`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 16, 2023

1,905 permohonan MM2H dilulus, kata Tiong

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata, bagi menjadikan Program MM2H lebih menarik, pihaknya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa menyemak semula syarat-syarat sedia ada. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebanyak 1,905 permohonan bagi Program Malaysia My Second Home (MM2H) telah diluluskan antara November 2021 hingga 30 September lalu, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata program tersebut semasa di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia telah merekodkan lebih 2,100 permohonan yang diterima sepanjang tempoh berkenaan.

“Bagi menjadikan Program MM2H lebih menarik dan berdaya saing, Motac bersama-sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa menyemak semula syarat-syarat sedia ada program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada pertanyaan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin mengenai jumlah permohonan dan kelulusan mahupun status terkini penyemakan semula syarat-syarat program MM2H.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, mengumumkan syarat ketat program MM2H akan dilonggarkan bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing.

Julai lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekali lagi membangkitkan keperluan supaya kerajaan menambah baik program MM2H bagi menjadikan negara sebagai destinasi utama peserta.

Sultan Ibrahim berkata penambahbaikan itu membabitkan dari segi dasar, insentif dan manfaat supaya program terbabit tidak membebankan.

Pada Ogos 2021, Sultan Ibrahim menggesa kerajaan menyemak semula syarat program MM2H bagi mencapai imbangan positif kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.

Ini kerana program MM2H yang dibenarkan beroperasi semula dengan beberapa syarat baharu kepada peserta dilihat terlalu ketat.

Syarat MM2H baharu yang diperkenalkan pada 2021 mengenakan syarat kelayakan kewangan lebih tiga kali ganda lebih tinggi.

Pemohon dikehendaki memiliki simpanan kekal sekurang-kurangnya RM1 juta (naik daripada RM300,000) dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta (RM500,000 sebelum ini) dan pendapatan luar pesisir bulanan RM40,000 (naik daripada RM10,000). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.