`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 16, 2023

2 lelaki hilang ketika tunda bot ditemui lemas

 

Polis berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. (Gambar Freepik)

IPOH: Dua lelaki yang dilaporkan hilang ketika menunda bot semalam ditemukan lemas di Sungai Kayan dekat Sitiawan hari ini.

Mayat Mohd Amirul Azril Mohd Shafiee dan Mohd Afendi Mamosathi, kedua-duanya berumur 34 tahun, ditemukan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) pada kira-kira 8.20 pagi tadi.

Ketua Polis Manjung Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan kedua-dua lelaki yang mempunyai pertalian saudara itu pada 8.20 malam semalam di Balai Polis Jejawi.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mereka telah keluar dari rumah pada 1.30 petang semalam bagi membawa balik sampan milik salah seorang mangsa dari Kampung Sungai Tiram, Sitiawan, ke Pengkalan Kota Setia, Perak Tengah.

“Isteri salah seorang mangsa telah memaklumkan kepada orang awam untuk mencari suaminya setelah cubaan menghubungi suaminya gagal kira-kira pukul 2.30 petang dan orang awam menjumpai sampan yang dinaiki kedua-dua lelaki itu di Sungai Kayan kira-kira 3.30 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nordin berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), pasukan Rela dan nelayan kemudiannya telah digerakkan bagi mengesan mangsa.

“Pasukan penyelamat menjumpai mayat Amirul Azril pada 8.20 pagi tadi dan mayat Afendi pada pada 12.30 tengah hari di sekitar perairan Sungai Kayan.

“Kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Seri Manjung bagi tujuan bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata sepasukan anggota bersama pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan 7.58 pagi tadi.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 1.55 petang,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.