`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 3, 2024

Sultan Ibrahim tegas halang perkauman, kata exco

 

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Jan. (Gambar Bernama)

ISKANDAR PUTERI: Kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dikenali sebagai raja berpendirian tegas dan berani, mampu menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon, berkata baginda sebagai penaung utama negara, diyakini mampu menjadi tonggak kestabilan perpaduan rakyat, sekali gus memadam api perkauman yang boleh menggugat keharmonian antara kaum.

Seri Paduka yang berpendirian tegas juga akan menjadi benteng penghalang usaha pihak tertentu, terutama yang ingin mencapai matlamat politik mereka dengan memainkan isu kaum, agama, dan institusi diraja (3R).

“Ketegasan itu boleh dilihat menerusi titah-titah Sultan Ibrahim sebelum ini yang antaranya memberi amaran kepada pihak yang mencuba sebarang usaha untuk memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor.

“Seperti di Johor, pernah ada isu perkauman dan salah faham, tetapi ketegasan Sultan Ibrahim yang berperanan sebagai penaung negeri, menjadi pemadam api perkauman dan menitahkan supaya ia diselesaikan segera, “ katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau percaya peranan itu akan terus dimainkan oleh Seri Paduka dalam memastikan isu seperti 3R dapat dihentikan sebelum ia menjadi marak.

Ling berkata, Seri Paduka yang sering mencemar duli berangkat bagi meraikan pelbagai sambutan perayaan ketika bergelar Sultan Johor, menjadi ikon perpaduan kepada rakyat di negeri itu.

“Contohnya, Tuanku hadir Festival Chingay yang merupakan antara sambutan terbesar di dalam negeri bagi kaum Tionghua, begitu juga Deepavali Tuanku berangkat dan memberi contoh terbaik,” katanya.

Menurut Ling, titah-titah Sultan Ibrahim berkenaan perpaduan juga telah mencetus kepada wujudnya Duta Perpaduan Johor dan Jawatankuasa Harmoni Negeri Johor.

Duta Perpaduan Johor telah melahirkan 300 generasi muda daripada setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan persatuan belia di negeri itu yang berperanan menjadi jurucakap kerajaan negeri dalam menyampaikan mesej-mesej perpaduan kepada orang ramai.

Jawatankuasa Harmoni pula terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan pemimpin daripada setiap agama termasuk Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh, berperanan dalam berkongsi pandangan serta menangkis segala isu keagamaan dan sebagainya.

Justeru, beliau mengharapkan Malaysia akan terus harmoni dan rakyat bersatu padu dalam membangunkan negara di bawah naungan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Jan. Baginda menggantikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.