Rosli Ismail, Agenda Daily
Ada ungkapan dalam bahasa Inggeris berbunyi… ‘A lie can travel half way around the world while the truth is putting on its shoes.’
Dua tiga minggu kebelakangan ini pembohongan mengenai 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) sudah sampai ke peringkat tak masuk akal dan seperti wujud usaha terancang untuk ‘menyudutkan’ syarikat yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan itu.
Serba tak kena, semua yang berkaitan 1MDB dibongkarkan sehingga kebaikkannya terlindung dan keburukan diperbesar-besarkan.
Semacam ada usaha untuk menakut-nakutkan pelabur terhadap prospek 1MDB dan sekaligus merosakkan pelaburan Kementerian Kewangan.
Kisah bohong atau separuh benar dipetik dan disebarkan dengan berbagai cara dan paling lazim adalah dengan memetik ‘sumber’.
Ini kisah yang heboh diperkatakan pada Selasa, kononnya Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) telah bersetuju untuk membeli sebidang tanah dan bangunan di TRX untuk dijadikan ibu pejabatnya yang baharu.
Di media sosial KWAP dikecap habis-habisan dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik sumber itu.
KWAP dalam kenyataannya mengatakan entiti itu tidak meletak sebarang komitmen pelaburan hartanah di Tun Razak Exchange (TRX) untuk dijadikan ibu pejabatnya yang baharu seperti yang dilaporkan media.
Menurut KWAP, meskipun tetap melaksanakan kajian berhubung potensi pelaburan di TRX, namun sehingga kini tiada sebarang kata putus untuk terlibat atau membeli hartanah di TRX.
“KWAP menjalankan kajian potensi pelaburan di TRX sama seperti kajian-kajian pelaburan hartanah yang lain.
“Keputusan untuk menilai potensi pelaburan di TRX adalah atas sebab-sebab komersial memandangkan kedudukannya yang terletak di kawasan utama yang strategik bersebelahan wilayah kewangan Kuala Lumpur,” kata KWAP dalam kenyataannya.
Kenyataan itu adalah sebagai menjawab laporan berkenaan, yang memetik sumber yang tidak mahu dikenali melaporkan KWAP telah bersetuju untuk membeli sebidang tanah dan bangunan di TRX untuk dijadikan ibu pejabatnya yang baharu.
Perjanjian utama antara KWAP dan pemilik TRX, 1MDB, didakwa telah dirangka dan akan menyaksikan dana pencen kerajaan itu membelanjakan antara RM1 bilion dan RM1.2 bilion untuk mendapatkan bangunan setinggi 40 tingkat dan tanah di TRX.
Menurut sumber yang dipetik itu, KWAP akan membeli hartanah tersebut pada harga RM2,300 untuk setiap kaki persegi atau 15 peratus lebih murah berbanding apa yang dibelanjakan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang juga telah membeli hartanah di TRX.
Tabung Haji dilaporkan telah membeli hartanah di TRX pada harga RM188.5 juta atau RM2,774 untuk setiap kaki persegi untuk tanah seluas 0.64 hektar.
Tambah KWAP dalam kenyataannya, pihaknya akan meneruskan tinjauannya untuk mencari potensi pelaburan hartanah yang mampu memberi pulangan untuk jangka masa panjang.
“Kesemua pelaburan yang dibuat perlu memenuhi pulangan minimum serta risiko yang telah ditetapkan oleh lembaga pengarah KWAP,” jelas KWAP.
Pada 2 April lalu, KWAP juga telah memuktamadkan pembelian aset hartanah pertamanya di Malaysia iaitu Menara Integra bernilai RM1.065 bilion daripada syarikat pelaburan hartanah yang diuruskan oleh firma gergasi pelaburan Amerika Syarikat (AS), BlackRock.
KWAP ditubuhkan pada 1 Mac 2007 yang berperanan bagi meraih pulangan pelaburan untuk membantu Kerajaan Persekutuan membiayai liabiliti pencen.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.