`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 3, 2024

Majlis graduasi jangan sampai bebankan ibu bapa, tegas persatuan

 

Mak Chee Kin dan Azizee Hassan mengulas trend menganjurkan majlis graduasi untuk murid Tahun 6 dan Tingkatan 5 di hotel. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Majlis graduasi tidak patut jadi aktiviti mewah sehingga membebankan ibu bapa, yang bayar ratusan ringgit agar anak boleh sertai acara di hotel mewah.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka berkata sememangnya tidak ada keperluan untuk menganjurkan majlis graduasi di hotel mewah, memandangkan ia sekadar sebagai kenangan.

Sekiranya pihak yang berkenaan ingin mengadakan majlis di hotel mewah, Mak Chee Kin mengesyorkan penglibatan penaja untuk meringankan beban kewangan semua pihak.

“Jika ada sponsor paling ‘cantik’. Ibu bapa tak payah nak bayar atau mungkin RM10 atau RM20 untuk bayaran lain-lain sebagai penghargaan,” katanya kepada FMT.

Presiden Ikatan Guru Muslim, Mohd Azizee Hasan, mengalakkan majlis graduasi diadakan di sekolah dengan penglibatan pengusaha kantin sekolah.

“Lebih baik majlis graduasi dilaksanakan di sekolah dan premis awam yang kos berpatutan dengan tempahan katering daripada pengusaha kantin sekolah,” katanya kepada FMT.

Mereka mengulas trend menganjurkan majlis graduasi untuk murid Tahun 6 dan Tingkatan 5 di hotel dengan ibu bapa dikenakan bayaran tertentu untuk menyertai aktiviti itu.

Media melaporkan ada ibu bapa ‘terpaksa merelakan’ membayar antara RM150 hingga RM200 untuk anak hadir majlis graduasi anjuran sekolah di hotel mewah, meskipun tidak mampu.

Laporan memetik seorang pengguna media sosial yang mendakwa ada sekolah ‘mewajibkan’ murid menghadiri majlis graduasi tanpa berbincang dengan waris terlebih dahulu.

Mak Chee Kin berkata segala bayaran ‘tidak perlu’ wajar dibincangkan dengan ibu bapa pada awal penggal baharu atau semasa mesyuarat tahunan agar mereka boleh merancang kewangan masing-masing.

“Mungkin pihak sekolah sudah lupa bahawa sumbangan PIBG pun tidak boleh tinggi sangat dan perlu mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Ada yang tidak mampu juga walaupun sumbangan minimum RM50 atau RM100 untuk satu keluarga. Jadi apa yang membuatkan pihak sekolah fikir bahawa ibu bapa mampu bayar ratusan ringgit untuk majlis graduasi di hotel?” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.