`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, May 29, 2016

MEMANG SAH-SAH GILA - ADA JALAN SENANG, PILIH JALAN SUSAH



UMNO akhirnya seperti mengakui kesilapannya dalam memilih Mastura Yazid, balu Allahyarham Wan Khairil Wan Ahmad sebagai calon dalam pilihanraya kecil Kuala Kangsar pada 18 Jun depan berikutan timbulnya isu edah yang hangat diperkatakan ramai sejak nama beliau diumumkan.

Blog ini sendiri mengatakan tindakan memilih Mastura itu sebagai "keputusan gila" yang seolah-olah tiada calon lain yang boleh diketengahkan, sambil ternampak keinginan yang terlalu besar untuk meraih rasa simpati daripada pengundi demi memastikan kemenangan dapat dikekalkan.

Berikutan itu, Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa menyatakan, sebagai menghormati hukum Islam itu, kaedah multimedia akan digunakan sepanjang berkempen antara Mastuta dengan jentera pilihanraya dan pusat-pusat daerah mengundi.

"Kita pun tak pernah ada pengalaman guna kaedah seperti itu, tetapi saya fikir dengan adanya media baru dan konsep multimedia, ia dapat digunakan untuk menyampaikan apa juga mesej yang diperlukan.

"Dalam majlis-majlis tertentu pula, kita boleh gunakan  konsep "persidangan video"  bagi tujuan kempen, asalkan ia tidak melanggar hukum agama," katanya lagi.

Mastura pula memohon maaf kepada seluruh jentera parti kerana tidak dapat terlibat dalam kempen sepanjang pilihanraya ini berikutan larangan edah selama empat bulan sepuluh hari yang ditetapkan oleh Islam itu.

Exco Pemuda UMNO, Dr Fathul Bari melalui laman sosial Facebooknya mencadangkan agar anak Mastura dijadikan ganti untuk berkempen dan bertemu pengundi bagi menggantikan ibunya yang masih dalam tempoh edah itu.

Selepas ini, pasti ramai lagi pemimpin UMNO yang tampil menyatakan bahawa Mastura tidak perlu turun berkempen pun untuk pilihanraya dan semua jentera parti sedia melakukannya tanpa kehadiran beliau.

Bermakna dalam pilihanraya kecil Kuala Kangsar ini, Mastura tidak akan  muncul sama sekali di khalayak awam, kecuali melalui kaedah persidangan video, tayangan melalui layar atau pengundi hanya dapat menatap poster-poster wajahnya sahaja.

Mengengkari ketetapan edah itu bermakna Mastura telah melanggar hukum Islam dan sebagai calon UMNO yang membawa imej perjuangan untuk agama, bangsa dan negara, perbuatan sedemikian, jika berlaku, tentu saja tidak boleh diterima sama sekali kerana seolah-olah hukum Tuhan tidak sepenting keduniaan.

Tetapi, dengan semua yang akan berlaku dalam kerja kempen itu di mana kempen terpaksa menggunakan multimedia, anaknya mewakili untuk bertemu pengundi dan sebagainya, maka sahlah UMNO "memang gila"  dalam membuat keputusannya memilih Mastura sebagai calonnya di Kuala Kangsar ini.

Lagi pun, bolehkah diyakini sepanjang 12 hari tempoh berkempen nanti tiada sekali pun Mastura keluar rumah untuk berkempen dan bertemu pengundi?

Pilihanraya apa namanya jika calon hanya duduk di rumah saja sepanjang masa?

Dalam hal ini, kenapa UMNO memilih jalan sukar dan berliku-liku sedangkan jalan mudah sedia terbentang di depan mata jika bukan Mastura dipilih sebagai calon?

Jika orang lain yang bertanding, kerja kempen tentunya dapat dijalankan secara normal sepertimana pilihanraya sebelum ini, tanpa perlu konsep multimedia, tayangan melalui layar atau anak sebagai wakil untuk berkempen.

Soalnya juga, adakah pengundi Kuala Kangsar dapat menerima cara kempen melalui multimedia saja sedangkan pencabar lain dapat menonjolkan calonnya secara nyata dan terang-terang di depan mata?

Selain itu, nak pakai konsep multimedia bagai untuk kempen, adakah internet di Kuala Kangsar sentiasa laju macam di kawasan Bangsar atau Bukit Damansara?

Itu belum lagi masalah-masalah lain yang akan timbul kemudian berikutan pengundi tidak dapat bertentang mata dengan nyata dan mengadukan masalah mereka secara terbuka kepada calon yang hendak mereka undi.

Apakah UMNO begitu darurat untuk meletakkan  Mastura satu-satunya tanpa kompromi sehingga menolak ke tepi semua nama-nama yang lain?

Apakah UMNO Perak begitu lekeh sehingga tiada calon lain di negeri itu yang layak diketengahkan dan mampu membawa kemenangan kepada BN di Kuala Kangsar?

Kalau pun kerusi itu mahu diserahkan kepada calon wanita, apakah Wanita UMNO Perak tidak mampu menonjolkan calon lain yang benar-benar berwibawa untuk mengekalkan kemenangan?

Dan jika pun terdesak sangat untuk meraih simpati pengundi, kenapa tidak dipilih saja salah seorang anak lelaki Wan Khairil sebagai calon berbanding balunya yang lebih wajib untuk menjaga edah dan kehormatan selepas kematian suami?

Bukankah itu lagi senang dan mudah, tiada kekangan edah dan tidak perlu pun menggunakan konsep multimedia atau sebagainya dalam kempen yang entah berkesan  entahkan tidak akhirnya nanti?

Pokoknya, pasti akan lebih banyak susah dan bakal bertimbun  masalahnya nanti. Semua masalah itu tidak akan wujud jika nama lain yang dipilih sebagai calon.

Sekali lagi, hanya yang "sah-sah gila"  saja suka memilih jalan susah berbanding jalan senang  untuk memenangi pilihanraya. (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.