`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 14, 2015

Enggan Jawab Pinjaman RM3.6 Bilion, Bukti 1MBD Tidak Telus..


1MDB enggan ulas, anggap pinjaman RM3.6 bilion ‘perkara sulit’

1Malaysia Development Berhad (1MDB) enggan memberi sebarang komen mengenai status pinjaman AS$975 juta (RM3.6 billion) daripada konsortium 6 bank luar negara, dengan memberi alasan ia merupakan "perkara perbankan sulit".

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam jawapan balas emel kepada The Malaysian Insider tentang persoalan tersebut, bagaimanapun, memberi jaminan maklumat selanjutnya akan diberi apabila mereka berupaya melakukannya.

"Kami sedar tentang laporan media dan kenyataan berhubung pinjaman yang diambil 1MDB pada September 2014. Walaupun kami ingin memberi maklum balas terperinci, ia berkait dengan perkara perbankan yang sulit, menghalang kami daripada memberi komen tentangnya buat masa ini. Bagaimanapun, kami berniat mengumumkan kepada pasaran sebaik kami boleh lakukannya," katanya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Bank mula "gelisah" dan mahu syarikat itu menyelesaikan hutangnya.

Ini kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Akhbar perniagaan itu memetik sumber berkata dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

"Apa yang pada awalnya dianggap sebuah pinjaman yang bersandarkan cagaran yang amat ketat kini membimbangkan bank," kata sumber dipetik akhbar itu.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan menerima maklumat yang syarikat dana pelaburan negara bermasalah itu menyenaraikan akaun yang "diragui" di dalam BSI Singapore sebagai cagaran.

Beliau berkata sekiranya ini benar, 1MDB mungkin terpaksa menggunakan peruntukan awam untuk menepati tarikh akhir pada September, memandangkan akaunnya di BSI dilaporkan tidak mempunyai wang.

Pada 22 April, laman Sarawak Report berkata akaun 1MDB dalam BSI hanya mengandungi "aset kertas" dan "nilai sebenarnya tidak dapat dikenalpasti".

"Pinjaman sebesar ini semestinya akan mempunyai cagaran. Maklumat yang saya terima adalah cagaran untuk pinjaman ini adalah wang di dalam akaun BSI Singapore, yang dilaporkan sebagai tidak wujud," kata Rafizi.

Kritikan semakin memuncak terhadap syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 2009 itu, selepas hutangnya mencecah RM42 billion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kemudahan pinjaman RM950 juta untuk 1MDB, di mana RM600 juta sudah pun digunakan.

Isu 1MDB bertambah sengit berikutan pendedahan Sarawak Report, yang menambah tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mencetuskan tuntuan dari ahli politik pembangkang, pemimpin Umno veteran dan badan anti-rasuah supaya siasatan mendalam dilakukan. -TMI


Pemimpin Umno gesa 1MDB jangan membisu isu tuntutan hutang RM3.4 bilion

1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menerima tekanan berhubung kedudukan kewangannya apabila Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (gambar) menggesa pengurusan syarikat itu menjawab segera laporan media ia perlu segera membayar balik AS$975 juta (RM3.52 bilion) kepada 6 bank.

"Saya menggesa pengurusan 1MDB menjawab dahulu isu yang dilaporkan oleh pihak media ini.

"Tempoh mutakhir ini bukan waktunya untuk 1MDB berdiam diri dan membisu.

"Tidak ada istilah 'elegant silence' dalam isu seperti ini," kata Reezal dalam kenyataannya.

Akhbar Business Times dari Singapura hari ini melaporkan 6 bank diketuai Deutsche Ban kini menuntut 1MDB menjelaskan hutang RM3.52 bilion, 4 bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya.

Ia berikutan pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Reezal berkata kelewatan 1MDB dalam menjawab isu yang dilontarkan terhadap mereka merupakan sesuatu yang "sangat tidak bertanggungjawab".

"Saya cukup yakin, sebagai kumpulan 'profesional', pengurusan kanan 1MDB ada jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini.

"Sayangnya, mereka tidak mengambil tindakan yang cepat dan gemar melihat persepsi buruk terbina terlebih dahulu," katanya.

Katanya, sikap 1MDB bakal memburukkan Barisan Nasional (BN) di mata rakyat.

"Selagi mereka lewat membuat tindakan, selagi itulah isu 1MDB 'bernanah' di mata rakyat, sekali gus mencabar wibawa dan integriti kerajaan.

"Ada ungkapan, 'Beritahu perkara sebenar, atau ada orang lain yang buat begitu'.

"1MDB mesti lebih pantas menjawab isu," katanya. 
-TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.