`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 2, 2015

Roti canai naik berkali ganda



SAYA  terkejut beruk pagi semalam apabila petugas di kaunter pembayaran mengenakan RM6.70 sen untuk sekeping roti canai kosong dan segelas teh tarik kurang manis. Itu lebih tiga kali ganda dari harga biasa. Melampau!

“GST bos...” katanya serius. Menyirap darah saya. Kalau tidak kerana beberapa pelanggan lain yang ada di situ mahu sahaja saya melepaskan penampar ke muka petugas yang memang saya kenali sejak mula bersarapan di situ kira-kira setahun lalu.

“Apa hal naik tiga kali ganda? Kalau GST pun cuma 6 peratus. Cekik darah betul, saya nak report pada menteri sekarang juga!” Memang peniaga seperti ini patut diajar.

“Awak betul puntianak, drakula, suka hisap darah, nanti awak!”

Dari wajah serius dia mula tersenyum, kemudian berkata mesra seperti biasa: “Relaks bos, bayar macam biasa RM2.20 sen saja.” Saya tercenggang dan keliru, kemudian dia menambah: “April fool bos!”

Giliran saya pula tersenyum, tetapi masih marah juga sebab dia mengenakan saya. Sudah lama saya tidak dikenakan dengan gurauan bodoh 1 April. Amaran: kalau silap gaya gurauan macam ini boleh membuat orang mati mengejut.

Apa pun saya lega sebab setakat jam 8 pagi semalam – hari pertama pelaksanaan GST – saya belum terasa apa-apa pun kesan negatif dari cukai tersebut. Restoran mamak berhampiran pejabat, stesen saya setiap pagi, belum mengenakan cukai baharu itu.

Malah menurut pemilik restoran tersebut, seorang India Muslim, dia akan cuba – sekurang-kurangnya untuk sehari dua ini – tidak mengenakan caj cukai berkenaan. Katanya: “Kita tengok apa macam dulu, kalau boleh kita mahu serap itu GST. Tetapi kalau rugi banyak kita tak boleh serap, tengok sehari dua ini.”

Tidak sahaja mamak restoran kecil, ada pemilik gedung dan perniagaan besar pun turut berhati mulia. Contohnya Datuk Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan pasar raya mega Mydin.

Seperti yang dilaporkan media pasar raya tersebut akan menyerap kos GST sebanyak RM15 juta daripada keuntungan bulanan yang dianggarkan mencecah RM300 juta, bagi membantu pengguna berdepan pelaksanaan cukai itu.

Katanya, menerusi perbincangan dengan pembekal, sebanyak 1,500 daripada 3,000 pembekal pasar raya berkenaan telah bersetuju untuk turut menanggung kos GST berkenaan.

Tentu sekali langkah Mydin dan pembekalnya patut mendapat pujian semua pihak. Mudah-mudahan benda yang baik ini akan diikut pula oleh pasar raya mega yang lain. Sekiranya ‘berjuta-juta lemon’ boleh diserap, ‘barulah putih’!

Selain pasar raya ada berita baik pada hari pertama GST. Dua syarikat gergasi kereta Jepun, Honda dan Toyota mengumumkan penurunan harga kereta seiring pelaksanaan cukai tersebut.

Honda mengumumkan pengurangan harga antara RM500 sehingga RM2,500 sebuah bagi model-model pemasangan tempatan (CKD), manakala UMW Toyota menawarkan penurunan sehingga RM4,000 mengikut model. Proton turut mengumumkan pengurangan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus ke atas model-model keluarannya.

Juga berita menarik ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan pelaksanaan cukai baharu tidak akan menjejaskan penurunan harga 73 jenis barang keperluan dalam Program Jualan Turun Harga Pasar Tani.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 73 barang dan produk tersebut yang berasaskan pertanian segar, kering dan diproses akan kekal murah antara lima hingga 20 peratus berbanding tempat lain.

Hari pertama GST juga ada berita memberangsangkan – dan melegakan – daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Kata menterinya Datuk Seri Hasan Malek, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Tegas menteri berkenaan: “Sekiranya ada peniaga naikkan harga barangan ketika pelaksanaan GST, pengguna boleh buat aduan terus kepada kementerian. Jangan ingat ini perkara kecil. Saya akan ambil tindakan undang-undang dan heret mereka ke mahkamah.”

Macam pernah dengar amaran dan kata-kata bersemangat seperti ini! Harap-harap kali ini, dengan gerakan bersepadu bersama Kastam, KPDNKK betul-betul bertindak dan heret puntianak dan drakula ke mahkamah. Hari pertama GST semua nampak OK, esok belum tahu!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.