`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 19, 2024

Muafakat yang tidak sepakat

 

Buku Muafakat Nasional (MN) dah ditutup, kata Umno. Tapi kepada PAS pula, buku yang sama boleh sentiasa dibuka kembali. Menyusuli pernyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi bahawa parti itu tidak mahu pisang berbuah dua kali, PAS menerusi Mursyidul Am Hashim Jasin pula enggan berputus asa kerana akar umbi Umno didakwanya mahukan kerjasama kedua-dua parti diteruskan semula.

Tapi nanti dulu kerana wujud semacam ketidakseimbangan ketara antara kedudukan kedua-dua tokoh dalam memperkatakan isu MN ini. Mungkin ada yang bertanya siapalah Puad yang statusnya cuma setaraf Sanusi Nor selaku ahli jawatankuasa kerja PAS pusat. Jadi, kata-kata Puad – jurucakap tidak rasmi Umno — tidak boleh dianggap sebagai kata pemutus dibandingkan dengan Hashim yang kedudukannya adalah paling atas antara yang teratas dalam partinya.

Makna kata apa yang telah dituturkan mursyidul am PAS itu tidak boleh disanggah oleh partinya melainkan diturutkan saja sedangkan Puad masih perlu merujuk kepada MKT Umno untuk pendirian atau pendapatnya diperakui dan disetujui. Di sebalik apa yang telah dikatakannya, ia dikira belum rasmi kecuali ada pengumuman Presiden Umno Zahid Hamidi atau Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki yang mengeluarkan kenyataan mewakili keputusan MKT.

Namun, rasanya tak perlulah pergi sejauh itu dalam menentukan keabsahan jurucakap bagi kedua-dua parti. Kerana apa yang menjadi soal pokok ketika ini ialah syarat-syarat sama ada ia memungkinkan atau memustahilkan cadangan kerjasama PAS-Umno diaktifkan kembali mengikut piagam MN yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur pada 14 Sept 2019.

Ketika itu, Zahid bersepakat bahawa MN adalah suatu wadah yang membawa agenda penyatuan ummah diwakili parti-parti politik selain daripada Umno dan PAS bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk. Permuafakatan itu diharapkannya akan dapat memberi hasil kepada perpaduan nasional secara keseluruhannya.

Presiden PAS Hadi Awang pula berkata: “Apa yang disebut dalam piagam ini adalah meneruskan negara bermasyarakat majmuk yang kepimpinan Melayu Islam adalah saf kepada kepimpinan negara. Ini adalah satu asas politik yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Oleh kerana kita melihat apa yang berlaku kepada kepimpinan negara sekarang ini perlu diperbetulkan, maka Umno dan PAS merasa bertanggungjawab dalam memimpin rakyat kepada asas yang betul”.

Tapi itu lebih empat tahun lalu dan banyak yang sudah berubah sejak itu. Andai boleh dipersetujui bahawa seminggu adalah satu tempoh yang panjang dalam politik, maka 53 bulan menyaksikan macam-macam yang berlaku. Daripada asalnya ia bertujuan murni, PAS dan Umno kemudian saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka.

Hubungan dua parti itu tegang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu, sekali gus mahukan parti serpihan Umno itu turut menyertai MN. Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana melihat Bersatu sebagai pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

Bibit-bibit keretakan MN mula dibayangkan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menjelang PRN Johor pada 12 Mac 2022 dengan mengatakan bahawa MN masih belum berkubur dan tidak ada mana-mana parti yang mengisytiharkan pembubarannya. “Belum ada kubur, belum ada batu nisan dan tiada siapa mengisytiharkan Muafakat Nasional ditamatkan. Secara prinsipnya, walaupun dia tak nampak hidup tapi dia tak mati, statusnya sebagaimana ada,” katanya di Muar pada 4 Mac 2022.

Dalam reaksi pada keesokannya, Zahid ketika meninjau Pusat Daerah Mengundi Kota Kecil Timur di Kota Tinggi berkata kerjasama politik Umno-PAS biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi. “Bukan kita tidak mahu, malah kita yang memulakan. Kalau hidung tak mancung, kenapa pipi mesti tersorong-sorong,” katanya sebagai memberi petunjuk jelas tentang masa depan MN.

Bermula dengan keputusan PAS untuk menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka pada 20 Nov 2021, sekali gus menolak kerjasama dengan Umno, Zahid menyatakan pihaknya menghormati ketetapan kepimpinan PAS untuk bersama Bersatu. Dalam pada itu, tambahnya, pemimpin PAS juga hendaklah menghormati ketetapan Umno tidak bersama dengan Bersatu.

“Ia (MN) masih di air tapi sama ada masih timbul atau tenggelam bergantung kepada kekuatan kakinya yang telah patah. Dulu patah sebelah, sekarang patah satu lagi,” kata Zahid selepas sesi pengenalan calon pemilihan Umno peringkat negeri Terengganu di Kuala Nerus pada 15 Mac 2023. Namun, tambahnya, Umno akan terus mengambil sikap “husnuzon” (bersangka baik) terhadap MN kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik tapi parti itu hanya mahu memfokuskan kepada usaha mengukuhkan kerajaan perpaduan.

Rabu lalu, Hashim mencetuskan idea supaya MN dihidupkan semula atas alasan ramai masih percaya pintu MN belum tertutup dan mahu kerjasama PAS dan Umno diteruskan susulan rentetan pelbagai isu menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam sejak kebelakangan ini, termasuk pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 oleh Mahkamah Persekutuan, 9 Feb lalu. Kedua-dua parti, katanya, perlu melupakan persengketaan sesama mereka dengan menjadikan matlamat penyatuan ummah sebagai agenda utama melebihi kepentingan politik parti masing-masing.

Dalam reaksi keesokannya, Puad menganggap PAS terus menjaja usaha menghidupkan MN hanya untuk memecahkan kerjasama parti dalam kerajaan perpaduan. Menegaskan Umno telah “kenal hati budi” PAS, parti itu lebih selesa bekerjasama dalam kerajaan perpaduan yang boleh bertolak ansur dalam isu seperti cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Tiada lagi perbincangan hidupkan MN. Umno sudah tutup buku dan pisang tidak berbuah dua kali. Itu hanya cerita untuk pecahkan kerjasama kerajaan perpaduan. Kalau PAS serius (untuk bekerjasama), sertai sahaja kerajaan perpaduan,” katanya.

Puad harus tidak silap dalam kenyataannya itu yang sekadar mengulangi satu kenyataan Zahid pada 7 Mei 2022 bahawa mustahil untuk gagasan MN diteruskan jika PAS terus memperlihat sikap “talam dua muka” berdasarkan tindakan dan keputusan parti itu. Lagipun, katanya, Umno sudah memberi cukup ruang dan peluang kepada PAS untuk meneruskan program penyatuan ummah menerusi MN tetapi sikap parti itu tidak ke arah itu.

Kita sudah boleh mengagak apa kesudahan kepada cadangan terbaru untuk menghidupkan kembali MN, lebih-lebih dengan syarat yang dikenakan. Hashim menetapkan kerjasama itu perlu membabitkan Bersatu yang ditolak Umno. Saranan untuk PAS menyertai kerajaan perpaduan pula sendirinya tertolak dengan adanya DAP – parti yang ditakrif Hashim tidak boleh dibuat kawan dan tidak menepati janji.

Bolehkah muafakat yang tiada kata sepakat membawa berkat?

Kata-kata Zahid “Biarlah (MN) diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi,” sempena kempen PRN Johor di Kota Tinggi pada 4 Mac 2022, belum luput tempoh sah lakunya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.