`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 12, 2024

Lain padang lain belalang

 

Donald Trump dan Nikki Haley sedang berperang untuk dipilih sebagai calon yang akan mewakli parti Republican pada pemilihan presiden AS 5 November ini. Memang amalan di AS pemilihan diadakan untuk menentukan siapa calon parti (lazimnya Republican dan Democrat). Pemimpin parti yang berminat menawarkan diri maka berlakulah pemimpin Republican lawan pemimpin Republican dan pemimpin Democrat lawan pemimpin Democrat sebelum Republican lawan Democrat untuk pemilihan presiden. Apabila pemilihan dalaman diadakan, kempen dijalankan dengan keras with no holds barred.

Seperti dikata tadi untuk Republican Trump sedang berperang dengan Haley. Dengan masalah termasuk kes mahkamah yang dihadapi Trump masih boleh mencuba jadi calon presiden memang menakjubkan dan ‘perang’ memang istilah sesuai. Menurut media antarabangsa Trump dan Haley dengan lantang dan terbuka melontar elemen rasis dan isu peribadi untuk saling menyerang . The Times of India menyimpulkan “their campaign is ugly”.

Pada 2016 semasa Trump berkempen untuk jadi calon presiden US dari Republican macam itu juga keadaannya. Serangannya ke atas Ted Cruz dan Marco Rubio memang ugly. Serangan balas lawan sama ugly. Rubio umpamanya pernah menuduh tangan Trump kecil untuk membayangkan saiz satu bahagian lain di tubuh Trump. Tentu anda tahu bahagian apa yang dimaksudkan. Berminggu jua isu tangan kecil dan penafian Trump ditonjolkan kepada umum. Sampai begitu sekali kempen di negara yang diakui maju.

Bagaimanapun setelah Trump menang dan jadi calon Republican untuk jawatan presiden, Cruz dan Rubio yang dihina dan kecam menyokong dan endorse Trump. Dikatakan “in keeping with the American political tradition of making peace after waging war”. Sekarang Trump dan Haley menurut The Times of India “may get together again” setelah pemilihan Republican berakhir.

Begitu juga ketika Hillary Clinton berebut dengan Barrack Obama untuk jadi calon presiden dari parti Democrat pada tahun 2008 dan semasa Clinton menentang Bernie Sanders pada 2016. Sengit tetapi selesai pemilihan parti, Hillary yang tewas menyokong Obama untuk jawatan presiden yang Obama menang pada 2009. Sanders juga bantu Clinton pada 2016 menentang Trump. Clinton bagaimanapun gagal menewaskan Trump.

Di negara kita pemilihan parti lazimnya malah pasti ditangguhkan menjelang sesuatu pilihan raya umum. Ini bagai “tradisi “ yang boleh dikata dimulakan oleh Umno pada zaman Dr Mahathir Mohamad presidennya.

Kata parti politik kita, penangguhan itu untuk menumpu fokus kepada cabaran yang lebih besar yakni pilihan raya yang menjelang tiba. Realitinya bertujuan utamanya mengelakkan serangan sesama sendiri dan pendedahan kelemahan parti disajikan kepada umum.

Ertinya membuka pekung di dada secara terbuka yang boleh digunakan parti musuh semasa kempen pilihan raya umum kelak. Don’t wash dirty linen in public gamaknya. Bukan seperti di AS yang tak kisah kain kotor dicuci di depan khalayak dan tidak memudaratkan apabila pemilihan presiden diadakan.

Beralih ke negara jiran Indonesia yang sedang bersedia menghadapi pilihan raya atau pemilihan umum yang disebut pemilu 14 Feb ini.

Ada lebih 204 juta pengundi berdaftar. Lapan belas parti politik bertanding untuk 575 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat. Hebat dan meriah. Kita biasanya memberi tumpuan kepada pemilihan presiden.

Untuk artikel ini tumpukan kepada Gibran Rakabuming Raka, pasangan Prabowo Subianto. Prabowo dari parti Gerindra adalah calon presiden. Gibran pasangannya calon timbalan presiden atau dipanggil wakil presiden. Gibran kita tahu ialah anak Joko Widodo presiden sekarang yang popular dengan nama Jokowi.

Gibran ialah ahli Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan atau PDI-P. Ayahnya pun ahli parti itu . Sepanjang karier politiknya Jokowi menurut istilah Indonesia “diusung” PDI-P untuk menang jawatan presiden pada 2014 dan mempertahankan jawatan pada 2019 .

Untuk pemilu ini secara logik atau menjadi tanggungjawab beliau mengusung calon PDI-P iaitu Ganjar Pranowo. Tetapi tidak. Jokowi sokong Gibran. Iyalah ayah mestilah sokong anak tetapi dilihat tidak selaras perkiraan politik dan kepentingan parti.

Politik memang aneh. Gibran ahli PDI-P lawan Ganjar yang juga ahli PDI-P . Ayahnya Jokowi ahli PPDI-P tidak sokong Ganjar calon PDI-P. Mengapa dan kenapa kita cerita di penulisan lain.

Paling menarik Gibran bagai diizin bertanding dan masih kekal sebagai ahli PDI-P. Beliau tidak dipecat. Jokowi juga tidak dipecat dan oleh itu masih ahli PDI-P. Peraturan parti membolehkan ketua umum PDI-P, Megawati Sukarnoputri memecat Gibran dan Jokowi tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian. “Buat masa ini,” menurut kawan saya di media Indonesia kerana perkiraaan tertentu. Mungkin juga kedua-dua dipecat selepas pemilu atau tidak dipecat langsung, kata mereka.

Kalau ini berlaku di Malaysia pasti pemecatan serta-merta terjadi kerana melawan parti sendiri. Lain padang lain belalang. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.