Calon PH percaya kekuatan jentera lawan bukan penentu keputusan di peti undi.

Rahayu yang lebih dikenali sebagai Ayu Hamzah sedar cabaran besar menantinya, terutama apabila Akmal memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,248 undi pada PRN 2021, selain memiliki jentera pilihan raya yang kuat.
Namun, beliau tidak mahu mengalah sebelum bertarung dan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti kemenangan penyandang itu, tanpa menolak kemungkinan merampas kerusi berkenaan.
Menurutnya, kekuatan jentera lawan di lapangan tidak semestinya menggambarkan sokongan sebenar pengundi apabila tiba hari pengundian.
“Tapi itu tidak melunturkan semangat kami. Kita terus bekerja, terus berusaha. Jangan putus asa.
“Setidak-tidaknya (mengurangkan majoriti) itulah. InsyaAllah, kita berserah kepada Tuhan,” katanya dalam temu bual FMT.
Tak pilih rumah ikut warna bendera
Bagi Ayu, perjuangannya di Merlimau bukan sekadar untuk mencabar pengaruh Akmal, tetapi juga membawa pendekatan politik yang tidak membezakan rakyat mengikut parti.
Sepanjang kempen, katanya, beliau tidak memilih rumah untuk dikunjungi berdasarkan bendera yang dipasang, sama ada BN, Perikatan Nasional (PN), PAS mahupun PH.
Malah, jika diberi mandat sebagai wakil rakyat, Ayu bertekad untuk ‘butakan mata’ terhadap kecenderungan politik penduduk supaya tiada yang dipinggirkan daripada menerima khidmat atau bantuan.
“Kalau berkhidmat, berkhidmat untuk semua. Saya berkempen kepada pengundi tanpa mengira parti politik. Kita tidak nak pilih kasih.
“Kalau orang tanya kenapa nak bantu dia, habis dia bukan rakyat ke? Konsep rakyat itu menyeluruh,” katanya.
Tak mahu janji ‘bulan dan bintang’
Mengulas tawarannya kepada pengundi, Ayu berkata, beliau tidak mahu menjanjikan manifesto ‘bulan dan bintang’ semata-mata untuk meraih undi, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah harian penduduk.
Katanya, kejayaan seseorang wakil rakyat tidak seharusnya diukur berdasarkan janji ketika berkempen, tetapi keupayaan menyelesaikan aduan dan membantu masyarakat.
“Sebagai wakil rakyat, KPI kita adalah cuba menyelesaikan sebanyak mungkin aduan yang diterima. Itulah peranan wakil rakyat,” katanya.
Beliau turut mahu memberi perhatian kepada isu sosial, kebajikan wanita, keluarga, ibu tunggal, belia dan pendidikan sekiranya dipilih mewakili Merlimau.
Dalam pada itu, Ayu berpandangan kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan pusat diterajui PH mampu memudahkan pelaksanaan pelbagai bantuan kepada rakyat.
Antaranya, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), BUDI serta bantuan awal persekolahan.
Beliau turut mengetengahkan Geran Sejati Madani berjumlah RM100,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai contoh bantuan kerajaan pusat yang menurutnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.