Haiwan-haiwan liar atau berbisa akan keluar dari habitat masing-masing kerana tidak tahan dengan cuaca panas dan mencari tempat berlindung.
PETALING JAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menasihatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dengan kemunculan haiwan liar atau berbisa yang mencari perlindungan daripada cuaca panas terik yang sedang melanda sekarang.
Timbalan Ketua Pengarah PERHILITAN, Fakhrul Hatta Musa berkata cuaca panas bukan sahaja memberi banyak kesan kepada kehidupan manusia malah turut memberi kesan keatas kehidupan haiwan.
Katanya, haiwan-haiwan liar atau berbisa akan keluar dari habitat masing-masing kerana tidak tahan dengan cuaca panas.
“Kebiasaannya haiwan seperti kera atau haiwan berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking akan mencari tempat-tempat untuk berlindung seperti kawasan yang berair dan kawasan yang sejuk.
“Ada juga aduan yang diterima, kebanyakannya mereka akan menyorok di dalam tayar terpakai dan pasu-pasu bunga yang tidak digunakan lagi, atau dalam hal kera masuk ke dalam rumah dan membongkar tudung saji,” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, beliau juga berkata aduan yang diterima umum akibat gangguan binatang semakin meningkat.
“Musim hujan dan panas, memang trend binatang macam ini keluar untuk dapatkan tempat perlindungan. Ini perkara biasa,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan agar masyarakat lebih berhati-hati dengan kemunculan haiwan-haiwan itu terutamanya mereka yang mendiami kawasan berhampiran hutan atau membuat aktiviti di kawasan hutan.
Katanya, kawasan seperti itu lebih berisiko tinggi untuk haiwan berkenaan datang dan bersembunyi.
“Kita nasihatkan agar masyarakat lebih berhati-hati terutamanya kepada mereka yang gemar melakukan aktiviti seperti panjat gunung atau bukit dalam cuaca panas ini.
“Nasihat saya kepada umum yang pergi ke tempat-tempat rekreasi dan kawasan di sekolah yang berhampiran hutan kena berhati-hati,” katanya.
Beliau juga menasihatkan sekiranya terjumpa haiwan liar atau berbisa supaya laporkan segera kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atau Jabatan Pertahanan Awam (HOTLINE: 999) untuk bantuan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.