`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, October 5, 2016

Mengulas Tulisan Ahli UMNO Kedah

Image result for UMNO Kedah

This is written by our  Editorial Consultant.

Saya telah membaca tulisan ahli UMNO dari Kedah yang begitu menarik.  Saya berharap ramai lagi ahli UMNO akan  berani dan bersedia memberi teguran ikhlas tentang kedudukan UMNO serta pendirian masing-masing berkenaan 1MDB.  

1MDB adalah skandal wang yang terbesar pernah berlaku di dunia tetapi kita tidak dengar sebarang komen daripada para menteri kita; baik dari UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen lain. Apakah mereka terlalu takut membangkitkan isu ini dalam Kabinet kerana tidak sanggup menerima nasib seperti Muhyiddin dan Shafie?

 
Ahli MKT juga terus membisu termasuk ketua bahagian dan ketua cawangan.  Umum sedia maklum mereka ini sendiri mengaku "makan dedak" lalu mulut  mereka terpaksa ditutup.  PM berkata ‘cash is king’ dan dalam bank account peribadi PM di AMBank tersimpan RM2.6billion.  

PM telah memberi pelbagai cerita tentang wang ini:

i.    mula-mula dinafikan

ii.   kemudian dikata harta pusaka pula

iii. duta kita di Jakarta memberitahu media Indonesia bahawa PM kita datang dari keluarga yang kaya raya 

iv. hingga adik-beradik PM terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan cerita "harta pusaka" itu yang memalukan keluarga dan mencemarkan nama baik Allahyarham Tun Razak.

v. PM kemudian berkata duit RM2.6 bilion itu derma dari seorang Arab.

vi.  TPM pula  mengaku pergi berjumpa dengan penderma Arab tetapi ada dua orang perderma.  

Kita yang bodoh ini, jika duit seratus Ringgit pun dimasukkan ke dalam akaun bank kita, tentu ada bukti kemasukan sama ada cek atau bank draft untuk wang itu dan penderma pun akan tampil menunjukkan dirinya.  Tetapi pendema RM2.6 bilion pula misteri. Seperti juga terlalu banyak misteri lain dalam 1MDB. Semuanya berkenaan 1MDB adalah misteri.

Oleh kerana banyak sangat misteri, semua ahli UMNO daripada DPM sampai ke akar umbi terpaksa berdiam saja dengan harapan rakyat jelata akan melupakan sahaja perkara ini.  

Tapi rakyat bukan bodoh.  Mereka boleh membaca dan mereka tahu bahawa satu dunia telah pun melaporkan berita skandal 1MDB ini. Mereka juga telah membaca laporan DOJ  yang mengatakan secara terus terang bahawa kerajaan kita dianggotai penyamun.    Ungkapan yang diguna oleh DOJ adalah "kleptocracy" yang bermaksud 'kerajaan gerombolan pencuri'.  

DOJ sahkan bahawa USD3.5 bilion telah dicuri dari 1MDB oleh "MO1" dan kuncunya.  Nama "MO1" disebut 36 kali di dalam laporan DOJ itu tetapi atas dasar menjaga nama baik negara Malayaia,  tidak sekali pun DOJ sahkan siapakah bapak penyamun bernama MO1 itu yang telah mencuri US$3.5 bilion.

Tetapi terlintas Mangkuk bin Hayun, maka Menteri di Jabatan Perdana Menteri Rahman Dahlan  telah mengesahkan (SEBANYAK TIGA KALI) kepada BBC bahawa MO1 itu ialah Najib Tun Razak, Perdana Menteri Bugis.  

Dengan bongkak lagi Rahman Dahlan bersambung bahawa di bawah pimpinan Najib, demokrasi lebih subur berbanding masa di pimpin Tun Mahathir.  Jika betul cerita Rahman, kita berharap Najib akan membenarkan ahli UMNO membangkitkan perkara 1MDB di Perhimpunan Agong UMNO tahun ini.  Sebab Najib tidak membenarkan sesiapa pun membangkitkan isu 1MDB sewaktu Perhimpunan Agong UMNO 2015.

Rahman Dahlan perlu faham bahawa satu sifat besar demokrasi ialah hak bersuara yang juga termaktub dalam perlembagaan kita.  Sebaliknya apa yang kita lihat ialah ramai yang kena tangkap kerana memberi pandangan berbeza menentang 1MDB. Sehingga seorang pelukis kartun pun boleh didakwa di mahkamah.  

Benar lSA sudah dimansuhkan tetapi undang-undang baru yang digubal lebih teruk daripada lSA.  Dan undang-undang baru ini telah mula disalah-gunakan.  Contohnya Khairuddin Hassan yang membuat laporan Polis tentang 1MDB telah ditahan Polis di bawah akta berkaitan pengganas (terrorism).  Begitu juga peguam yang mengiringi Khairuddin ke Balai Polis juga kena tahan. Kemudian selepas ditahan selama 60 hari mahkamah yang membebaskan Khairuddin serta peguamnya berhujah bahawa menurut undang-undang Malaysia, tiada sebarang alasan kukuh  untuk menahan mereka.  Tidak ada pun sebarang tanda yang Khairuddin atau peguamnya adalah pengganas.  

Sebaliknya Khairuddin mencabar Najib berbahas dengannya tentang 1MDB.  Najib yang pernah berkata sebagai pahlawan Bugis dia tidak takut kepada sesiapa pun tidak menyambut cabaran Khairuddin.  Ahli-ahli UMNO hairan mengapa Presiden mereka yang mengaku dia ‘Bugis Warrior’ tidak berani berbahas melainkan Najib tahu dia bersalah.

Selain daripada 1MDB, rakyat kini semua faham mereka sedang ditimpa banyak lagi kesempitan dan janji palsu dari Najib Tun Razak.  GST yang mengurangkan purchasing power mereka, harga keperluan harian yang melambong tinggi, harga rumah yang mahal, tol yang kerajaan janji dalam pilihanraya tidak akan dinaikkan kini dinaikkan dan banyak lagi dasar cekik rakyat dan janji palsu.  

Selain dari beribu pekerja swasta hilang pekerjaan, termasuk beribu pekerja yang dihentikan Petronas, lebih daripada 200,000 graduan muda dilapurkan tidak mendapat pekerjaan. Ramai lagi rakyat tidak ada pekerjaan.  

Pemimpin UMNO perlu memberi penjelasan kepada rakyat tentang rasuah di kalangan pegawai kerajaan dan soalan pembaziran oleh kerajaan.  Kini rakyat sudah benci kepada Najib serta isteri dan seterusnya benci juga kepada UMNO.  Besar kemungkinan BN akan tewas pada PRU14 nanti.  Maka lebih baik UMNO dan pemimpin UMNO berterus-terang dengan rakyat.  Jika tidak, tak lama nanti UMNO dan BN akan dijatuhkan  hukuman berat oleh rakyat. 
 

Oleh  Editorial Consultant.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.