`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 12, 2024

Jumaat yang hitam… untuk siapa sebenarnya?

 

Takiyuddin Hassan kata tiga hari lalu adalah “Jumaat yang hitam” untuk undang-undang syariah. Kata setiausaha agung PAS itu lagi, pembatalan satu undang-undang jenayah syariah sesuatu negeri bermakna undang-undang ini di 14 negeri lain dalam keadaan amat bahaya dan kritikal. Persoalannya benarkah begitu?

Atau Takiyuddin sekadar mencari laba politik dengan mengapi-apikan sentimen umat Islam dan memomokkan mereka konon mahkamah syariah dan undang-undang syariah dicabar? Lebih buruk lagi apabila ada pendapat menyokongnya seolah-olah mahkamah syariah hendak dikuburkan dan dibatu nisankan.

Menekankan parti itu mahu semua pihak memastikan undang-undang Islam dipertahankan, Takiyuddin turut menyindir seolah-olah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim tidak berbuat apa-apa. Apakah Ahli Parlimen Kota Bharu itu bermaksud kerajaan harus campur tangan dalam urusan mahkamah berbanding pendirian PAS mahukan badan kehakiman kekal bebas?

Kata Takiyuddin lagi, pihaknya amat beremosi dan membangkang petisyen tersebut yang dikemukakan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, kerana menganggap ia bukan perkara kecil. Tambahnya, mempertahankan syariah juga bermakna mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu kerana undang-undang itu mendapat perkenan Sultan sebelum dilaksanakan. Dah jauh tersasar nampaknya.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan — Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 — atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan. Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Ini selepas Nik Elin Zurina dan anaknya memfailkan cabaran perlembagaan itu pada 2022 untuk mempersoalkan kuasa DUN Kelantan meluluskan enakmen itu. Kedua-duanya berpendirian kuasa menggubal undang-undang berhubung perkara jenayah hak eksklusif Dewan Rakyat dan DUN hanya boleh meluluskan undang-undang berkaitan akidah Islam. Ringkasnya, ia berkisar kepada soal perundangan dan bukannya mereka menentang Islam.

Berbanding apa yang didakwa Takiyuddin itu, Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes itu berkata ia tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah, sebaliknya isu yang perlu diputuskan sama ada badan perundangan Kelantan membuat peruntukan terbabit mengikut batasan ditentukan oleh Perlembagaan atau sebaliknya.

Lantas, kata Tengku Maimun, tidak timbul soal mahkamah sivil tidak mempertahan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan mahkamah syariah. Oleh kerana apa yang dicabar dalam petisyen ini bukanlah kedudukan undang-undang syariah, tambahnya, mahkamah syariah atau undang-undang Islam tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam Yusfarizal Yusof. Lebih-lebih lagi, Perlembagaan menjamin kuasa perundangan kepada semua kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh mahkamah syariah.

“Sama ada Islam atau mahkamah syariah dipertahan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes ini,” tegas Tengku Maimun merujuk kepada petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya yang mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang persekutuan yang meliputi kesalahan sama. Itu perkara asasnya dan bukan lain-lain yang tidak berkaitan.

Anwar dalam reaksinya pula berkata kerajaan tidak terlibat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan itu, sebaliknya ia diputuskan oleh mahkamah berdasarkan kuasa yang ada di bawah Perlembagaan. Dalam pada itu, katanya, pembangkang memainkan sentimen agama dalam usaha menonjolkan kerajaan pimpinannya menentang Islam sedangkan permohonan Nik Elin dan anaknya difailkan ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan.

Ini bagaimanapun sudah jelaskan Takiyuddin dalam sidang Dewan Rakyat pada 21 Nov tahun lalu bahawa beliau bukan lagi menteri undang-undang pada masa itu kerana Parlimen ke-14 telah dibubarkan untuk PRU15 sedangkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya untuk memohon deklarasi daripada mahkamah telah dimasukkan pada 13 Oktober 2022.

Begitupun, dakwaan Takiyuddin mengenai “Jumaat yang hitam” minggu lalu tetap mengundang reaksi menentang. Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan, berkata ia seolah-olah menggambarkan perundangan syariah telah mati atau menuju masa depan gelap. Beliau juga melihatnya sebagai cubaan PAS memperkecilkan usaha Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersetuju menubuhkan jawatankuasa mengkaji kompetensi DUN menggubal undang-undang Islam.

Sisters In Islam (SIS) pula membidas Takiyuddin kerana dakwaannya itu bukan saja mengelirukan dan memudaratkan negara, malah menyebarkan naratif agama dieksploitasi untuk kepentingan politik. NGO hak asasi manusia itu mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan yang menekankan keperluan agar DUN mematuhi Perlembagaan. “Keputusan ini menandakan kemenangan bagi Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara, yang menekankan prinsip kedaulatan undang-undang yang sama rata untuk semua rakyat,” kata SIS lagi.

Kritikan paling keras datangnya daripada Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa kelmarin bahawa PAS bukan sahaja tidak mengakui kelemahan pentadbirannya menggubal undang-undang jenayah syariah di Kelantan, malah mengelirukan rakyat dengan dakwaan Mahkamah Syariah dicabar. Pada hakikatnya, katanya, PAS harus akur bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan itu melambangkan kelemahan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana meluluskan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan.

Mujahid, yang menyimpulkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan itu sebagai mendedahkan kegagalan Adun PAS di Kelantan untuk meneliti semua peruntukan yang dipertikaikan, turut mencadangkan agar PAS menyusuli keputusan mahkamah dengan memperbaiki proses pembikinan undang-undang jenayah syariah dengan lebih teliti.

Mengambil kira semua pandangan berlawanan itu, apakah silap untuk mengandaikan takrifan “Jumaat yang hitam” itu lebih tepat bermaksud kepada Takiyuddin dan PAS sendiri?

Ia tidak pun lari daripada kenyataan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kelmarin bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 itu dibatalkan hanya kerana DUN Kelantan sudah melangkaui bidang kuasanya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.