`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, April 17, 2016

KETIKA KEMPEN PILIHANRAYA, SEMUA ORANG SEPATUTNYA BEBAS KELUAR MASUK KE SARAWAK

Menjelang pilihanraya Sarawak pada 7 Mei depan, setiap hari sekarang ini kita mendengar ada saja nama-nama tertentu yang dilarang memasuki negeri itu, dan sudah tentu 99.99 peratus daripadanya adalah pemimpin daripada parti-parti pembangkang di Semenanjung.

Hanya Jamal Mohd Yunos, pemimpin "ikan bilis" daripada UMNO yang sehingga ini kita dengar turut disekat sama.

Di hari-hari seterusnya, ternampak bahawa trend itu akan berterusan dan pastilah lebih ramai lagi yang bakal menerima nasib yang sama.

Walaupun kita sedar kuasa Imigresen itu memang diberikan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sejak di awal pembentukan Malaysia lagi, tetapi ianya tidak seharusnya digunapakai secara berleluasa ketika kempen pilihanraya sedang berlangsung.

Di waktu-waktu yang lain, larangan itu mungkin boleh diterima atas pelbagai yang diwajarkan logiknya. Namun ketika kempen pilihanraya, semua orang seharusnya dibenarkan masuk, lebih-lebih lagi jika parti mereka turut serta meletakkan calon dalam pilihanraya.

Ini kerana semasa kempen pilihanraya, ia adalah waktu di mana semua orang mahu "menjual"  calon mereka kepada rakyat. Biarkanlah mereka berkempen dan bercakap apa pun untuk menarik perhatian. 

Jika kempen atau pengucapan yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin agak keterlaluan, bukankah pelbagai undang-undang lain seperti Akta Hasutan atau tindakan saman boleh diambil untuk menanganinya?

Oleh itu, alasan bahawa larangan itu kerana mereka kononnya menggugat keharmonian dan keamanan Sarawak tidak masuk akal sama sekali. Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana semua orang faham ini adalah waktu kempen pilihanraya.

Maka, sementara semua pemimpin pro kerajaan bebas keluar masuk dan bercakap apa saja kepada pengundi Sarawak, kenapa pula pihak lain mesti dikenakan larangan?

Di mana keadilan dan kesamarataannya? 

Kenapa rakyat Sarawak perlu dihalang daripada mendapat akses maklumat yang lebih terbuka dan mendengar sendiri kempen pilihanraya daripada pelbagai pihak sebelum mereka membuang undi?

Apakah boleh dianggap kemenangan yang adil jika hanya satu pihak saja dibenarkan berkempen, bercakap dan menaburkan macam-macam janji kepada pengundi manakala satu pihak lagi, jangankan mahu berkempen dan bercakap, menjengukkan diri pun tidak dibenarkan?

Tidak malukah Najib Razak, Zahid Hamidi dan Adenan Satem kepada dunia dengan keadaan ini? (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.