KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck lee mengulangi pendirian bahawa beliau dan parti itu tidak akan kembali ke pangkuan Barisan Nasional tanpa mengira apakah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Yong berkata, beliau tidak mahu mengkhianati kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh rakyat kepadanya selama ini.
Beliau mengulas dakwaan dua bekas pemimpin SAPP, Ketua DAP Sabah Jimmy Wong dan Hiew King Cheu bahawa beliau menerima sebahagian dari RM80 juta daripada Datuk Seri Musa Aman yang diagehkan kepada parti-parti pembangkang untuk memecah belah undi pengundi.
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, beliau menggesa rakyat untuk memeriksa dan bijak menilai tuduhan seumpama itu yang beliau sifatkan seolah-olah mensabotaj kepercayaan rakyat kepadanya.
“Saya minta rakyat supaya memeriksa dakwaan itu dan berfikir dengan waras adakah Musa akan bertindak bodoh dengan membiayai lawanya sendiri,” katanya.
Kata Yong, Sabah memerlukan pemimpin yang berani dan berpengalaman untuk membangkitkan masalah penduduk tempatan seperti kebanjiran pendatang tanpa izin, pemberian kad pengenalan dan sebagainya.
“Masalah-masalah ini perlu ditangani dengan berani dan berkesan kerana ia sudah lama menghantui ketenangan rakyat. Rakyat tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani isu ini kerana ia menjejaskan semua aspek kehidupan rakyat sabah,” katanya lagi.
Yong menambah, SAPP yang diasaskan pada 21 Januari 1994 adalah sebuah parti tempatan berbilang kaum dan lantang menuntut kuasa autonomi untuk sabah dan penyelesaian masalah pendatang haram serta pemberian kad pengenalan kepada bukan warganegara.
SAPP asalnya adalah parti komponen BN dan meraih dua kerusi parlimen (Sepanggar dan Tawau) dalam pilihan raya umum 2008.
Sehubungan itu, beliau meminta mandat daripada pengundi untuk membentuk kerajaan yang akan bertindak adil, telus dan dapat menghapus rasuah.
Sementara itu, calon Parlimen SAPP bagi Sepanggar, Chin Hon Kiong berkata, kerajaan membohongi rakyat Sabah apabila mengatakan mereka akan menghormati dan melaksanakan 20 perkara dalam Perjanjian Malaysia.
“Sebenarnya BN langsung tidak menghiraukan Perjanjian itu. Mereka tidak jujur dalam memberikan layanan yang adil dan saksama kepada rakyat Sabah,”
Tambahnya, Manifesto BN juga tidak menyebut mengenai Dasar Kabotaj yang menyebabkan kos taraf hidup penduduk Sabah antara yang tertinggi di Malaysia.
Chin mempersoalkan janji memberikan peruntukan terbesar iaitu lebih daripada 20 peratus royalti minyak bagi Sabah yang dijanjikan oleh parti pembangkang.
Katanya, kerajaan persekutuan bertanggungjawab memperuntukan dana pembangunan kepada setiap negeri ini dan tiada kena mengena dengan 20 peratus royalti minyak yang dituntut oleh pihak pembangkang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.