PETALING JAYA: Dua maut dengan seorang daripadanya ditemukan dalam keadaan mayat berkecai, dalam nahas tujuh kenderaan di KM288.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Ipoh, pagi tadi.
Kemalangan membabitkan tiga treler dan empat kereta di laluan antara Gopeng-Simpang Pulai, dekat Kampung Tersusun Tekah.
Dua mangsa maut di lokasi kejadian, masing-masing pemandu lori gula pasir dan pemandu lori muatan logam, menurut Berita Harian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.46 pagi.
“Anggota dari Balai Bomba Simpang Pulai serta Gopeng dikejarkan ke lokasi.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dipercayai meninggal dunia dilaksanakan bomba sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seorang mangsa yang patah tangan dibawa ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.
Awal pagi tadi, PLUS dalam hantaran di X berkata, nahas mengakibatkan lorong dari kedua-dua arah laluan berkenaan terhalang.
Plus turut menasihatkan pengguna keluar ke Plaza Tol Simpang Pulai (arah selatan) dan Plaza Tol Gopeng (arah utara). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.