`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 21, 2024

Dakwaan cuba culik 2 budak di Bachok hanya salah faham, kata polis

 

Timbalan Ketua Polis Bachok, Mohd Zain Mat Dris nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan kurang jelas yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Polis menafikan dakwaan berlaku cubaan culik terhadap dua kanak-kanak perempuan di Pantai Kemayang, Bachok, seperti yang ditularkan oleh satu akaun Facebook, semalam.

Timbalan Ketua Polis Bachok, Mohd Zain Mat Dris, berkata semua yang terlibat dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Bachok untuk siasatan.

Salah faham itu timbul apabila pengadu membuat laporan polis selepas melihat anaknya berusia tujuh tahun serta anak saudara berusia sembilan tahun berlari ke rumah nenek mereka daripada arah kedai berdekatan, dan ternampak sebuah kereta berhenti berdekatan dengan kanak-kanak terbabit.

“Pengadu menyatakan kereta tersebut bertindak bergerak ke arah sama kedua-dua mangsa melarikan diri dan menyebabkan pengadu serta abang iparnya cuba mengejar kereta yang dinaiki tiga lelaki dengan menggunakan motosikal, tetapi tidak berjaya.

“Susulan itu, pengadu terus ke balai polis membuat laporan. Pada hari yang sama juga seorang lelaki yang juga pemandu kereta turut membuat laporan mengenai kejadian terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu kereta berusia 33 tahun itu memaklumkan telah pergi ke Pantai Kemayang untuk minum setelah urusan jual beli kenderaan terpakai di Kampung Kemasin tidak berjaya dilakukan.

“Ketika lelaki tersebut bersama adik dan sepupunya bergerak keluar ke Kampung Melor dengan bertindak mengundur kenderaan, mereka mendapati dua kanak-kanak perempuan berlari dalam keadaan menangis.

“Dia kemudian melihat sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki mengejar kenderaannya. Oleh kerana takut, dia bertindak melarikan diri memandangkan bersamanya terdapat wang tunai RM16,000 dan terus ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pengadu dan pihak yang disyaki telah berjumpa serta berpuas hati dengan hasil siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan kurang jelas yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.