakan cadangan mengiktiraf Kampung Sungai Penchala sebagai kampung warisan Melayu dan menggesa kawasan pembangunan selari dengan kapasiti prasarana dan tidak menghakis ciri kampung tradisional.
Isu KLSCAH yang sedang dibisingkan sekarang, selain oleh kerana menteri berketurunan Cina dan partinya DAP, ia juga pada hemat saya dilabel oleh golongan yang buat bising sebagai isu yang ‘memanjakan’ masyarakat Cina lalu mesti ditentang.
Tentangan hanya untuk mendapat keuntungan politik murahan. - FMT
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.