`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 20, 2024

Berjalanlah dan lihatlah

 

Antara aktiviti saya semenjak berpindah ke kampung empat tahun lalu ialah berjalan kaki pada waktu malam. Entah kenapa saya memang gemar berjalan kaki semenjak sekolah menengah lagi. Dari kampung hendak ke pekan yang sejauh dua kilometer saya berjalan kaki sahaja. Dari asrama sekolah, apabila cuti penggal bermula saya balik ke rumah yang jaraknya lapan kilometer dengan berjalan kaki.

Setakat hendak pergi ke sesuatu tempat berjarak empat lima kilometer itu tidak ada masalah bagi saya. Saya biasakan dengan berjalan kaki. Di Kuala Lumpur waktu berusia 20-an dahulu saya memilih untuk berjalan kaki sahaja jika hendak bergerak dari satu tempat ke satu tempat seperti dari Pasar Budaya hendak ke Bukit Bintang atau dari Bangsar hendak ke Brickfields, contohnya. Cuma sekarang saya rasa amalan ini sudah tidak berapa boleh. Kenderaan semakin banyak dan lalu lintas yang semakin sibuk menakutkan saya.

Orang kita kalau memandu agak mengkhuatirkan saya si pejalan kaki. Ini agak berbeza di Barat atau di Jepun yang mendahulukan pejalan kaki. Kenderaan akan segera perlahan dan berhenti apabila melihat pejalan kaki hendak melintas. Kita di sini hendak melintas di jalan zebra crossing pun tak yakin. Silap-silap kena sapu!

Hari ini paling tidak menggalakkan untuk saya berjalan kaki sebab cuaca yang semakin panas. Berjalan baru satu kilometer silap-silap seluruh badan basah lencun dek peluh. Atas sebab itu saya berjalan pada waktu malam. Adakalanya rakan sekampung yang sedang memandu terkejut kerana ternampak kelibat lelaki berambut panjang di tepi jalan yang gelap dan bersemak. Ini jadi bahan seloroh mereka kerana menyangkakan saya hantu.

“Hantu tu takpa lagi. Ini dari jauh rambut panjang ingatkan perempuan, sekali tengok… laa berjambang!” usik mereka dengan ketawa berdekah-dekah.

Sewaktu menjadi guru dahulu saya pernah menjadi warden asrama. Pelajar-pelajar menggelar saya ‘cikgu misteri’ kerana perangai berjalan malam saya ini amat menakutkan mereka. Maklumlah apabila waktu malam, pelajar-pelajar asrama mahu menjalankan kegiatan ‘berasap’ mereka. Tahu-tahu saya muncul dari dalam gelap. Itu juga menjadi buah mulut dalam kalangan pelajar saya sampai ke hari ini. Kisah saya berjalan di dalam gelap dan menangkap pelajar-pelajar merokok pada waktu malam meniti dari bibir ke bibir pelajar tahun demi tahun. Ha! Ha! Ha!

Berjalan kaki merupakan senaman paling bagus terutama untuk orang sudah berusia, macam err… saya. Ia ibarat terapi yang memberikan ketenangan dan kesempatan untuk kita memerhati dan berfikir ketika aktiviti ini dibuat. Modalnya pun murah. Paling elok sewaktu berjalan tinggalkan gajet di rumah. Kita layan alam sekeliling. Di kampung, ketika berjalan malam saya suka melihat kecantikan bintang-bintang yang cukup banyak di langit. Semasa di kota saya tidak dapat merasai nikmat ini. Langit kota terang disimbah lampu limpah dan neon sehingga mengaburi keindahan langit malam yang meriah.

Orang dulu-dulu kata kalau mendongak bintang di langit jangan lupa rumput di bumi tetapi hari ini kita sudah jarang melihat langit kerana sibuk menunduk melihat telefon. Takkanlah hendak melihat langit atau alam hanya waktu kita pergi bercuti di homestay tepi pantai sahaja. Di balkoni rumah kita pun sesekali rasakanlah kedamaian di langit. Boleh! Cuma kesibukan yang tak pernah habis buat kita terlupa melihat langit.

Ketika berjalan kaki begini saya teringat waktu kanak-kanak dahulu selepas makan malam, kami adik-beradik akan duduk di hadapan rumah bersama emak, melihat bulan terang dan taburan bintang. Kadang-kadang boleh nampak tahi bintang bergerak. Semacam rasa kepuasan selepas melihat langit.

“Triit! Triit!” Bunyi telefon bimbit saya. Ah! Sepatutnya saya tinggalkan telefon di rumah seperti selalu tetapi malam ini terbawa pula. Rupanya, kawan saya di Kuala Lumpur membuat panggilan. Saya pun berbual dengannya menerusi video.

“Aduh!” jeritnya. “Dah lama aku tak dengar bunyi cengkerik dan burung jampuk”. Rupa-rupanya kawan saya dapat mendengarnya dari telefon saya. Ternyata dia berasa kagum kerana hampir-hampir dia sudah terlupa suara alam. Saya yang sudah berada di sini hari-hari pula sudah mangli agaknya. Bunyi belatuk, reriang atau kokok ayam sudah jadi biasa pada pendengaran saya bukan lagi seperti kawan saya yang telah lama melupakan irama semulajadi ini. Benarlah kata orang, bila sesuatu itu ada bersama kita tidak kita hargai tetapi bagi mereka yang kehilangan itulah yang mahal tak ternilai harganya.

Saya teringat musim dingin ketika tinggal di Beijing sekitar 12 tahun lalu, pokok-pokok tepi jalan menjadi kering dan luruh daunnya. Ada yang dibungkus untuk mengelakkan pokok-pokok ini mati. Apabila tiba musim bunga pokok-pokok ini rimbun semula dan bunga-bunga beraneka warna menghiasinya dengan cantik sekali. Ketika itu bukan sahaja saya kagum dengan keindahan di situ tetapi terbit pula rasa rindu pada tanah air sendiri yang selama itu tidak langsung saya peduli tumbuhan malar hijau kita serta bunga-bunganya yang mekar sepanjang tahun. Air tasik yang membeku ketika musim sejuk menjadi cair semula apabila tiba musim semi. Ia bukan sahaja cukup indah tetapi cukup membuat saya insaf betapa di tanah tumpah darah sendiri sungainya mengalir sentiasa. Jernih, dingin, dan bersih.

Sebab itu Tuhan perintahkan dalam Al-Quran agar kita mengembara untuk melihat dan menghargai supaya kita tidak menjadi sempit, jumud, dan tertutup. Supaya kita menjadi lebih nampak dan terbuka. Supaya kita boleh asingkan diri ketika gelagat manusia keliling-kelalang menyemakkan kedamaian fikiran. Ekonomi turun-naik, ahli politik dengan entah apa-apa lagi yang tak habis, agamawan pula bertekak tentang merekalah yang paling berilmu, selebriti dengan kahwin-cerai dan berebut anak sementara orang ramai sibuk masuk celah-celah ruang untuk mengomen dan mengutuk. Keserabutan ini perlu dirawat dengan berjalan menikmati alam.

Surah Al-Israa’ sendiri maksudnya berjalan waktu malam dan dalam surah tersebut banyak menjelaskan keadaan hari ini. Ada juga dinyatakan janganlah kita berjalan di atas muka bumi ini dengan sombong sebab kita ini bukan hebat mana pun. Bak kata Ramli Sarip dalam lagu Jalan Malam:

Jalan malam gelap
Bulan telah pun menghilang
Jangan jalan raba-raba
Nanti masuk longkang

Sebab itulah senaman jalan kaki riadah terbaik untuk tubuh dan terapi jiwa. Ia memberi ruang damai kepada kita sebentar dan mengutip makna hidup melalui pemerhatian seterusnya agar dapat kita gunakan dalam kehidupan. Memetik terjemahan maksud ayat 84 dalam surah Al-Israa’ itu:

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya.'”

Itulah yang saya rasakan ketika berjalan malam dan membaca surah berjalan malam. Ada ‘kebebasan’ diberikan oleh Yang Maha Penyayang dalam beramal mengikut kecenderungan seseorang setara ilmu dan pemahamannya lalu Dia memberi jaminan bahawa Dialah Maha Mengetahui siapa lebih betul kerana Dia lebih memahami setiap jiwa makhluknya berbanding manusia yang sering bersangka-sangka. Wallahua’alam bissawab! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.